Pasaran tablet pada hari ini terdiri daripada pelbagai pilihan yang menarik untuk pengguna dapatkan. Walaupun iPad telah mendominasi pasaran tablet sejak sekian lama, segmen tablet Android kini pilihan yang lebih berbaloi kerana didatangkan dengan ciri yang lengkap tetapi pada harga mampu milik.
Realme antara salah satu syarikat yang menawarkan tablet dalam beberapa segmen. Baru- baru ini, mereka telah memperkenalkan Realme Pad 2, menggantikan tempat Realme Pad terdahulu. Ia membawakan beberapa naik taraf dari segi rupa, prestasi dan ciri yang dilengkapkan.
Di Malaysia, Realme Pad 2 dilancarkan pada harga bermula RM1,299. Pada harga yang dikenakan, adakah Realme Pad 2 sebuah tablet yang berbaloi untuk anda dapatkan? Untuk ketahuinya, teruskan baca reviu ini atau tonton menerusi video di bawah:
Spesifikasi Realme Pad 2
Sebelum teruskan dengan reviu, di sini saya sertakan maklumat spesifikasi Realme Pad 2.
- SoC: Helio G99 4G
- RAM: 8GB
- Storan: 256GB, terima mikroSD sehingga 1TB
- Skrin: LCD 11.5-inci 2K 120Hz
- Kamera belakang: 8MP
- Kamera depan: 5MP
- Bateri: 8360mAh, pengecasan 33W SuperVOOC
- Speaker: 4
- Sistem Operasi: Realme UI for Pad 4.0 berasaskan Android 13
- Sambungan: Bluetooth 5.2, WiFi 5, 4G LTE
Rekaan dua tona yang anggun
Bermula daripada luaran, Realme Pad 2 mempunyai reka bentuk tipikal seperti tablet-tablet Android lain pada masa sekarang. Ia menampilkan badan dengan sisi rata serta menggunakan kemasan jenis besi. Binaannya saya rasakan cukup berkualiti dan padu. Tablet ini tersedia dalam dua warna iaitu Hitam dan Hijau, dan unit yang berada di tangan saya adalah berwarna hitam.
Tetapi yang uniknya, panel belakangnya menampilkan dua tona warna dengan jenis tekstur yang berbeza. Keseluruhan panel belakang di sebelah kanan disaluti dengan kemasan besi matte, dan pada bahagian kamera pula menggunakan kemasan plastik dengan tekstur berjalur . Pada saya, rekaan panel belakang ini menjadikan tablet ini nampak cukup premium dan menawarkan estetik dan kesan kontra yang cantik.
Memegang tablet ini berikan pengalaman yang cukup selesa walaupun keseluruhan tablet ini agak besar. Namun begitu, sisi ratanya sedap untuk dicengkam dan memiliki dimensi yang cukup nipis dengan berukuran 7.2mm. Tetapi, saya dapati penggunaan dalam jangka masa panjang membuatkan tangan sedikit letih kerana tablet ini agak berat iaitu 518g. Jadi kalau nak selesa, anda kena sandarkan ia pada sesuatu macam sarung tablet. Secara keseluruhan, binaan badan Realme Pad 2 terasa berkualiti.
Di sekeliling tablet, anda akan dapati butang kuasa di bahagian kiri yang tidak ada sokongan untuk mengimbas cap jari, bersama butang laras audio di bahagian atas. Selain itu, di kedua sisi kiri dan kanan tablet terdapat 2 speaker di setiap sisi menjumlahkan 4 speaker. Port USB-C pula diletakkan pada bahagian kanan bersama speaker. Mengikut jejak Realme Pad terdahulu, Realme Pad 2 juga tidak didatangkan dengan port jek audio 3.5mm.
Prestasi cukup makan dan ada 4G
Prestasi merupakan sesuatu perkara penting untuk sebuah tablet. Sepanjang menggunakan tablet ini, ia mampu mengendalikan segala perkara yang dilemparkan kepadanya dengan baik. Ini termasuklah penggunaan aplikasi harian seperti menstrim YouTube, melayari laman web dan juga mengskrol Twitter. Cip yang digunakan pada tablet ini adalah cip keluaran MediaTek iaitu Helio G99, cip yang biasanya digunakan dalam telefon kelas pertengahan.
Walaupun cip Helio G99 bukanlah yang terbaik, ia masih cip yang bagus dalam menawarkan keseluruhan prestasi yang baik, dan prestasi gaming yang cukup-cukup makan. Penggunaan cip Helio G99 pada Realme Pad 2 juga tidak berbeza. Ia mampu untuk menjalankan game seperti COD Mobile dengan lancar. Tetapi kalau pergi kepada game lebih berat macam Undawn, game terasa perlahan dan akan tersangkut-sangkut.
Selain itu, tablet ini didatangkan bersama RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Melakukan kerja-kerja berbilang tugas tablet pada tablet ini cukup bagus. Bertukar antara beberapa aplikasi lain tidak memerlukan aplikasi dilancarkan semula. Tetapi katakanlah RAM tidak mencukupi, ia boleh diperluas lagi sehingga 4GB dengan RAM maya. Storan pula menerima kad MicroSD yang boleh diperluas sehingga 1TB.
Bagi anda yang ingin melihat hasil penanda aras, di sini saya akan kongsikan. Di geekbench 6, ia peroleh sebanyak 725 mata untuk teras tunggal dan 1967 untuk pelbagai teras. Markah ini boleh dilihat sama seperti yang diperoleh cip snapdragon 695.
Apabila melakukan kerja berat, panel belakang Realme Pad ini langsung tidak terasa panas. Terasa sejuk sahaja walaupun jika bermain game dalam jangka masa yang panjang. Agak mengagumkan untuk tablet senipis ini.
Satu perkara yang yang menonjolkan Realme Pad 2 berbanding pesaingnya adalah ia hadir dengan sokongan 4G LTE untuk kedua-dua varian yang tersedia. Jadi, ini dapat memudahkan anda untuk melakukan kerja atau menstrim Netflix walaupun berada di luar rumah. Slot kad SIM boleh didapati di dulang sama untuk microSD. Pada julat harga ini, agak jarang untuk tablet memiliki sokongan 4G LTE selain Honor Pad X9.
Sistem operasi bersih dan banyak ciri produktiviti
Beralih kepada bahagian perisian, ia menjalankan sistem operasi Android 13 yang diselaputi Realme UI for Pad 4.0. Antaramuka tablet bersih dan bebas daripada aplikasi gendut. Tambahan pula, aplikasi macam YouTube dan Twitter turut dioptimumkan untuk penggunaan pada skrin tablet ketika dalam mod landskap.
Di samping itu, Realme Pad 2 ini turut dilengkapkan dengan pelbagai ciri produktiviti antaranya ciri dwi tingkap membolehkan anda untuk membuka satu aplikasi dalam dua tetingkap. Seperti tablet lain, tablet ini juga mampu melancarkan dua aplikasi serentak secara bersebelahan, dan juga boleh membuka dua aplikasi dengan satu daripadanya tetingkap fleksibel. Ciri ini boleh diakses menerusi bar pintar di sisi.
Sementara ciri produktiviti yang dilengkapi cukup bagus, OS terbaru Realme for Pad 4.0 kini menyokong ciri Multi-screen Collaboration, yang mana dapat menyambungkan penggunaan telefon secara terus dari tablet. Jadi anda boleh kawal telefon menerusi tablet, dan boleh menyalin teks dan pindahkan fail seperti gambar dengan mudah.
Lebih menarik, tablet ini mempunyai juga satu ciri memainkan aplikasi secara belakang tabir. Ciri ini saya boleh lihat amat berguna bagi mereka yang tidak melanggan Spotify dan mahu mainkan lagu di YouTube secara belakang tabir sambil membuka aplikasi lain.
Skrin besar dan empat speaker
Realme Pad 2 ada paparan yang agak besar berukuran 11.5 inci. Jika nak dibandingkan dengan Realme Pad sebelum ini, bezel Realme Pad 2 kini lebih nipis. Paparannya ada resolusi resolusi 1200×2000 ataupun 2K dan menggunakan panel jenis LCD.
Menonton di aplikasi macam YouTube, skrinnya berikan pengalaman yang mengasyikkan kerana kandungan nampak tajam dan warna yang dihasilkan cukup cantik dan terang. Seperti Realme Pad juga, paparan Realme Pad 2 masih dikekalkan dengan nisbah aspek 16:10, yang menjadikannya amat sesuai untuk menonton filem di Netflix.
Skrinnya ada tahap kecerahan sehingga 450 nits. Menggunakannya di kawasan pencahayaan yang cerah masih menampakkan skrin dengan jelas dan skrinnya juga tidak terlalu reflektif. Akan tetapi, melihat dari sudut sisi akan menyebabkan butiran warna hilang sedikit. Jadi, sudut pandangan tablet tidak berapa bagus. Selain itu, saya dapati skrinnya juga mengalami sedikit isu ‘Ghosting’ oleh kerana kadar sentuhnya yang agak perlahan. Namun, ia sesuatu yang masih boleh diterima memandangkan ia sebuah tablet berkategori mampu milik.
Bagaimanapun, skrinnya menyokong kadar penyegaran 120Hz yang memberikan pengalaman menatal media sosial atau laman web yang menyeronokkan. Tetapi ia tidak menyokong kadar penyegaran berubah automatik. Anda perlu tetapkan sama ada 60Hz atau 120Hz sahaja. Sementara itu, tablet ini juga menyokong Widevine L1 membolehkan anda untuk menonton Netflix pada resolusi tinggi.
Disebabkan skrinnya yang besar, pengalaman menaip semasa skrin melintang dengan dua tangan agak tidak praktikal dan memberi sedikit masalah untuk mencapai huruf di tengah skrin. Saya perlu meregang jari betul-betul untuk menaip huruf G dan H terutamanya. Melainkan anda menaip menggunakan satu tangan, saya sarankan anda untuk menaip dalam keadaan menegak untuk dapat pengalaman yang lebih selesa.
Sistem audio tablet ini didatangkan dengan 4 speaker yang menembak ke kiri dan kanan. Ia menghasilkan bunyi cukup lantang dan kuat, tetapi kualiti kurang memuaskan bagi saya. Saya dapati bunyinya terasa halus dan tidak dapat mengekalkan kejelasan dengan baik. Tetapi untuk penggunaan kasual macam menonton YouTube, ia baik-baik sahaja.
Meskipun begitu, tablet ini ada didatangkan dengan sokongan Dolby Atmos untuk audio yang lebih sedap. Walau bagaimanapun, ia hanya tersedia untuk sambungan fon telinga sahaja dan tidak disokong melalui speaker terbina. Untuk lebih spesifik, fon telinga Bluetooth sahaja kerana tablet ini tidak mempunyai port jek audio 3.5mm.
Stylus tidak tersedia
Malangnya, Realme Pad 2 ini tidak hadir dengan sokongan pen stylus seperti yang terdapat pada Realme Pad X. Ini bermaksud skrinnya tidak boleh mengenal pasti tahap tekanan berbeza. Agak mengecewakan tetapi ianya sudah boleh dijangka kerana Realme Pad terdahulu pun tidak diberi sokongan pen stylus. Oleh itu, skrin Realme Pad 2 hanya sokong digunakan bersama pen stylus biasa sahaja.
Kamera ‘meh’ tetapi berfungsi
Sistem pengimejan yang dilengkapi tablet ini tiada apa yang istimewa. Di belakangnya, ia nampak seperti dimuatkan dengan dua modul kamera belakang. Namun, hanya satu sahaja yang berfungsi yang menggunakan sensor 8MP. Hasil tangkapan menggunakan kamera belakang agak kabur dan tidak tajam, serta warna yang dihasilkan juga tidak berapa baik. Tetapi sekurang-kurangnya ia ada mod mengimbas dokumen yang agak berguna di samping mod panorama.
Untuk kegunaan panggilan video, kualiti kamera hadapan 5MP bukanlah yang terbaik tetapi ia masih ada jika anda perlukannya. Sesuatu yang menghampakan adalah kamera hadapannya tidak dilengkapkan dengan ciri Limelight seperti yang terdapat di Realme Pad X, iaitu Center Stage Apple versi Realme untuk menjejak wajah pengguna dalam bingkai.
Selain itu, kamera hadapannya juga boleh digunakan untuk mengimbas muka bagi membuka tablet. Setakat saya gunakannya, ia amat pantas dan boleh dipercayai.
Bagi anda yang ingin melihat sampel gambar dari Realme Pad 2, berikut saya sertakan.
Jangka hayat bateri memuaskan
Apa yang saya suka pada Realme Pad 2 ini adalah bahagian baterinya. Kapasiti bateri yang dilengkapinya agak besar dengan berkapasiti 8360mAh, dan ia mampu bertahan sehingga akhir hari tanpa masalah. Saya dapati masa penggunaan skrin atau Screen On Time mampu bertahan sehingga 9 jam dengan penggunaan aplikasi seperti YouTube, Netfix, dan Instagram.
Untuk mengecas, ia mengambil sekitar masa 2 jam untuk dicas penuh menggunakan kuasa pengecas 33W SuperVOOC. Oh ya, tidak lupa juga pengecas diberi sekali dalam kotak.
Kesimpulan
Secara kesimpulan, pada harga bermula RM1,299, Realme Pad 2 merupakan salah satu tablet yang terbaik dalam kelasnya. Antara ciri menarik menjadikan ia lebih berbaloi berbanding pesaingnya adalah ia dilengkapi sokongan 4G LTE, serta memiliki kapasiti bateri yang besar yang bertahan sepanjang hari.
Tidak dinafikan tablet ini mempunyai kekurangan pada beberapa bahagian macam ketiadaan sokongan pen stylus dan kualiti kamera yang tidak berapa bagus. Tetapi dalam julat harganya, anda sememangnya perlu berkorban terhadap beberapa perkara. Tetapi jika anda tidak kisah akan dua perkara itu, Realme Pad 2 adalah pilihan bagus dan berbaloi untuk anda dapatkan.
Dalam kategori ini, Realme Pad 2 boleh dilihat bersaing dengan Honor pad X9 yang berharga RM1,099. Ia ada enam speaker, sokongan 4G LTE, dan terima kad microSD untuk meluaskan storan. Selain daripada itu, turut bersaing dalam kelas yang sama adalah Xiaomi Pad 6 yang berharga bermula RM1,299. Ia ada skrin 144Hz, sokongan pen stylus, kamera lebih bagus 12MP tetapi tiada 4G LTE.
Jika anda berhasrat untuk mendapatkan Realme Pad 2, anda boleh layari gedung rasmi Realme di Lazada atau Shopee.