Samsung baru-baru ini telah memperkenalkan barisan produk edisi peminat (Fan Edition), yang merangkumi lebih banyak peranti. Buat pertama kalinya, Samsung menyertakan fon putik yang dipanggil Samsung Galaxy Buds FE.
Dalam keluarga Galaxy Buds, Galaxy Buds FE adalah fon putik paling murah yang pernah Samsung keluarkan dengan dilancar pada harga RM399 di Malaysia. Dengan tanda harga yang murah, bahagian manakah yang Samsung kompromi untuk mencapai tanda harga ini? Teruskan baca reviu ini untuk ketahui lebih lanjut.
Rekaan wingtip selesa
Galaxy Buds FE menggunakan rekaan seperti kebanyakan fon putik siri Galaxy Buds lain. Tetapi apa yang berbeza adalah Samsung mengembalikan semula rekaan wingtip yang kali terakhir diperkenal pada Galaxy Buds+ pada tahun 2019.
Dengan adanya wingtip, apabila dipakai, ia dapat berikan fon putik terletak secara selesa dan tidak mudah jatuh ketika di dalam telinga. Menggoncang dan menggelengkan kepala secara agresif pun tidak akan mengeluarkan fon putik. Tambah pula wingtip tersebut pada saya menambah kesan estetik yang unik pada fon putik.
Apabila berada dalam telinga, saiz fon putik tidaklah terlalu besar sehingga menonjol keluar dari telinga. Ini kerana fon putik ini ada permukaan rata, yang mana juga berfungsi sebagai kawalan sentuh. Tetapi apa yang buatkan saya terkejut adalah betapa ringannya fon putik ini. Ketika memakainya, ia tidak berikan keletihan pada telinga walaupun dalam sesi pendengaran yang lama. Malah untuk berlari juga amat praktikal oleh kerana ianya sangat ringan, dan ditambah pula ada rekaan wingtip.
Jika anda tidak memerlukan wingtip dan lebih suka menggunakan tanpanya, tersedia juga pilihan untuk anda menukar tip kosong. Berkenaan saiz tip telinga, ia datang dalam tiga saiz tip telinga untuk muat pada kebanyakan telinga dengan lebih baik. Terdapat saiz kecil, medium dan besar. Saiz medium dipasang terus dalam fon putik yang mana juga adalah paling sesuai berikan kedapan yang terbaik untuk telinga saya.
Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa fon putik ini diiktiraf IPX2 sahaja. Jadi untuk bersukan, mungkin agak kurang praktikal dan perlu lebih berhati-hati daripada peluh dan percikan air.
Bekas pengecas Galaxy Buds FE ini hadir dalam pakej dan saiz serupa seperti Buds2 Pro. Tetapi ia tidak menggunakan tekstur matte, sebaliknya ia menggunakan material berkilat yang berwarna putih pada luaran, tetapi berwarna hitam pada dalamannya. Bekas fon putik ada kualiti binaan yang baik, dengan mekanisme engsel menghasilkan bunyi sedap apabila ditutup.
Di belakangnya juga terdapat port USB-C untuk mengecas. Ia adalah satu-satunya cara untuk mengecas, kerana ia malangya tidak menyokong pengecasan wayarles, walaupun menggunakan rekaan sama seperti Buds 2 Pro. Jadi ini mungkin taktik Samsung untuk membezakan antara model lebih premium dan model lebih murah.
Audio neutral sehinggalah diubah
Berada dalam barisan edisi peminat yang lebih mampu milik, atau paling murah dalam siri Galaxy Buds, sudah tentu kualiti audio tidak sehebat model Galaxy Buds yang lain. Namun ini tidak bermakna bunyi yang dihasilkan tidak bagus.
Pada saya, kualiti audio yang ia hasilkan masih cukup sedap dan jelas, yang mana saya rasakan lebih ke arah bunyi neutral. Bunyinya tidak berat pada bass, dan instrumen tidak terasa seperti ada kedalaman. Tetapi tidak apabila saya mengubah suai preset EQ kepada Bass Boost yang tersedia dalam aplikasi Galaxy Wearables. Bunyi jelas lebih berdentum, dan sekali gus menambah baik kualiti audio untuk kedalaman bunyi lebih baik.
Namun, saya lebih suka preset Dynamic yang mana lebih seimbang dalam menghasilkan bunyi bass yang sedap, sementara ada vokal yang jelas dan dapat mengekalkan bunyi instrumen lain dengan jelas. Walaupun saya rasa Dynamic preset terbaik, terdapat lagi sejumlah preset lain yang tersedia dalam aplikasi untuk anda mengubah suai mengikut cita rasa anda.
Dari aplikasi juga terdapatnya tetapan untuk anda menghidupkan penyaring hingar aktif ANC. Ya, meskipun berada dalam barisan edisi peminat, Samsung turut menambah ciri ANC pada Galaxy Buds FE.
Tahap ANC yang ia miliki saya dapati dapat menyingkirkan kebanyakan bunyi luar dengan baik, tetapi tidaklah untuk semua bunyi. Masih ada bunyi halus yang dapat menembusi fon putik. Malah bunyi orang bercakap di hadapan juga masih boleh didengari dengan samar-samar. Kalau untuk bunyi yang lebih kuat seperti tren LRT lagilah kedengaran dengan jelas. Namun, ia tidak memiliki ciri untuk melaraskan tahap ANC. Ia hanya boleh dihidup atau dimatikan sahaja.
Selain ANC, terdapat juga fungsi Ambient Sound membolehkan ia mengutip bunyi luar menggunakan mikrofon terbina. Menariknya, bunyi ambien sekeliling anda memang boleh dengar dengan sangat jelas, dan ia berfungsi dengan sangat baik. Suara orang kedengaran agak natural dan untuk mengaksesnya, boleh dilakukan dengan sentuh lama pada permukaan fon putik yang akan mengubah dari mod ANC ke Ambient Sound atau sebaliknya.
Sementara itu, berkenaan kualiti mikrofon, pemanggil tiada masalah untuk mendengar suara saya dengan jelas. Mikrofon pada fon putik dapat mengutip bunyi suara dengan sangat baik. Menurut Samsung, Galaxy Buds FE dimuatkan dengan tiga mikrofon pada setiap fon putik. Namun, ia tidak dilengkapi ciri untuk menguji suara seperti yang terdapat di fon putik lain.
Lebih sesuai dengan Samsung sahaja
Penggunaan Galaxy Buds FE boleh disambungkan pada aplikasi Samsung Wearables, yang membuka akses kepada sejumlah ciri lain. Tetapi anda kena tahu yang aplikasi ini hanya tersedia untuk peranti Android sahaja, dan tidak tersedia untuk pengguna iPhone. Ini bermakna pengguna iPhone hanya boleh menggunakan fon putik ini menerusi sambungan Bluetooth sahaja.
Seperti yang dikata awal tadi, audio fon putik boleh diubah suai menerusi preset EQ yang tersedia dalam aplikasi. Bukan itu sahaja, dalam aplikasi juga pengguna boleh menguji kesesuaian padanan fon putik dalam telinga. Ia akan memberitahu sama ada fon telinga kiri atau kanan diletakkan dalam keadaan ideal atau tidak.
Pengguna juga boleh mengaktifkan mod Ambient Sound ketika panggilan untuk bolehkan pemakai mendengar dengan lebih jelas suara sendiri. Tetapi setakat yang saya uji, ketika panggilan, ia seolah tidak berada dalam mod ambien seperti semasa mendengar lagu, dan menjadikan tiada peningkatan dalam kejelasan suara yang saya dapat dengar.
Selain itu, anda juga boleh memanfaatkan ciri pengesanan automatik untuk panggilan yang mana bolehkan anda menjawab panggilan terus dari fon putik ketika memakainya. Namun, perlu dinyatakan yang kalau nak ubah tetapan, ia tidak boleh dilakukan ketika panggilan.
Walau bagaimanapun, seperti Galaxy Buds yang lain, Galaxy Buds FE ini tidak mempunyai sokongan multipoint untuk sambungan serentak pada beberapa peranti. Tetapi ia mampu bertukar dengan lancar antara beberapa peranti Samsung, yang berdaftar dalam akaun Samsung anda sahaja. Jadi Samsung ada mengenakan had untuk ciri yang tersedia untuk peranti Android lain.
Di samping itu, terdapat ciri Find My Earbuds yang membolehkan anda mencari fon putik jika ianya tercicir. Ia akan memainkan bunyi sangat lantang supaya fon putik mudah dicari. Tetapi dengan menggunakan peranti Samsung, pengguna boleh mengesan fon putik dengan lebih tepat dalam bentuk peta melalui aplikasi SmartThings Find Samsung. Namun, ciri ini hanya dihadkan untuk peranti Samsung yang serasi sahaja.
Dalam pada itu, pengguna Samsung juga boleh mengakses mod gaming untuk bunyi yang selari pada fon putik. Ia boleh diakses dalam pilihan Labs dalam aplikasi. Terdapat juga fungsi boleh mengaktifkan Bixby secara terus tanpa perlu tunggu ia memberi maklum balas untuk memberi arahan.
Untuk sambungan, ia menyokong Bluetooth 5.2 dengan codec yang tersedia seperti AAC, SBC serta Samsung Scalable, iaitu codec yang hanya boleh digunakan jika disambungkan pada peranti Samsung terpilih. Walau bagaimanapun, tiada sokongan untuk LDAC dan setakat saya gunakannya, ia secara automatik mengguna pakai codec AAC, yang mana dapat berikan pengalaman mendengar cukup baik.
Masa penggunaan agak lama
Boleh dikatakan saya menggunakan Galaxy Buds FE pada setiap hari sejak saya menerimanya untuk reviu. Dalam penggunaan saya dengan yang kerap bertukar antara mod ANC hidup dan mod Ambien, saya dapati masa penggunaan bertahan sehingga 7 jam. Ini tidak jauh seperti apa yang yang didakwa oleh Samsung dengan 8.5 jam masa penggunaan dengan ANC dimatikan. Atau 6 jam bersama ANC dihidupkan.
Jadi prestasi Galaxy Buds FE ini agak memuaskan dan saya tidak pernah kekeringan bateri sehingga kosong sebelum saya mengecasnya semula dalam bekas, yang mana dengan mengecas beberapa minit dapat bolehkan saya menggunakannya semula dengan agak lama. Jika perlu mengecas, ia mengambil masa sekitar satu jam lebih untuk penuh pada bekas pengecas menggunakan port USB-C, kerana ia tidak memiliki sokongan pengecasan wayarles.
Kesimpulan
Secara kesimpulan, Galaxy Buds FE adalah sebuah fon putik yang cukup bagus dan berbaloi untuk didapatkan kerana menawarkan banyak ciri menarik dan dilengkapi dengan ANC, walaupun berada dalam barisan FE yang mampu milik. Tambahan pula ia ada prestasi bateri yang baik, serta didatangkan dengan rekaan wingtip yang selesa dan ringan.
Sudah tentu ada penjimatan yang perlu dilakukan untuk mencapai tanda harga yang dikenakan pada RM399. Ini termasuk kualiti audio yang baik-baik sahaja, bekas pengecas yang tidak menyokong pengecasan wayarles, serta ANC yang kurang memuaskan.
Jadi jika anda pentingkan kualiti audio, fon putik ini bukanlah pilihan terbaik yang anda boleh dapat, dan mungkin anda mahu berbelanja lebih untuk dapatkan Galaxy Buds2 Pro yang menawarkan bunyi lebih berkualiti. Perlu diingatkan juga yang fon putik ini lebih sesuai digunakan bersama peranti Samsung, tetapi jika anda tak kisah menggunakannya tanpa keseluruhan fungsi, ia masih sepasang fon putik yang baik.
Berita baiknya, dengan setiap pembelian Galaxy Buds FE, Samsung turut menawarkan sarung bekas Minions secara percuma jika pembelian dibuat sekarang. Jadi jika berminat, anda boleh dapatkan Galaxy Buds FE di stor rasmi Samsung di Lazada dan Shopee.