Liputan 5G telah meluas di Malaysia, terutama sekali di bandar-bandar utama seperti Lembah Klang. Bagaimanapun, syarikat telekomunikasi dilihat memberikan akses penggunaan 5G percuma hanya kepada pelan yang mahal.
Bagaimana pengguna dengan bajet bulanan rendah mahu menikmati akses 5G?
Jangan risau, sebenarnya masih ada pelan murah yang menawarkan akses 5G pada harga mampu milik. Di sini kami senaraikan pelan 5G yang boleh anda langgan di bawah RM50 sebulan.
1. Yes 5G dari RM15
Yes merupakan penyedia pertama 5G di Malaysia sejak akses 5G dibuka oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Yes juga menyediakan pelan 5G tanpa had kuota termurah, iaitu RM30/bulan yang turut datang bersama panggilan tanpa had. Tetapi hanya akses 5G tanpa had, akses 4G dikenakan sekatan kelajuan 7Mbps. Selain itu, ada kuota hotspot berasingan iaitu 12GB.
Tetapi pengguna Yes 5G boleh melanggan pelan 5G lebih murah, serendah RM15/bulan yang memberikan kuota 10GB sahaja dan tiada panggilan. Jika tambah RM5, boleh nikmati kuota 20GB berharga RM20/bulan. Jika perlukan lebih data untuk hotspot, lebih baik langgan pelan RM49 100GB. Walaupun ia bukan tanpa had, tetapi ia ada 100GB data yang boleh digunakan di rangkaian 4G dan 5G, serta untuk hotspot. Ada juga panggilan tanpa had.
Layari laman web prabayar Yes 5G untuk maklumat lanjut.
2. Yoodo dari RM23
Penyedia perkhidmatan rangkaian digital, Yoodo sebenarnya mengenakan cas untuk akses 5G iaitu RM10. Tetapi disebabkan data mereka yang murah, anda boleh menikmati 5G di bawah RM50 dengan data yang agak banyak. Apatah lagi, Yoodo sekarang mengadakan promosi RM5 sahaja untuk akses 5G, untuk masa terhad yang tidak diketahui bila akan tamat.
Dengan Yoodo, anda boleh menikmati akses 5G bersama data dari serendah RM23/bulan. RM23 ini adalah caj RM5 untuk akses 5G dan data berkelajuan tinggi sebanyak 10GB. Tetapi lebih baik anda melanggan data 20GB kerana harganya cuma RM20, dan tambahan RM5 untuk akses 5G, menjadikan bayaran cuma RM25/bulan.
Layari laman web Yoodo untuk maklumat lanjut.
3. Unifi Mobile dari RM25
Telekom Malaysia menerusi Unifi Mobile, turut menawarkan prabayar dengan akses 5G. Harganya cuma RM25/bulan dan ia memberikan 30GB data yang boleh digunakan di rangkaian 4G dan 5G.
Tetapi dengan tambahan RM10, Unifi Mobile menyajikan pelan tanpa had 4G dan 5G bersama panggilan tempatan tanpa had, hanya RM35/bulan. Tetapi pelan tanpa had ada FUP, iaitu 60GB sebulan. Kuota hotspot juga berasingan, cuma 5GB. Masih agak berbaloi, tambah RM10 dan dapat panggilan tanpa had serta “kuota FUP” diganda ke 60GB.
Layari laman web prabayar Unifi Mobile untuk maklumat lanjut.
4. U Mobile dari RM25
Kalau nak guna U Mobile, akses 5G mereka pelik sikit. Pelan tanpa had U35 berharga RM35/bulan adalah pelan tanpa had dengan kelajuan disekat ke 6Mbps serta ada FUP 100GB. Tetapi pengguna boleh menikmati kelajuan penuh 4G/5G pada setiap hari Sabtu dan Ahad, dengan menebus pas di dalam aplikasi MYUMobile setiap hujung minggu. Maknanya, 2 daripada 7 hari seminggu boleh pakai 5G.
Atau, ada cara lain dengan pelan prabayar U25 berharga RM25/bulan. Ini juga pelan tanpa had tetapi kelajuan disekat ke 3Mbps dan FUP hanya 30GB. Tetapi pengguna diberi pas kelajuan penuh 4G/5G setiap hari, untuk kegunaan 1 jam sehari. Perlu ditebus dalam aplikasi MyUMobile Bermakna, boleh guna 5G selama 30 jam sebulan.
Layari laman web prabayar U Mobile untuk maklumat lanjut.
5. Digi dari RM48
Digi akhirnya memberi peluang pengguna marhaen untuk merasai akses 5G apabila melancarkan pelan Digi Next 5G berharga RM48/bulan. Ia tidak semurah tawaran telco lain, tetapi lebih mampu milik kerana harganya tidak sampai RM50.
Pelan ini sebenarnya ada kuota 30GB/bulan dan disertakan panggilan tempatan tanpa had. Tetapi sambungan ke 5G akan dihadkan kelajuan ke 100Mbps. Bagaimanapun, ada promosi khas sehingga 2 Oktober di mana pengguna akan menerima kuota tambahan 15GB, menjadikan jumlah kuota kepada 45GB. Serta kuota khas hotspot tambahan sebanyak 10GB. Jika pendaftaran dibuat di Stor Digi, pengguna menerima kuota tambahan 5GB, menjadikan keseluruhan kuota kepada 50GB.
Ada satu lagi ganjaran tambahan jika pengguna mengaktifkan pembaharuan automatik, iaitu data media sosial tanpa had untuk Facebook, Instagram dan Twitter, tetapi kelajuan disekat ke 3Mbps.
Layari laman prabayar Digi Next untuk maklumat lanjut.
6. Celcom Xpax dari RM48
Tawaran Celcom ini hampir serupa dengan Digi, tetapi diberi nama pelan tanpa had. Dengan harga RM48/bulan, pengguna akan diberikan internet tanpa had dengan kelajuan 3Mbps, serta panggilan tanpa had. Kuota hotspot pula sebanyak 6GB.
Selain itu, pengguna boleh menikmati internet berkelajuan tinggi 5G tanpa caj tambahan, tetapi dengan kuota 20GB dan kelajuan sehingga 100Mbps sahaja. Tetapi sebagai promosi awal sehingga 2 Oktober 2023, Celcom memberi kuota 5G tambahan sebanyak 15GB, menjadikan jumlah data berkelajuan tinggi kepada 35GB.
Setakat ini, Celcom tidak memaklumkan berapa had FUP untuk internet tanpa had. Jika ia sama dengan pelan Xpax lain, maka FUP bulanan adalah 80GB. Layari laman prabayar Celcom Xpax untuk maklumat lanjut.
7. Hotlink dari RM45
Maxis akhirnya menawarkan akses 5G, termasuk pelan prabayar dan pascabayar Hotlink dari serendah RM45/bulan. Pelan termurah RM45 memberi data 4G/5G berkelajuan tinggi sebanyak 50GB, dengan data bonus 5G sebanyak 25GB. Bermakna, jumlah data yang diterima adalah 75GB pada harga RM45/bulan. Pelan ini juga memberi panggilan tanpa had ke semua talian tempatan.
Satu lagi tawaran menarik adalah pelan pascabayar Hotlink Postpaid 40. Pada harga RM40/bulan, pengguna mendapat 30GB data bersama panggilan dan SMS tanpa had. Susah nak jumpa pelan yang memberikan SMS tanpa had. Tetapi pelan ini tiada akses 5G dan perlu membeli pas akses 5G berharga RM10. Kalau mahu 5G dan SMS tanpa had, kena bayar RM50 untuk pelan ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Hotlink Postpaid untuk pelan pascabayar, dan Hotlink Prepaid bagi pelan prabayar.