Huawei datang lagi dengan fon putik yang pelik. Tapi pelik bukan sebarang pelik, Huawei Freeclip ni ada direka lain daripada yang lain sebab ada fungsi yang sangat berguna. Cuma lain orang, lain kegunaan. Mungkin ada yang rasa ia sangat berguna, ada yang lain rasa biasa-biasa sahaja.
Huawei Freeclip ni dah dijual di Malaysia pada harga agak premium, RM899. Boleh dapatkan di Lazada atau Shopee. Dah macam Airpods Pro pula. Mesti ragu-ragu, nak beli ke tak kan. Harga dah lah mahal, tak tau sesuai ke tak. Jadi, baik tonton baca dulu ulasan kami tentang apa yang menarik dan tak bagusnya fon putik Huawei Freeclip ni.
Rumusan pendeknya, Huawei Freeclip ni terbaik untuk mereka yang mahu dengar lagu dan podcast sambil peka dengan keadaan sekeliling, macam berlari jogathon di tepi jalan. Tetapi ia gagal teruk di tempat bising. Kenapa? Jom baca lebih lanjut tentang Huawei Freeclip atau boleh tonton dalam video di bawah:
Rekaan Pelik & Unik
Bekas penyimpan dan pengecas Huawei Freeclip ni sebenarnya agak biasa untuk fon putik Huawei. Saiznya besar sikit, tapi taklah besar sangat. Sebab masih muat masuk poket kecil jean saya. Yang best, Huawei bagi kemasan matte yang kasar, bukan licin. Jadi tak mudah meluncur keluar dari genggaman tangan.
Bila cakap tentang biasa, kalau anda pernah ada fon putik Huawei akan terus tau penggunaan bekas pengecas Huawei FreeClip ni. Bawah ni ada port USB-C untuk mengecas dan di tepi ni ada butang untuk sambung Bluetooth ke peranti baru. Depan ni ada lampu LED kecil yang bagitau hayat bateri. Lampu merah nak dekat habis, kuning ada banyak lagi, hijau dah penuh.
Senang Pakai & Ringan
Nak sambung ke peranti memang mudah. Tekan lama butang tepi ni sampai lamput putih berkelip, lepas tu boleh tengok Bluetooth dalam telefon atau laptop, pilih Huawei Freeclip dan ia akan disambungkan.
Tetapi soalan lebih penting, senang ke nak pakai? Tak jatuh ke? Iya Huawei Freeclip ni memang senang pakai. Walaupun namanya klip, ia tak sepit telinga. Ia bukan macam anting-anting sepit tu. Mula-mula mungkin kekok, tapi bila dah tau cara yang betul, sebenarnya sangat senang nak pakai.
Terbaik Untuk Kaki Lari & Senaman
Tak percaya ke? Saya dah pakai Huawei Freeclip ni untuk larian 5km beberapa kali. Tak ada rasa nak jatuh langsung. Lagi best, macam tak rasa ada pakai di telinga. Walaupun berat dia 57 gram, boleh kata lebih berat dari kebanyakan fon putik lain, tapi sebab rekaan dia jenis klip pada cuping telinga ni, macam tak terasa langsung ia ada.
Telinga pun rasa lebih bebas dengan Freeclip ni sebab ia tak tutup telinga. Tak rasa tertekan dalam kepala bila pakai untuk masa yang lama, lebih penting boleh dengar bunyi sekeliling dengan jelas tanpa perlu fungsi passthrough yang kuat makan bateri.
Freeclip ni kalis percikan air IP54, jadi berpeluh masa lari atau bersenam tu tiada masalah. Yang tak sedap, peluh tu boleh masuk dalam telinga sebab dah tak tertutup. Jadi kenalah lap sikit.
Auto Kesan Telinga Kiri & Kanan
Canggihnya Huawei Freeclip ni, dia boleh automatik kesan telinga kiri dan kanan. Tak kisah anda pakai yang mana, dia akan kesan sendiri. Tapi nak reset kiri kanan ni, kena masuk balik dalam pengecas.
Sambungan Dua Peranti Paling Lancar
Nak lebih banyak kawalan, kena guna aplikasi Huawei AI Life. Yang kelakarnya, kat Apple Appstore ada aplikasi Huawei AI Life ni dan boleh muat turun terus. Pengguna telefon Huawei, boleh muat turun dari Huawei AppGallery. Tapi pengguna Android lain, dalam Google Playstore tak ada. Kena muat turun terus dari laman web Huawei. Ingat ya, jangan muat turun dari laman web yang tidak diketahui asal-usulnya.
Lepas pasang, boleh nampak Huawei FreeClip dalam senarai kalau dah sambung Bluetooth. Perkara kedua paling best saya guna , ni pertama kali saya pakai fon putik sambung dua peranti serentak paling lancar. Dah pernah sambung sekali, ia akan ingat terus dan tak perlu nak tukar-tukar sambungan. Saya pakai serentak laptop dan telefon, boleh tengok youtube di laptop dan dengar lagu di telefon. Salah satu sahaja bunyi yang dengar, tapi pause laptop, boleh terus dengar dari telefon. Pause telefon, boleh terus dengar dari laptop.
Tak Banyak Kawalan
Setelah belek-belek tetapan dalam app, saya rasa ada banyak perkara tak ada. Ia ada pilihan untuk equaliser tapi tak banyak dan tak boleh buat tetapan manual. Ada juga fungsi cari putik kalau tercicir, tapi bukan jenis nampak peta sebab tak ada Ultrawide band. Yang ada, keluar bunyi kuat untuk cari.
Lepas tu kawalan di putik, pun tak banyak. Freeclip ni tak guna sentuhan untuk kawalan, tapi kena ketuk. Boleh ketuk dua kali atau tiga kali, dan beza kiri atau kanan. Bolehlah guna untuk jawab panggilan, langkau atau patah balik lagu, dan berhenti atau mainkan lagu. boleh juga panggil pembantu maya macam google assistant. Yang saya rasa kurang, tak boleh nak turun atau naik tahap bunyi. Kena buat di telefon.
Selain itu, ada juga mod low audio latency atau rendah kependaman. Kaki game yang perlu respon pantas, memang tahu fon putik wayarles ni tak boleh pakai sangat, sebab bunyi lambat sampai ke telinga. Saya cuba main Genshin Impact, kalau off low audio latency tu memang terasa lambat, dalam setengah saat juga. Tapi bila on, sebenarnya masih lambat tapi kurang. Macam ada peningkatan kelajuan 80%. Masih tak dicadangkan untuk permainan lebih intensif masa nyata macam PUBG atau COD Mobile.
Ada Cas Wayarles, Bateri Tahan Lama
Hayat bateri Huawei Freeclip memang mantap, tahan lama sangat. Apatah lagi untuk kaki lari macam saya. Sebab, sebelum ni saya guna fon putik biasa yang masuk dalam telinga, kena aktifkan passthrough yang akan guna tenaga macam ANC, supaya saya boleh dengar bunyi sekeliling. Jadi bateri tahan dalam 4 jam sahaja. Untuk lari marathon penuh 42km tak boleh nak guna, sebab saya lari lambat kena lebih 4 jam baru habis.
Tapi dengan Huawei Freeclip, dia tak perlu on ANC sebab tak ada ANC, jadi bateri tahan lama. Huawei kata bateri putik Freeclip tahan 8 jam. Saya tak cuba sepenuhnya tapi bila guna di pejabat sepanjang hari pun, bateri tak habis lagi. Selalunya fon putik biasa, setengah hari dah habis bateri. Jadi dengan Huawei Freeclip ni, habis kerja masukkan balik dalam bekas, esok nak pakai memang dah penuh bateri.
Bekas pengecas ni pun cepat mengecas. Paling cepat cas pakai wayar USB-C, tapi ia pun boleh cas secara wayarles. Cas guna belakang telefon yang ada pengecas wayarles terbalik pun boleh, contohnya Galaxy S23 Ultra. Kalau iPhone 15 Pro Max tak boleh.
Tiada ANC, Tiada Penapis
Untuk peminat larian yang perlu dengar bunyi sekeliling, Huawei Freeclip ni memang sangat bagus. Saya pun tak nak pakai lagi fon putik tutup telinga semasa berlari. Tapi untuk kegunaan lain, ada masa saya rasa nak cabut Freeclip dari telinga dan buang terus.
Macam dalam LRT, ada banyak bunyi bising tren bergerak, pengumuman dan orang ramai berborak. Masa ni, susah nak dengar lagu atau podcast sebab ia terbuka dan tak ada ANC. Dah naikkan bunyi tertinggi pun, selalunya susah nak dengar dengan jelas. Belum lagi orang boleh dengar lagu yang keluar dari Freeclip kalau tahap bunyi tertinggi.
Apa nak buat dalam situasi ni? Kalau nak dengar juga, kena tekup telinga. Selain tu, redha je lah tak berapa dengar apa.
Untuk panggilan, saya boleh dengar dengan jelas orang belah sana. Sama juga orang belah sana boleh dengar jelas suara saya. Tapi masalah sama macam dalam lrt, kalau persekitaran bising, susah nak dengar.
Sangat Canggih, Bukan Untuk Semua
Akhir ni, baru saya nak sentuh pasal kualiti bunyi. Dalam persekitaran senyap atau kurang bising, saya boleh mendengar podcast dengan jelas pada tahap bunyi 50%. Dengar lagu pun Bass agak dalam, vokal pun jelas. Saya tak ada telinga sensitif, tapi boleh bezakan bunyi yang dihasilkan berkualiti atau tidak berkualiti, memang bukan macam fon putik murah.
Tapi dalam suasana ramai orang macam dalam LRT, Freeclip ni macam tak berguna. Sakit hati juga. Kalau ada fon putik biasa masa tu, bolehlah tukar kejap. Tapi agak leceh pula. Jadi, Freeclip ni tak boleh digunakan sepanjang masa. Untuk pengguna pengangkutan awam, saya tak galakkan guna Huawei Freeclip.
Untuk komuniti pelari, antara fon telinga yang terbuka popular digunakan adalah dari Shokz, atau nama lamanya Aftershokz. Ia guna teknologi getaran tulang untuk hantar bunyi ke telinga. Ini pun unik dan pelik, tapi saya tak pernah cuba sebab harga agak mahal.
Huawei Freeclip pun tak kurang mahalnya, berharga RM899. Boleh dapatkan di Lazada atau Shopee. Tapi pengalaman yang diberikan memang jauh luar biasa untuk saya gunakan di pejabat dan berlari. Kalau ada bajet sebanyak tu, memang saya akan beli. Boleh guna untuk lari marathon tanpa habis bateri. Tapi dengan bajet kurang, saya akan beli fon putik ANC yang ada passthrough. Banyak model ANC sekarang harga bawah RM300.
Bagaimana pula anda? Jam Garmin Forerunner boleh beli, kasut Asics Superblast dah ada, fon putik Huawei Freeclip pasti melengkapkan perkakas anda untuk berlari marathon. Memang seronok gunakannya, alternatif terbaik untuk fon telinga terbuka macam Aftershokz. Kalau ada komen lain, boleh tinggalkannya di bawah ya.