Peranti yang dinanti ramai peminat gaming di Malaysia, Infinix GT 10 Pro akan dilancar secara rasmi pada 12 September 2023. Walaupun ada seminggu lagi sebelum dilancar, Infinix Malaysia telah mengumumkan tempahan awal untuk telefon ini.
Tempahan awal Infinix GT 10 Pro
Khas dan eksklusif di stor rasmi Infinix di Shopee Mall sahaja, tempahan awal telefon pintar Infinix GT 10 Pro akan dibuka mulai 9 hingga 12 September 2023. Kita juga akan mengetahui harga rasminya sebelum ia dilancarkan.
Pembeli dalam tempoh tempahan awal akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM99, iaitu fon putik Infinix XE27 dengan fungsi penyaring hingar aktif (ANC). Di samping itu, pembeli juga akan menerima penghantaran percuma.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelebihan dan kekurangan Infinix GT 10 Pro, anda boleh saksikan ulasan kami di dalam video ini:
Spesifikasi Infinix GT 10 Pro
Rekaan Infinix GT 10 Pro penuh dengan tarikan untuk peminat permainan video. Antaranya dengan menampilkan dua pilihan warna, dikenali sebagai Mirage Silver dan Cyber Black. Kedua-duanya mengenakan kemasan futuristik separa lutsinar di belakang, bersama beberapa barisan LED yang boleh berfungsi sebagai notifikasi.
Prestasi tinggi pada Infinix GT 10 Pro dihasilkan melalui cip Mediatek Dimensity 8050 6nm. Ia memiliki 8-teras CPU, gabungan 1-teras Cortex-A78 3.0GHz dan 3-teras Cortex-A78 2.6GHz berkuasa tinggi, serta 4-teras Cortex-A55 2.0GHz yang cekap tenaga. GPU pula dikuasakan oleh 9-teras Mali-G77.
Kuasa ini bergandingan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 seluas 256GB. Infinix menyatakan, GT 10 Pro beroleh markah AnTuTu sebanyak 703,932. Dari laman kedudukan AnTuTu, ia menyamai markah peranti yang dikuasakan cip Snapdragon 870.
Skrin yang digunakan GT 10 Pro adalah jenis AMOLED 6.67-inci 120Hz, dengan kadar sentuhan 360Hz dan kecerahan setinggi 900nits. Tambah Inifinix, sistem operasi yang digunakan bebas dari iklan, digelar juga sebagai Clean OS dan sangat hampir dengan pengalaman Android asli. Tetapi nama sebenarnya ialah XOS for GT v13, dibina daripada asas Android 13.
Meningkatkan pengalaman bermain game di GT 10 Pro adalah sistem bunyi stereo, dikuasakan DTS Audio dan diiktiraf Hi-Res Audio. Jek audio 3.5mm masih dikekalkan. Ia ditambah lagi dengan getaran 4D menggunakan motor haptik linear paksi-Z. Menariknya, kotak Infinix GT 10 Pro boleh digunakan sebagai perkakas menguatkan bunyi.
Bateri berkapasiti 5,000mAh dipasang di dalam GT 10 Pro. Ia menyokong pengecasan pantas PD3.0 45W, bukan lagi pengecas khas Infinix. Ini membolehkan ia menggunakan pelbagai pengecas pantas universal, tidak terhad kepada pengecas Infinix sahaja. Fungsi ‘Bypass Charging’ turut ada, membolehkan pengguna menguasakan terus peranti tanpa mengecas bateri, agar peranti tidak terlalu panas.
Untuk kamera, ia dikenakan tiga kamera belakang iaitu kamera utama 108MP bersama kamera makro dan kamera potret. Di hadapan, ia dipasang kamera 32MP yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin serta ada LED Flash untuk swafoto yang cerah.