Banyak pengeluar meletak label ‘telefon gaming’ sesuka hati mereka. Telefon serendah RM600 pun ada dilabel sebagai telefon gaming, semudah penggunaan pemproses yang dikatakan ada fungsi khas gaming. Sedangkan ia tidak cukup kuasa pun untuk menjalankan permainan berprestasi tinggi dalam mod terendah.
Tetapi pandangan saya berubah dengan telefon terbaru Infinix GT 10 Pro. Telefon ini telah dilancar di Malaysia dengan harga yang sangat murah berbanding prestasi dan perkakas yang ditawarkan, hanya RM999. Anda boleh membelinya di Lazada, Shopee dan daripada pengedar Infinix.
Pendek kata, ini baru betul telefon gaming!
Anda boleh memilih untuk menonton video ulasan saya mengenai Infinix GT 10 Pro di bawah, atau membaca dengan lebih teliti dengan menatal lebih lanjut di bawah video.
Spesifikasi Infinix GT 10 Pro
- SoC: Mediatek Dimensity 8050
- RAM: LPDDR4X 8GB
- Storan: UFS 3.1 256GB, mikroSD sehingga 1TB
- Skrin: AMOLED, 6.67-inci, HD Penuh, 120Hz, 900 nits
- Kamera Utama: 108MP F1.75
- Kamera Makro: 2MP F2.4
- Kamera Potret: 2MP F2.4
- Kamera Hadapan: Utama 32MP F2.45
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: USB-C PD 3.0 45W
- Audio: Speaker Stereo, Jek Audio 3.5mm
- OS: XOS 13 for GT, Android 13
Di dalam kotak yang saya terima, ia mengandungi telefon sendiri, serta sarung getah plastik, jarum pembuka dulang dan buku panduan. Ada juga pelindung skrin ‘tempered glass’ diberikan, tetapi perlu dipasang sendiri.
Kotak macam Transformers
Saya nak kongsikan lebih lanjut mengenai kontak Infinix GT 10 Pro ini kerana ia sangat unik, lain daripada yang lain. Warna hitam dan oren kotak memang menarik dan nampak futuristik.
Merujuk kepada cara mengubah susunan di dalam kotak, ia boleh dijadikan sebagai penguat bunyi atau amplifier. Ia juga ada lubang untuk menjadi dok pengecas. Sebab ada banyak kegunaan, ini boleh jadi alasan untuk tidak membuang kotak telefon.
Prestasi Hebat
Tengok spesifikasi tadi, Infinix GT 10 Pro adalah telefon dengan prestasi tinggi dalam kelasnya. Cip Mediatek Dimensity 8050 ni, salah satu terasnya adalah ARM Cortex A78 3.0Ghz yang sangat hebat. Ditambah lagi dengan storan UFS 3.1 yang pantas. Ini memang lebih daripada biasa.
Untuk perbandingan, ini saya jalankan ujian tanda aras Geekbench 6, 3DMark dan Antutu. Melihatkan markahnya, ia sangat menghampiri peranti berkuasa Snapdragon 865. Boleh kata, Infinix GT 10 Pro ada kuasa kelas flagship beberapa tahun lepas.
Uji Main Game
Benarkah Infinix GT 10 Pro ni cukup perkasa? Sembang memang kencang, kuda pun boleh terbang. Sebab ia telefon gaming, kita kena fokus pada gaming. Ini dapatan saya bermain game.
A. GENSHIN IMPACT
Kalau telefon flagsihip macam ROG Phone 7, saya tetapkan grafik ke ‘Highest’ dan FPS 60. Tapi Infinix GT 10 Pro ni sangkut sikit dengan tetapan ‘Highest’ bila sibuk berlawan. Yang boleh set ‘Medium’ dan FPS 60, baru lancar. Ini saya bagi 3/5 bintang.
B. ASPHALT 9
Game ni agak lama tapi saya masih selalu main. Jadi tetapan grafik set High tiada masalah. Memang sangat lancar main. Asphalt 9 boleh bagi 5/5 bintang.
C. DIABLO IMMORTAL
Ini game agak baru. Tapi tak seberat Genshin. Game berjalan lancar dengan tetapan grafik High, tak boleh pergi Ultra. Tapi game tidak terganggu walaupun ada banyak setan di sekeliling. Diablo Immortal ni saya letak 4/5 bintang.
Sepanjang main semua game ni, walaupun berjam-jam main tak terasa panas sangat. Suam-suam kuku. Selalunya rasa panas sangat ni kalau guna cip flagship macam Snadpragon 8 Gen 1 atau Gen 2, contohnya ROG Phone 7 dan Redmagic 8 Pro. Di Infinix GT 10 Pro ni, ia tak sepanas telefon flagship.
Bateri & Mengecas
Hayat bateri Infinix GT 10 Pro agak bagus. Saya boleh main Diablo Immortal selama 1 jam, bateri dari 100% turun ke 85%. Mengecas pun pantas.
Guna pengecas 45W yang Infinix bagi, cas dari 1% ke 100% ambil masa 1 jam sahaja. Lepas tu saya cuba pula guna pengecas Ugreen 100W, pun dapat masa mengecas yang sama. Jadi penggunaan PD 3.0 di Infinix GT 10 Pro membolehkan telefon ni cas pantas dengan pengecas GaN biasa. Tak pening nak bawa pengecas khas telefon sahaja. Macam pengecas Ugreen saya ni ada 4 port. Dengan satu pengecas saya boleh cas telefon, laptop, fon putik dan jam pintar serentak.
Tambah memudahkan dengan kabel L yang diberi Infinix. Tak terganggu main game sambil mengecas. Tapi fungsi lebih penting adalah ‘Bypass Charging’. Anda aktifkan fungsi ni, cucuk pengecas dan main tanpa risau bateri cepat rosak. Sebab ia tak cas bateri tapi bagi tenaga terus ke telefon, jadi telefon tak panas dan bateri pun tahan lama sebab sejuk sikit.
Bila ada Kabel-L dan Bypass Charging, baru boleh kata ini telefon gaming.
Perisian & Antaramuka
Biasanya di telefon murah, ada banyak bloatware atau aplikasi sampah yang jarang digunakan. Pihak ketiga membayar pengeluar peranti untuk letak applikasi mereka di dalam telefon, maka boleh jual telefon murah. Tapi di Infinix GT 10 Pro, katanya tiada langsung aplikasi bloatware dan tiada iklan. Tetapi ia bukanlah Android Asli. Masih mengunakan XOS yang Infinix hasilkan, cuma tiada aplikasi bloatware dan iklan. Antaramuka XOS ni, nampak kebudakan sedikit. Tapi tak mengapa, asal main game padu.
Untuk main game, Infinix ada sediakan satu perisian khas, Xarena dengan enjin Dar Link. Dalam Xarena, anda boleh buat buat beberapa tetapan khas untuk game tersebut. Seperti aktifkan prestasi tertinggi, kuatkan bunyi kaki atau hidupkan Bypass Charging. Ketika main game, tetapan ni boleh diakses dengan leret dan tahan dari tepi.
Ada satu fungsi menarik yang saya jumpa dari sini iaitu Magic Button. Ia boleh jadikan butang kawalan bunyi kepada butang tambahan permainan. Macam butang bahu di alat kawalan konsol. Penggunaannya tak berapa praktikal sebab jauh ke tengah. Tapi ia mungkin berguna untuk orang lain. Ini saya puji Infinix sebab bagi ciri tambahan.
Rekaan Badan
Melengkapkan gelaran telefon gaming pada Infinix GT 10 Pro ni adalah rekaannya yang futuristik. Katanya diilhamkan dari game Cyberpunck. Macam RedMagic 8 Pro pun ada, yang jenis separa lutsinar tu. Lain dari yang lain.
Belakang ni pun ada 5 jalur LED putih, dah macam Nothing Phone. Tapi sikit sahaja jalur LED, tak boleh ubah banyak. Hanya untuk bagitau notifikasi dan kelip-kelip sikit masa main game. Jadilah buat ghaso-ghaso.
Untuk kaki gaming, rekaan Infinix GT 10 Pro ni memang memenuhi ciri-ciri peranti gaming. Kalau komputer tu nak lampu lip lap dan rupa ganas sikit, semuanya ada di telelfon ni.
Kamera
Ini bahagian paling tak penting untuk telefon gaming. Tetapi saya kongsi sikit tentang hal ini untuk mereka yang mahu jadikan ini telefon harian. Yang tak seronoknya, ia tak ada kamera ultralebar. Tapi ia ada pelbagai mod untuk kamera biasa macam potret dan malam.
Kamera depan ni bagi saya sangat menarik. Resolusinya tinggi 32MP dan ada dua mod lampu nak cerahkan gambar. Satu LED flash di atas skrin, satu lagi dia gunakan kecerahan skrin sepenuhnya . Nak ambil swafoto memang cerah.
Kesimpulan
Saya memang sangat puas hati dengan Infinix GT 10 Pro sampai ia hampir gantikan ROG Phone 7 untuk telefon gaming utama saya. Kecuali main Genshin Impact, game lain semua lancar. Skrin pun cerah, tapi elakkan main di bawah panas matahari. Untuk sistem bunyi, walaupun stereo, kelantangannya tak sekuat telefon gaming lain. Kalau rasa tak cukup kuat, elok pakai fon telinga berwayar atau bluetooth.
Rekaan pun sangat puas hati, ditambah lagi dengan usaha Infinix memberi nilai tambah macam kotak yang boleh jadi amplifier dan kabel USB bentuk L. Ciri gaming yang tak ada di telefon biasa pun ada, macam Bypass Charging dan Magic Button.
Pendek kata, dengan bajet RM1,000, Infinix GT 10 Pro ni pilihan terbaik untuk telefon gaming. Ciri-ciri gaming banyak, rupa mengancam dan harga berbaloi. Dah lama saya tak rasa seronok reviu telefon seperti ini.
Kalau nak banding dengan Nubia Neo 5G, ia lagi murah tapi tawaran dan prestasi Infinix GT 10 Pro jauh lebih baik. Kalau tengok iQoo Z7 pun, tak bergaya macam telefon Infinix ni. Anda rasa ada telefon lain yang boleh menandingi Infinix GT 10 Pro dalam harga sebegini? Nampak macam tak ada kan. Kalau ada, boleh tulis dalam ruangan komen ya.
Kalau anda berminat untuk membeli Infinix GT 10 Pro, boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.