Huawei telah memasuki tahun 2024 dengan memperkenalkan tablet flagship terbaru mereka, iaitu Huawei MatePad Pro 13.2-inci. Macam namanya, ia adalah sebuah tablet besar 13.2-inci berprestasi tinggi dan untuk pengetahan anda, ini adalah tablet terbesar keluaran Huawei setakat ini.
Tablet ini hadir dengan pelbagai aksesori untuk kegunaan produktiviti, seperti pen stylus berteknologi NearLink dan sarung papan kekunci, menjadikan penggunaan lebih kepada komputer. MatePad Pro 13.2 dilancarkan di Malaysia dengan tanda harga bermula RM4,599, jauh lebih murah dari pesaingnya yang ada saiz skrin lebih kurang sama iaitu Galaxy Tab S9+ (RM5,199) atau iPad Pro M2 12.9-inci (RM5,399).
Jadi apakah yang menarik tentang MatePad Pro 13.2-inci ini? Jom ikuti ulasan kami untuk mengetahui lebih lanjut.
Spesifikasi Huawei MatePad Pro 13.2-inci
Berikut adalah spesifikasi yang didukung MatePad Pro 13.2 inci.
- SoC: Kirin 9000S
- Sistem operasi: HarmonyOS 4
- RAM: 12GB
- Storan: 256GB, terima mikroSD sehingga 1TB
- Skrin: Flexible OLED 13.2” 2880 × 1920 144Hz
- Kamera belakang: Kamera utama 13MP autofokus, ultralebar 8MP
- Kamera depan: 16MP, DToF 3D
- Bateri: 10,100mAh, kuasa pengecas 88W USB-C
- Audio: 6 Speaker, Mikrofon: 4
- Sambungan: Bluetooth 5.2, WiFi 802.11ac
Rekaan cantik, skrin besar
Pertama sekali, sejurus memegang tablet, MatePad Pro 13.2-inci ini sememangnya terasa besar di tangan. Tetapi apa yang mengejutkan saya adalah betapa nipis dan betapa ringannya tablet ini dengan hanya tebal 5.5mm dan berat 580g. Mengambil kira dimensi badannya yang besar, saya boleh pegang dan gunakan tablet dengan selesa, tetapi sudah tentu ia lebih praktikal untuk disandarkan berbanding pegang sahaja dengan tangan.
Tablet ini hadir dengan reka bentuk moden dengan kualiti binaan yang cukup premium. Panel belakangnya disaluti dengan kemasan frosted seakan besi yang langsung tidak meninggalkan sebarang cap jari. Ia datang dalam warna hitam atau hijau dan seperti yang anda nampak, warna pada saya ini adalah hijau. Warnanya tidaklah terlalu hijau, tetapi lebih kepada warna mint. Di bahagian belakang juga ia memiliki bonggol kamera yang tidak terlalu menonjol keluar, membolehkan tablet dibaring rata sepenuhnya atas meja.
Melihat dari hadapan, ia ada paparan besar dengan bezel sangat nipis. Skrinnya menggunakan nisbah 3:2 dan kualiti warna yang dihasil pada panelnya amat cantik dan tepat, dengan warna hitam gelap bersama kontras warna baik dari panel OLED yang ia miliki.
Imej terpapar juga sangat tajam di mana panel ini menyokong resolusi 2880×1920 bersama kadar penyegaran sepantas 144Hz, menjadikan kandungan di skrin bergerak sangat lancar. Panelnya juga ada tahap kecerahan baik buatkan penggunaan di kawasan cahaya tiada masalah.
Tambahan pula, menurut Huawei, paparan ini menggunakan salutan anti silau dan pada ujian saya ia memang ketara ada kurang refleksi cahaya. Jadi, bahagian gelap atau hitam di skrin masih nampak dengan jelas dan ada refleksi walaupun di kawasan pencahayaan terang.
Sementara itu, di atas skrin ia ada takuk yang menempatkan kamera hadapan. Mungkin tidak semua suka rekaan ini, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membuatkan bezel skrin tablet lebih nipis, tanpa kompromi modul kamera selfie yang digunakan.
Untuk sistem bunyi, ia dilengkapi dengan sebanyak enam speaker. Kualiti yang dihasilkan oleh speaker ini cukup kuat, jelas dan ada bass lazat. Walau bagaimanapun, ia tidaklah sebagus seperti kualiti speaker di iPad Pro. Ini kerana audio kurang kedalaman dan dentuman bass kurang, jadikan bunyi terasa tidak penuh. Mungkin ini disebabkan badannya yang nipis tidak dapat memuatkan pemacu speaker yang lebih besar.
Prestasi dan produktiviti
Dari segi prestasi, merupakan sebuah tablet flagship, MatePad Pro 13.2 ini memiliki prestasi cukup pantas dan mampu menjalankan kebanyakan aplikasi dengan lancar. Menyumbang pada prestasi baik tablet ini adalah cip hasilan Huawei tersendiri iaitu Kirin 9000S.
Cip ini bukanlah yang terpantas jika nak dibandingkan dengan cip flagship lain di pasaran, tapi setakat penggunaan saya, ia amat pantas. Bertukar antara aplikasi, menonton YouTube, melayari media sosial dan melakukan kerja menulis, ia berikan pengalaman baik yang bebas lag. Malah,walau ketika melakukan tugas berat sekalipun, tablet dapat mengendali haba dengan baik dan tidak terasa panas.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui hasil ujian penanda aras, berikut saya kongsikan.
Selain itu, untuk produktiviti, tablet ini juga boleh berfungsi dengan baik dalam penggunaan berbilang aplikasi. Cuma, satu perkara yang saya dapati adalah untuk melakukan kerja di aplikasi WPS Office, ia tidak menyokong untuk dibuka dalam berbilang tetingkap. Jadi, kalau kata anda mahu mendegar lagu di YouTube dan dalam masa sama mahu membuat kerja di WPS Office, ia tidak boleh dilakukan.
Sebagai tablet untuk produktiviti, tablet ini boleh digunakan dengan papan kekunci magnetik yang mana boleh mengubah persediaan tablet kepada komputer. Di belakang sarung terdapat pendiri untuk tablet disandar bersama dengan papan kekunci dan juga trackpad di bawahnya. Papan kekuncinya ada susun atur seperti papan kekunci laptop dan ia amat selesa untuk ditaip bersama dengan jarak tekan yang baik.
Manakala untuk trackpad, ia cukup besar dan boleh berfungsi dengan tepat, serta ada gesture bolehkan anda menatal tanpa perlu anda berinteraksi dengan skrin. Oh ya, tidak lupa juga trackpad ada bunyi klik yang sedap apabila ditekan.
Di samping itu, tablet ini turut hadir dengan sokongan pen stylus Huawei M Pencil generasi ke-3 dengan teknologi NearLink. Dengannya, apabila melakar di skrin, input pen pada skrin memang terasa sangat lancar, dan tiada kelengahan latensi berikan perasaan melukis seolah-olah di atas kertas.
Tambah baik adalah ia boleh mengenal pasti 10,000 tahap tekanan berbeza pada skrin. Jadi tablet ini memang sesuai untuk pelukis profesional yang mahu berkarya. Jika tidak digunakan, ia boleh dilekat pada sisi tablet yang juga berfungsi untuk mengecas.
Walau bagaimanapun, walaupun MatePad Pro 13.2 inci ini dikategorikan tablet berkelas flagship, ia ada satu kelemahan besar kerana tidak menyokong LTE. Agak pelik mengapa Huawei tidak memberikan sokongan LTE pada tablet terbesar mereka, sedangkan MatePad Pro 11 pun ada diberi pilihan untuk varian LTE.
Lebih parah apabila ini satu ciri yang sudah terdapat pada banyak tablet mampu milik sekarang. Maka, ini menjadikan penggunaan MatePad Pro 13.2 tidak berapa versatil kerana anda perlu bergantung terhadap WiFi.
Tiada Google, tapi ada solusi
Bercakap mengenai perisian, satu kelemahan produk Huawei adalah ia tidak menyokong perkhidmatan Google, dan tablet flagship terbaru ini juga tidak terkecuali. Tablet ini menjalankan sistem operasi Harmony OS 4.0, dan bermakna tiada khidmat Google Play Store tersedia. Namun, aplikasi Google masih boleh diakses menerusi aplikasi Petal Search, iaitu sebuah platform untuk memuat turun aplikasi pihak ketiga.
Walau bagaimanapun, perlu diingat yang platform ini masih memuat turun APK dari pihak ketiga dan keselamatannya tidak terjamin. Jadi walaupun boleh guna Google, penggunaannya tetap hadir dengan risiko. Lagi cara lain lebih selamat yang ada adalah dengan buka browser dan log masuk perkhidmatan Google yang ingin digunakan.
Namun, tidak dinafikan ini pengalaman jauh kurang menyenangkan berbanding tablet Android lain kerana aplikasi bukan terus dari Google Play Store, dan tidak mendapat akses lancar untuk mengemas kini aplikasi.
Tambahan pula, tablet ini juga tidak memiliki mod desktop khas seperti Samsung Dex untuk pengalaman komputer sebenar.
Kamera baik-baik sahaja
Dari segi sistem kamera, ia mempunyai dua buah kamera di belakang iaitu kamera utama 13MP dan juga kamera ultra lebar 8MP. Hasil yang diberi pada kamera utamanya buahkan imej yang biasa-biasa sahaja. Warna yang dihasilkan boleh tahan cantik dengan kontras dan kejelasan baik.
Cuma, imej nampak lembut jadikan gambar tak berapa tajam. Tetapi apa pun saya suka dengan hasil kamera utamanya. Kamera ultra lebarnya juga ada hasil yang serupa, yang mana bukanlah yang terbaik tetapi masih ada jika perlu.
Manakala untuk kamera depan yang lebih penting, ia mengguna pakai kamera 16MP bersama dengan sensor 3D untuk pengecaman muka. Posisi kamera terletak di atas secara melintang, jadi ia amat sesuai untuk keperluan berpanggilan video.
Sementara kameranya masih boleh digunakan untuk nampakkan anda dengan jelas dalam bingkai, janganlah anda jangkakan kualiti video yang terbaik dan hasil seperti telefon pintar ataupun iPad kerana imej padanya agak kelihatan grainy.
Badan nipis, tapi bateri tahan lama
Satu kekuatan yang turut tablet ini ada adalah di bahagian baterinya. Walaupun dengan badan nipis, tablet ini ada bateri sebesar 10,100mAh. Ia boleh bertahan sepanjang hari tanpa masalah, dan bateri memang terasa lambat untuk habis apabila menggunakannya untuk menonton YouTube, yang mana satu perkara bagus. Lebih bagus, jika kehabisan bateri sekali pun, ia tidak mengambil masa lama untuk mengecas semula kerana ia menyokong pengecasan 88W.
Tetapi yang menariknya, pengecas yang diberi sekali dalam kotak ini datang dengan dua port iaitu USB-A dan USB-C. Bukan sahaja ia boleh mengecas tablet, tetapi dalam masa sama boleh juga mengecas sebuah telefon.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Huawei MatePad Pro 13.2-inci merupakan sebuah tablet yang cemerlang dalam pelbagai aspek, terutama dari perkakas yang digunakan. Ia ada rekaan cantik, skrin besar dengan warna berkualiti, prestasi pantas, dan bateri tahan lama walaupun ada badan sangat nipis. Tambah baik ia ada teknologi pen stylus yang terbaik untuk melukis dan juga sokongan berbilang tetingkap yang dapat berfungsi dengan baik.
Sungguhpun begitu, adakah ia dapat menggantikan sebuah laptop? Pada saya masih tidak kerana tablet ini tidak memiliki mod khas seperti Samsung Dex, dan ada aplikasi yang tidak boleh digunakan untuk berbilang tingkap. Dan satu lagi kelemahan terbesarnya sudah tentu pada ketiadaan perkhidmatan Google, jadikan penggunaan aplikasi Google perlu bergantung pada platform pihak ketiga yang mana tidaklah seberapa lancar dan optimum seperti tablet Android lain. Tambah pula ia tidak memiliki LTE, yang mana merencatkan penggunaan apabila berada di luar sambungan WiFi.
Tetapi jika anda tidak kisah tentang perkara tersebut, MatePad Pro 13.2-inci ini masih pilihan yang bagus, dan lebih baik dari tablet murah lain kerana ada teknologi pen stylus terbaik, skrin besar cantik hadir dalam bentuk badan nipis. Bagi pelukis profesional, tablet ini memang disyorkan. Lagipun ia lebih murah daripada pesaingnya seperti Galaxy Tab S9 Ultra dan iPad Pro 12.9-inci. Harganya di Malaysia bermula RM4,599 dan anda dapatkannya di Lazada dan Shopee.