Setiap tahun Apple pasti akan melancarkan siri iPhone terbaru. Kali ini, Apple telah memperkenalkan barisan iPhone 15, yang merangkumi iPhone 15 dan iPhone 15 Plus.
Di acara Wonderlust, Apple mengatakan iPhone 15 kali ini hadir dengan rekaan baru sepenuhnya. Tapi kalau tengok secara kasar, tak banyak perubahan besar pun. Masih ada sisi rata, dua bonggol kamera, cuma warna sahaja yang berbeza, kini jauh lebih pudar berbanding model iPhone 14.
Macam sebelum ini juga, harga iPhone 15 menyaksikan kenaikan RM200 menjadikan harga iPhone 15 dijual bermula RM4,399, manakala iPhone 15 Plus pula pada harga bermula RM4,899. Makin lama makin mahal siri iPhone ini, walaupun tak banyak perubahan kalau ditengok pada bahagian luaran.
Namun, adakah betul tak banyak perubahan pada model terbaru ini? Jadi dalam artikel ini saya nak berkongsikan apa perubahan baru yang dibawa oleh Apple untuk iPhone 15 Plus kali ini dan berkongsi pendapat saya tentangnya setelah hampir dua minggu menggunakannya.
Nampak sama tapi tak serupa
Melihat pada luaran, rekaan iPhone 15 Plus ini nampak mirip dengan model iPhone 14 sebelum ini. Boleh kata macam tiada perubahan langsung. Bingkai sisi masih rata dan menggunakan bahan aluminium. Tapi walaupun sama, terdapat perbezaan pada bahagian bucunya. Ia kini lebih selesa dipegang kerana kerana bucunya sedikit melengkung menjadikan ia tidak tajam seperti model iPhone 14 terdahulu.
Badan iPhone 15 Plus ini juga terasa agak ringan untuk saiznya yang besar. Berbanding iPhone 14 Plus, beratnya tidaklah jauh beza (ringan 3 gram). Tapi model terbaru ketara terasa lebih ringan. Berkemungkinan pengagihan berat di iPhone 15 Plus kini lebih baik. Malah ia juga jauh lebih ringan dari iPhone 12 Pro yang saya gunakan walaupun saiz lagi kecil.
Selain itu, terdapat perubahan besar pada bahagian kemasan kaca panel belakang. Ia kini menggunakan kaca jenis matte, dengan warnanya ditanam terus ke dalam panel. Berbeza dengan model dahulu yang warna belakang panel belakang dilitupi dengan kaca berkilat, lantas meninggalkan banyak kesan cap jari.
Jadi, kemasan baru ini membuatkan panel belakang ini bebas dari kesan cap jari, serta berikan rupa lebih premium pada barisan iPhone 15 biasa. Sejak siri iPhone 11 lagi, Apple hanya menyimpan penggunaan kaca matte pada model Pro sahaja. Jadi untuk model kali ini, rupa premium tidak terhad pada model Pro sahaja.
Cumanya, penggunaan kaca matte ini membuatkan iPhone 15 Plus terasa lebih licin dan senang tergelincir dari tangan, berbanding kaca lutsinar yang terdapat di iPhone 14. Oleh itu, walaupun panel belakang kini lebih cantik dan sedap dipegang, saya perlu lebih berhati-hati ketika menggunakannya. Jadi lebih elok untuk menggunakan sarung telefon bagi mengelakkannya daripada terjatuh.
Barisan iPhone 15 kali ini hadir dengan warna lebih lembut ataupun pastel. Ia tersedia dalam warna hitam, biru, hijau, kuning dan seperti yang ada pada saya ini berwarna merah jambu atau pink. Warnanya agak cantik, dengan warna pink cair pada keseluruhan panel belakang, tapi lebih pekat pada ruang modul kamera.
Besar ruang modul kamera juga masih sama dengan model terdahulu dan tidak terlalu menonjol keluar. Meskipun begitu, walaupun ia muat dengan sarung model terdahulu, ia tidak beri padanan sempurna dan akan longgar sedikit kerana bingkai sisinya berbeza.
iPhone 15 Plus juga masih menggunakan kedudukan butang seperti model terdahulu, bermaksud masih menggunakan butang slider untuk senyap dan bukannya butang Action baharu yang ada di model iPhone 15 Pro. Tahap kekalisan air dan debu iPhone 15 Plus ini adalah IP68. Jadi anda tidak perlu risau kalau terkena air sekalipun.
Port USB-C baharu, untuk iPhone
Kemaskini terbesar pada iPhone kali ini pastinya peralihan kepada penggunaan port USB-C dari port Lightning yang telah digunakan sejak sekian lama. Ini merupakan kali pertama Apple memasangkan port USB-C di iPhone. Ia akan memudahkan anda untuk berkongsi satu kabel untuk peranti lain seperti Macbook, iPad, ataupun mana-mana telefon Android. Kalau terlupa nak bawa kabel, boleh guna sahaja kabel telefon Android kawan anda.
Di samping itu, ini juga akan membuka ruang untuk iPhone disambungkan kepada pelbagai aksesori lain, serta mampu mengeluarkan output terus kepada paparan luar seperti TV ataupun monitor. Ia menyokong output paparan sehingga resolusi 4K 60Hz. Jadi anda boleh sambungkannya untuk main game, dan tengok filem pada paparan lebih besar.
Satu benda yang menarik adalah lubang port USB-C di iPhone 15 Plus ini mengikut warna badan iPhone. Macam contoh untuk iPhone berwarna Pink ini, portnya juga ada komponen dalaman berwarna ‘Pink’ yang sepadan. Agak menarik kerana Apple beri perincian kecil untuk port baharu ini.
Tapi agak mengecewakan yang ia hanya menggunakan USB-C jenis 2.0, dan bukannya 3.0 seperti yang terdapat di model Pro untuk peralihan data yang lebih pantas. Namun begitu, saya pasti ia sudah mencukupi untuk kebanyakan orang yang hanya akan menggunakannya untuk mengecas. Lagipun untuk peralihan data, ia boleh menyokong sehingga 480Mbps, yang mana pada saya sudah cukup pantas.
Paparan dengan Dynamic Island
Beralih kepada paparan, semua iPhone 15 kini nampak sama kerana semuanya menggunakan Dynamic Island. Ini merupakan naik taraf besar dari ‘notch’ yang digunakan sebelum ini, dan juga menandakan tiada lagi iPhone dengan ‘notch’ akan datang.
Dengannya, iPhone 15 Plus kini boleh paparkan pelbagai maklumat terus di dahi skrin, serta berintegrasi dengan banyak aplikasi macam Grab, Spotify, panggilan dan banyak lagi. Kalau dilihat dengan teliti, iPhone 15 Plus ini ada bezel sedikit tebal berbanding iPhone 15 Pro dan Pro Max. Walaupun ia tidak memberi sebarang masalah, tapi pengalaman penggunaan pasti lebih seronok jika ianya lebih nipis.
Saiz paparan iPhone 15 Plus ini masih kekal sama iaitu skrin berukuran 6.7 inci. Paparannya dapat hasilkan warna dengan tepat dan cantik, serta imej pun nampak tajam, yang mana perkara biasa untuk paparan Apple.
Tahap kecerahannya juga sangat cerah, tiada masalah untuk penggunaan bawah cahaya matahari terik. Ini kerana kecerahan puncaknya mampu mencapai sehingga 2,000 nits, sama seperti di model Pro lebih mahal.
Tapi satu perkara yang tak boleh diterima adalah paparannya masih menggunakan skrin 60Hz yang terasa sangat ketinggalan zaman pada tahun 2023. Terutama untuk harganya yang melebihi RM4,000, ini telefon paling mahal dengan paparan 60Hz. Saya faham mungkin Apple mahu bezakan ProMotion 120Hz untuk model Pro sahaja, tapi sekurang-kurangnya berikan paparan 90Hz pun sudah cukup bagus.
Sementara itu, iPhone 15 Plus juga tidak mempunyai ciri Always On Display (AOD) seperti yang terdapat di model Pro. Namun, dengan iOS 17, paparan iPhone 15 Plus ini boleh ditukar kepada paparan sentiasa hidup dengan mod StandBy, dengan mengecas iPhone secara melintang.
Dengannya, iPhone 15 Plus ini boleh memaparkan maklumat berkenaan waktu, kalendar ataupun gambar galeri. Tapi hairan mengapa Apple tidak berikan saja fungsi AOD ini tanpa mengecas, yelah fungsi sudah ada tapi dimatikan pada waktu lain.
Kamera telah dipertingkatkan
Untuk barisan iPhone 15 kali ini, sistem pengimejannya telah dinaik taraf dengan kamera utama 48MP, satu peningkatan besar berbanding 12MP pada model sebelum ini. Model 15 Plus ini juga masih tidak memiliki kamera telefoto, tapi masih mengekalkan penggunaan kamera ultra lebar 12MP.
Walaupun kiraan piksel kamera utamanya 48MP, ianya tidaklah sebagus seperti yang terdapat di model iPhone 14 Pro dan 15 Pro. Ini kerana sensor di iPhone 15 lebih kecil, dan menggunakan lensa dengan jarak fokal 26mm, berbanding 24mm di Pro.
Kamera utamanya menangkap pada resolusi 24MP secara default, dengan bantuan pixel binning menggunakan sensor 48MPnya. Ini membolehkan gambar disimpan dalam fail lebih kecil sekitar 3MB tapi dalam masa sama mengekalkan maklumat gambar dengan cukup baik. Jika mahu menangkap imej pada resolusi penuh sensor pada 48MP, ia boleh dilakukan sama ada dalam format HEIF ataupun JPEG.
Gambar 48MP sudah tentu akan ada perincian lebih baik, tapi tidaklah terlalu berbeza sangat. Jadi lebih baik gunakan sahaja 24MP untuk jimat ruang.
Hasil dari kamera utama berikan warna cantik dan pekat, dekat dengan dunia sebenar. Imej juga tajam dan ada kesan HDR yang menambah baik highlight pada imej. Tahap Dynamic Range juga cukup bagus dalam mengekalkan butiran di kawasan gelap dan cerah.
Untuk gambar malam, seperti yang dijangka dari sebuah iPhone, ia dapat memproses imej dengan baik dalam persekitaran malap, dan mampu untuk mengekalkan butiran imej, malah untuk daun-daun kawasan gelap juga masih kelihatan. Tapi satu masalah yang saya temui ia ada kesan silau melampau pada persekitaran tertentu yang banyak lampu. Tapi selain daripada itu, gambar malam dari iPhone 15 Plus ini memang cantik.
Untuk kamera ultra lebar 12MP, tangkapan darinya beri hasil cukup memuaskan. Warnanya agak cantik sama seperti kamera utama. Cuma kualitinya tidaklah sebaik seperti kamera utama, dan kekurangannya lagi ia tidak memiliki autofokus.
Di samping itu, disebabkan kamera utamanya ada piksel lebih besar, iPhone 15 Plus ini mampu zum 2x tanpa menghilangkan sebarang butiran walaupun ketiadaan kamera telefoto. Ia dicapai menggunakan perisian dengan memangkas (crop) sebahagian gambar, menjadikan gambar zum 2x pada resolusi 12MP.
Namun, ia masih zum digital dan bukannya zum optikal, tapi ia boleh dikatakan lossless kerana kualitinya bagus seperti zum optikal. Ini juga termasuk untuk gambar Portrait, di mana subjek boleh kelihatan lebih dekat tanpa perlu menggerakkan kamera ke hadapan.
Gambar Portrait yang ia hasilkan ada kesan bokeh sangat baik, serta dapat mengasingkan subjek daripada daripada latar, termasuk pada helaian rambut yang halus. Tapi kali ini, sistem kameranya telah dipertingkatkan kerana ia mampu menangkap dalam mod Portrait tanpa mengubah kepada mod Portrait. Jika maklumat depth gambar ditangkap, gambar biasa boleh diubah kepada Portrait dengan menekan pilihan ‘Portrait’ di bucu atas kiri gambar.
Semasa menangkap, fokus subjek boleh diubah dengan menekan pada ikon ‘f’ di bawah kiri, untuk menunjukkan macam mana rupa gambar Portrait. Lebih menarik, fokus subjek turut boleh diubah selepas gambar ditangkap, dan boleh juga menambah atau mengurangkan kesan bokeh dengan melaraskan aperture. Ini agak memudahkan untuk pengguna menangkap gambar tanpa fikir untuk mengubah mod.
Kualiti kamera depan turut berikan hasil yang baik. Gambar nampak tajam dan jelas, serta warna kulit kelihatan natural. Menariknya, keupayaan mengubah kepada Portrait selepas gambar ditangkap juga tersedia untuk kamera hadapan. Jadi anda ada fleksibiliti untuk mengedit semula selfie anda jika perlu.
Walau bagaimanapun, ada satu masalah besar pada iPhone 15 Plus terbaru ini kerana terdapat isu gambar dipotong. Misalnya, gambar akan mengecil, meninggalkan ruang hitam di bawah dan kanan imej. Isu ini tidak terjadi setakat saya gunakannya untuk mengambil kebanyakan sampel gambar menggunakan nisbah 4:3 dan nisbah 16:9.
Tapi rakan sekerja kami di SoyaCincau ada mengalaminya setelah melakukan beberapa tangkapan menggunakan nisbah 1:1 atau 16:9. Isu gambar dipotong ini juga tidak konsisten kerana tidak berlaku setiap masa, dan ia juga lebih cenderung untuk terjadi pada model iPhone 15 Pro dan Pro Max berbanding iPhone 15 Plus ini. Bagaimanapun, puncanya masih tidak diketahui dan di laman sokongan Apple sendiri tidak menyatakan mengapakah perkara ini berlaku.
Apa pun, untuk video, keupayaan merakam iPhone 15 Plus masih sama seperti sebelum ini. Ia berupaya untuk merakam sehingga 4K 60fps, tapi apa yang baru adalah ia kini boleh menzum dari 1x ke 2x dengan lancar. Tapi jika peralihan melibatkan kamera ultra lebar 0.5x, pergerakannya akan tidak selancar peralihan antara 1x dan 2x.
Dalam pada itu, iPhone 15 Plus ini juga lengkap dengan ciri Action Mode untuk rakaman ultra stabil. Dengannya, video ternyata lebih stabil untuk rakaman ketika berlari, tapi resolusi tidak sebagus mod biasa kerana hanya terhad sehingga resolusi 2.8K 30fps, dan akan direkod menerusi kamera ultra lebar.
Namun, pada saya, rakaman menggunakan mod biasa pun sudah cukup stabil untuk kebanyakan situasi, serta ada kualiti imej lebih baik. Sementara itu, untuk mod Cinematic, ia boleh merakam sampai 4K 30fps, dan seperti mod Portrait, fokusnya boleh diubah setelah video dirakam.
Prestasi Pro tahun lepas
Apple masih menggunakan format tahun lepas dengan memasangkan cip iPhone 14 Pro untuk barisan iPhone 15 tahun ini. Oleh itu, ia diperkasa cip Apple A16 Bionic, cip berkelas flagship Apple pada tahun lepas. Ia ada 6 teras dengan dua daripadanya adalah teras berprestasi tinggi berkelajuan 3.4GHz, dan 4 teras lagi adalah teras efisiensi berkelajuan 2GHz.
Ini bermakna ia masih boleh menawarkan prestasi tinggi, dan setakat penggunaan saya, ia berupaya untuk menjalankan segala perkara dengan lancar. Tak kiralah untuk main game, atau menggunakan pelbagai aplikas serentak.
Namun, sudah tentu ia tidak mempunyai fungsi Ray Tracing yang terdapat di cip terbaru Apple A17 Pro. Tapi untuk kegunaan gaming ataupun melakukan tugas berat, A16 Bionic ini masih relevan. Untuk lebih jelas, di sini saya kongsikan ujian penanda aras yang diperoleh iPhone 15 Plus di Geekbench 6, 3D Mark (Wild Life Extreme) dan Antutu.
Markah yang diperoleh iPhone 15 Plus ini tidak jauh beza seperti apa yang iPhone 14 Pro peroleh. Jadi ia masih sebuah cip yang bagus, dan mungkin masih bagus dalam 5 tahun lagi akan datang.
Bateri paling baik
Bateri juga satu aspek penting yang perlu dipandang. Model Plus sememangnya diketahui ada jangka hayat bateri yang baik kerana saiznya yang besar dapat muatkan kapasiti bateri yang lebih. Ini tidak terkecuali untuk iPhone 15 Plus, kerana ia turut ada jangka hayat bateri yang sangat baik.
Saya dapat menggunakannya bukan sahaja hingga ke akhir hari tanpa masalah, malah boleh bertahan untuk hari kedua dalam penggunaan biasa seperti melayari Twitter, Instagram, menstrim YouTube dan juga bermain beberapa game. Ketahanan bateri ini mungkin disumbangkan oleh skrinnya yang terhad hanya pada 60Hz sahaja.
Tambahan pula, pengecasan pada iPhone 15 Plus ini turut boleh dihadkan pada kapasiti 80% sahaja untuk lebih menjaga kesihatan bateri. Selepas 80% cas akan dihentikan, tidak seperti tetapan ‘Optimised Charging’ yang hanya akan melambatkan pengecasan setelah ia mencapai 80%.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, saya agak suka dengan iPhone 15 Plus ini kerana ia ada banyak naik taraf berbanding model terdahulu. Antaranya ia ada bingkai yang sedap dipegang dengan tekstur panel belakang baharu, badan ringan, ada Dynamic Island, serta menggunakan port USB-C yang universal.
Bahagian kameranya pun ada peningkatan besar, dan mampu menangkap gambar Portrait secara automatik. Walaupun tiada kamera telefoto, kamera dengan resolusi besarnya cukup untuk menangkap jauh 2x dengan kualiti optikal.
Ketiadaan fungsi AOD saya rasa tidak menjadi masalah untuk orang ramai, tapi masalah besar adalah ia masih guna skrin 60Hz. Mungkin ada dikalangan orang luar sana yang tidak kisah, tapi skrin 120Hz pastinya dapat berikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.
Kalau nak banding dengan iPhone 14 Pro Max, ia pilihan yang lebih berbaloi kerana ada skrin lebih baik, fungsi kamera lebih banyak, serta hayat bateri lebih bagus. Harganya pun sekarang pasti lebih murah. Jadi, pada saya, iPhone 15 Plus ini sesuai didapatkan untuk mereka yang masih menggunakan iPhone 13 dan 14 yang mahu beralih kepada penggunaan Dynamic Island dan port USB-C.
Kalau anda berminat untuk dapatkan iPhone 15 Plus, anda boleh membuat pembelian di pengedar rasmi Apple di Lazada dan Shopee.