Bagi menentukan tablet terbaik tahun ini, kami menganjurkan Anugerah SoyaCincau 2023 dengan kategori khusus untuk tablet. Ia merangkumi empat kategori termasuk tablet terbaik, tablet berbaloi, tablet Android terbaik dan juga iPad terbaik. Jadi, teruskan membaca untuk ketahui tablet terbaik bagi tahun 2023, atau anda juga boleh tonton video kami di bawah.
Tetapi sebelum itu, pastikan anda juga semak senarai anugerah SoyaCincau 2023 yang lain seperti telefon pintar, kereta elektrik EV, gajet, telco dan banyak lagi. Jadi, tanpa melengahkan masa, mari kita mulakan dengan anugerah pertama.
1. iPad terbaik tahun ini
Pemenang Emas: iPad Air M1
Tablet terbaik tahun lepas, iPad Air M1 terus menjadi produk terbaik dalam barisan tablet Apple, dan ia juga merupakan pemenang iPad terbaik tahun ini. Dari segi nisbah harga, prestasi dan ciri yang ditawarkan, iPad Air ini seimbang dalam semua aspek. Pada harga bermula RM2,899 dengan storan yang hanya 64GB, iPad pastinya tak murah. Tapi hanya ia adalah iPad yang paling berbaloi untuk harganya.
Kalau iPad yang lebih murah, anda perlu korbankan beberapa ciri, manakala kalau belanja lebih seperti untuk iPad Pro pula akan terlalu berlebihan dengan ciri yang mungkin anda tak guna pun. Tambahan pula, iPad Air ni menggunakan cip pemproses M1 yang sudah cukup bagus lakukan semua tugas yang Pro boleh lakukan.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Perak: iPad Pro M2
Pemenang perak kategori ini adalah iPad Pro M2. Perkara terbaik tentang iPad Pro M2 ini adalah harganya hanya lebih mahal RM250 berbanding iPad Air 256GB, untuk varian 128GB. Dengan tambahan RM250, anda akan dapat ciri lebih banyak termasuk Face ID, dua kamera, sensor Lidar dan juga port Thunderbolt. Bagi tahun 2023, Apple telah menambah cip M2 untuk menjauhkan jurang antara iPad Air M1, dengan cip M2 memiliki prestasi jauh lebih baik terutamanya untuk kegunaan editing video di Final Cut Pro atau Davinci Resolve.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Gangsa: iPad (10th Generation)
iPad generasi ke-10 ini mungkin adalah langkah Apple untuk meningkatkan harga tablet mereka. Ia menawarkan sejumlah ciri bagus seperti menggunakan port USB-C dan juga skrin 10.9 inci sama seperti iPad Air. Tidak lupa juga iPad ini merupakan yang terbaik untuk panggilan video kerana Apple telah mengalihkan posisi kamera selfienya ke lokasi yang lebih optimum iaitu di sisi bingkai panjang.
Namun, kekurangannya ia tidak memiliki sokongan untuk Apple pencil generasi ke-2, memaksa anda untuk menggunakan Apple pencil generasi pertama. Bagaimanapun, iPad generasi ke-10 ini masih sebuah tablet yang bagus untuk kegunaan menonton kandungan, serta menerima sokongan perisian panjang untuk harga lingkungan ini.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
2. Tablet Android tahun ini
Pemenang Emas: Samsung Galaxy Tab S9 Ultra
Cita-cita Samsung untuk mengatasi iPad Pro sememangnya perlu dikagumi. Galaxy Tab S9 Ultra merupakan tablet terbaik Android. Ia menggunakan skrin AMOLED sebesar 14.6 inci yang mampu memberikan sesi menonton Netflix amat mengasyikkan. Lebih menarik, ia juga kalis air dan debu IP68, dan memiliki fungsi Samsung Dex, iaitu desktop emulator Samsung yang jauh lebih baik berbanding Stage Manager di iPadOS.
Malah, ia juga datang sekali bersama S Pen dan sarung papan kekunci, jadikan harga bermula RM5,999 amat berbaloi. Sudah tentu ia ada kekurangan. Badannya teramatlah besar dan berat, serta ada trackpad dengan papan kekunci yang tidak berapa bagus. Tetapi, ini merupakan hanya tablet Android yang paling menghampiri keupayaan iPad Pro.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Perak: Xiaomi Pad 6
Tablet Android mampu milik sekarang berada pada kedudukan paling kukuh sebab dapat menawarkan nilai sangat berbaloi yang tidak ditandingi iPad. Xiaomi Pad 6 dapat membuktikan perkara ini dengan dilengkapi Snapdragon 870, serta paparan sebesar 11 inci pada resolusi WQHD+ 144Hz dan empat speaker pada harga lebih murah dari iPad generasi ke-9. Ia sememangnya tablet paling berbaloi jika anda memiliki bajet ketat.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Gangsa: Samsung Galaxy Tab S9 FE
Meskipun berada dalam barisan Fan Edition yang lebih mampu milik, Galaxy Tab S9 FE menyerlah sebagai antara tablet terbaik di mata kami kerana masih lengkap dengan segala fungsi penting yang ada pada tablet flagship Samsung seperti DeX untuk pengalaman komputer terbaik pada tablet, serta menggunakan sistem operasi One UI bersama sokongan S Pen.
Tambahan pula ia ada skrin yang besar cantik, hayat bateri panjang, prestasi cukup bagus dari cip Exynos 1380 dan ada kalis air dan debu IP68, pastinya ia berbaloi dengan setiap sen yang anda belanjakan.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
3. Tablet berbaloi tahun ini
Pemenang Emas: Xiaomi Pad 6
iPad telah menetapkan penanda aras untuk tablet lain ikuti. Tetapi satu masalah besar adalah iPad dengan spesfikasi terbaik diletakkan pada harga yang sangat tinggi untuk sebuah tablet. Jadi bukan semua mampu mendapatkannya. Dengan Xiaomi Pad 6, anda mampu terima pengalaman yang lebih kurang sama dengan tablet flagship, pada harga lebih rendah, dan masih dapat menggunakan jenama yang umum diketahui ada reputasi baik.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Perak: Honor Pad X9
Tidak dinafikan Honor Pad X9 antara tablet paling berbaloi pada tahun ini. Bukan sahaja ia menawarkan ciri asas yang perlu ada sebuah tablet, tetapi pada harga sekitar RM1,000, ia adalah satu-satunya tablet dengan sokongan 4G. Tambah baik ia memiliki 6 speaker, berikan dentuman untuk keperluan media anda, serta menggunakan cip Snapdragon 685 yang umum diketahui berupaya berikan prestasi cukup bagus tetapi mengekalkan harga pada paras mampu milik. Namun, sudah pasti ia ada kekurangan dengan ketiadaan sokongan stylus, yang pada saya boleh dimaafkan kerana ciri penting lain yang ia dapat tawarkan.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Gangsa: Redmi Pad SE
Seperti Xiaomi Pad 6 yang menawarkan nilai yang sangat berbaloi bawah RM1,500, Redmi Pad SE juga berbaloi untuk mereka yang ada bajet RM800 untuk sebuah tablet. Ia datang dengan saiz skrin sama seperti Xiaomi Pad 6 dengan kadar penyegaran 90Hz, empat speaker, tetapi pada storan dua kali ganda lebih besar 256GB.
Namun, ia menggunakan storan jenis kuno eMMC 5.1 dan jangkakan prestasi yang biasa-biasa sahaja dari cip Snapdragon 680 yang ia lengkapi. Namun, sekurang-kurangnya ia masih menggunakan cip Qualcomm yang bereputasi tinggi, betul tak?
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
4. Tablet terbaik untuk tahun ini
Pemenang Emas: iPad Pro M2
Ekosistem iPad adalah perkara utama yang membuatkan iPad Pro m2 ini memenangi tempat pertama, walaupun ia sudah lengkap dengan spesifikasi terbaik. Sistem operasi iPadOS juga masih satu tahap atas lebih baik dari sistem operasi Android dari segi ciri yang tersedia dan juga sokongan aplikasi pihak ketiga, memandangkan anda sekarang boleh menjalankan aplikasi video editing dan malah bermain game AAA. Ia adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh tablet Android. Gandingkan pula dengan semua ciri yang iPad Pro tawar, anda akan dapat pengalaman terbaik.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Perak: Samsung Galaxy Tab S9 Ultra
Samsung Galaxy Tab S9 Ultra membuktikan iPad bukannya hanya pilihan yang ada untuk mencari tablet. Saiznya yang besar bermakna ia akan nampak lebih menonjol apabila dibawa keluar, dan skrinnya memang cantik dan memuaskan untuk diguna. Tapi satu kelemahan ketara adalah trackpadnya berfungsi dengan tidak berapa tepat, buatkan penggunaan agak menjengkelkan untuk jadikannya sebagai pengganti komputer. Namun, sukar untuk tak sukakan Tab S9 Ultra ini, jika lihat dari ciri yang ditawarkan.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.
Pemenang Gangsa: Xiaomi Pad 6
Tak banyak lagi benda yang boleh dikatakan tentang Xiaomi Pad 6 tapau banyak kategori dalam anugerah tablet ini, dan semua kelebihannya pun dah pun diterangkan. Kalau tak lihat dari segi harga sekalipun, ia adalah sebuah tablet Android terbaik yang anda boleh beli sekarang. Malah, harga Xiaomi Pad 6 yang hanya RM1,299, juga berikan pengguna untuk mengakses sebuah tablet bagus pada harga sangat mampu milik.
Anda boleh baca lebih lanjut di sini.