Xiaomi hari ini mengumumkan barisan Redmi Note 13, telefon kelas pertengahan pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia. Sebanyak 4 varian dilancarkan sekali gus dengan beberapa pilihan kombinasi RAM dan storan disediakan pada pelbagai peringkat harga untuk memenuhi semua keperluan bajet pengguna.
Harga siri Redmi Note 13 di Malaysia
Siri Redmi Note 13 akan mula dijual di Malaysia bermula 20 Januari 2024. Berikut adalah harga jualan siri Redmi Note 13:
- Redmi Note 13 Pro+ 5G (RAM 12GB + Storan 512GB) – RM1,999
- Redmi Note 13 Pro+ 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,599
- Redmi Note 13 Pro 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,399
- Redmi Note 13 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,099
- Redmi Note 13 4G (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM899
- Redmi Note 13 4G (RAM 6GB + Storan 256GB) – RM749
Seperti biasa, ada promo pelancaran diadakan dalam tempoh terhad. Pembeli Redmi Note 13 Pro+ 5G dan Note 13 Pro 5G akan terima seunit Redmi Buds 4 Active bernilai RM119 dan juga Xiaomi Smart Band 8 Active yang bernilai RM129. Ia boleh didapati di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee.
Pembeli Redmi Note 13 5G dan Note 13 4G pula akan terima Redmi Buds 4 Active sahaja bernilai RM119. Tak terhad dengan itu, Redmi Note 13 ditawarkan pada harga promosi RM699 secara dalam talian sahaja dalam tempoh terhad.
Spesifikasi Redmi Note 13 4G
Redmi Note 13 4G adalah varian paling murah dalam keluarganya. Sekiranya anda tak kisahkan tentang sambungan 5G, sebaliknya perlukan sebuah telefon pada harga patut, ini adalah solusinya.
Redmi Note 13 4G masih kekalkan saiz skrin seperti saudara-saudaranya yang lebih pemium. Ia ada panel paparan 6.67” AMOLED dengan kecerahan puncak berada pada 1,800nis. Kadar segar semula yang dimilikinya adalah sehingga 120Hz.
Atas papan utama, telefon ini diperkasa Snapdragon 685 dengan storan seluas 256GB disediakan. Pengguna di Malaysia boleh memilih varian RAM 6GB ataupun 8GB untuk dipadankan dengan storan tersebut dan sekiranya tidak mencukupi, storan boleh diperluas menggunakan slot mikro-SD yang disediakan.
Untuk mengambil gambar, kelengkapan kamera Redmi Note 13 4G dilihat sama dengan Redmi Note 13 5G. Ia berkongsi komponen seperti kamera utama 108MP, kamera ultralebar 8MP, dan kamera makro 2MP. Kamera selfie pula dilapor menggunakan sensor 16MP.
Salah satu ciri menarik pada Redmi Note 13 4G adalah ia mempunyai konfigurasi speaker stereo sedangkan varian Note 13 5G tidak.
Redmi Note 13 4G mempunyai sistem bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sistem pengecasan 33W disediakan di dalam kotak.
Sekiranya anda nak bandingkan dengan Redmi Note 12 4G tahun lepas, antara perubahan yang dibawakan adalah pada penggunaan kamera utama dan kamera selfie yang ada resolusi lebih tinggi. Lain-lain spesifikasi adalah sama. Ia guna SoC yang sama dan sistem bateri yang sama.
Bacaan berkaitan
Redmi Note 13 Pro+ 5G Malaysia: Telefon IP68 pertama jenama itu pada harga bermula RM1,599
Redmi Note 13 Pro 5G Malaysia: Dimensity 7200-Ultra dengan naik taraf besar di kamera
Redmi Note 13 5G Malaysia : Sedikit turun taraf demi sambungan generasi baharu
Redmi Note 13 Malaysia: Hampa kerana harga naik, spesifikasi sama