Minggu lepas, Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa tiada lagi caj tambahan untuk perkhidmatan 5G. Untuk pelanggan yang masih menggunakan pelan 4G, tidak perlu lagi membayar untuk pas akses 5G bagi bersambung ke rangkaian 5G.
Semakan segera dibuat di beberapa pelan syarikat telekomunikasi (telco) mendapati, sudah banyak telco tidak lagi mengenakan caj 5G kepada pengguna. Antaranya Yoodo yang telah mengecualikan bayaran akses 5G, serta Maxis yang memberi akses 5G percuma sejak mula menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan.
Bagaimanapun, CelcomDigi dilihat masih lagi mengenakan caj akses 5G kepada pelan yang murah. Malah, ia juga disediakan dalam bentuk ‘5G Booster Pass’, dari Rm3 sehari sehingga RM20 sebulan.
CelcomDigi menegaskan, pelanggan tidak dikenakan caj akses 5G
Selepas pengumuman oleh Menteri Komunikasi, kami telah menghubungi CelcomDigi untuk mengetahui perancangan mereka bagi mengecualikan caj tersebut. Balasan mereka setelah diterjemah adalah seperti berikut:
Kami ingin menjelaskan bahawa pelanggan CelcomDigi tidak dikenakan bayaran untuk akses kepada 5G pada mana-mana pelan pascabayar atau prabayarnya.
Pada masa ini, pelanggan pascabayar boleh menikmati 4G/5G dengan mana-mana Pelan 5G Pascabayar CelcomDigi kami yang tersedia. Selain itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk membeli data tambahan untuk 4G & 5G melalui aplikasi Celcom Life atau MyDigi dari serendah RM10/bulan untuk 60GB, tawaran kuota data paling murah di pasaran hari ini. Pembayaran ini bukan untuk akses 5G. Data tambahan memastikan pelanggan boleh menikmati perkhidmatan 5G tanpa gangguan.
Pelanggan prabayar juga boleh menikmati 5G dengan dua pelan prabayar yang digabungkan dengan 4G & 5G, iaitu Xpax Prepaid 48 dan Digi Prepaid Next 5G 48. Begitu juga, pelanggan prabayar boleh memilih untuk membeli data tambahan untuk 4G & 5G melalui aplikasi Celcom Life atau MyDigi dari serendah RM3 untuk 3GB.
Adalah menjadi komitmen kami untuk memastikan bahawa pelanggan CelcomDigi menikmati akses 4G & 5G dengan lancar, dan bahagian penting daripada ini adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai kuota yang mencukupi untuk mengelakkan sebarang gangguan sedemikian dengan membolehkan salah satu tawaran kuota paling murah di pasaran hari ini.
Wakil CelcomDigi
Secara ringkas, CelcomDigi cuba mengatakan bahawa pelan harga rendah wajar mendapatkan “5G Boosters” kerana percaya pengguna perlukan lebih data untuk pengalaman 5G yang lebih baik. Ia berbeza dengan caj akses RM10 untuk 5G tanpa data yang diperkenal untuk Xpax dan Digi Postpaid tahun lepas, kerana “5g Boosters” baru ini memberikan data tambahan sehingga 60GB.
Sejak Ogos 2023, CelcomDigi telah mengecualikan caj akses 5G kepada pelanggan pelan pascabayar berharga RM90 dan ke atas. Selepas itu, pengguna Celcom Mega 80 juga layak menerima pengecualian caj akses 5G percuma, dan boleh mendapatkan lebih banyak data dengan membeli Booster data 5G 60GB berharga RM10.
5G Booster masih perlu untuk pelan bukan 5G berharga RM40 ke bawah
Bagaimanapun, untuk pelanggan pascabayar Xpax dan Digi Postpaid 40 atau 60, 5G Boosters masih diperlukan untuk menikmati 5G. Pelanggan pelan Postpaid 40 perlu membayar RM20/bulan untuk akses 5G dan data tambahan 30GB. Manakala pengguna Postpaid 60, hanya menambah RM10 untuk akses 5G dan data tambahan 60GB.
Bagi pelanggan pascabayar, CelcomDigi menawarkan 5G Boosters harian dan mingguan, juga dengan data tambahan. 5G Booster harian berharga RM3 bersama data 3GB dan RM6 dengan data 9GB. 5G Booster mingguan pula berharga RM12 dengan data 20GB.
CelcomDigi mahu semua pelanggan bertukar ke pelan 5G
Jika anda pelanggan CelcomDigi dan tidak mahu lagi rungsing memikirkan tentang 5G Boosters, CelcomDigi baru-baru ini telah melancarkan pelan pascabayar baharu dengan kuota tetap dan pelbagai pilihan dari RM80/bulan. Tetapi perlu diambil perhatian, setiap pelan memiliki had kelajuan dan FUP yang berbeza.
Untuk prabayar pula, pelan sedia 5G adalah Xpax Prepaid 5G dan Digi Prepaid Next 5G, kedua-duanya berharga RM48/bulan. Xpax Prepaid 5G memberikan data 5G berkelajuan tinggi sebanyak 35GB, bersama data 4G tanpa had berkelajuan 3Mbps, hotspot 6GB dan panggilan tanpa had. Sempena promosi tahun baru, pelan ini datang dengan data 75GB.
Manakala untuk pelan Digi Prepaid Next 5G, ia menyediakan data 5G 45GB, data sosial tanpa had (Facebook, Instagram dan Twitter) berkelajuan 3Mbps, hotspot 10GB dan panggilan tanpa had. Ia juga menawarkan promosi tahun baru dengan 85GB data.