Asus telah berjaya mengangkat telefon pintar gaming mereka, ROG Phone sebagai telefon gaming terbaik. Saban tahun ia berjaya menewaskan pelbagai pesaing lain, dengan memberikan ciri-ciri gaming terbaik yang diperlukan peminat permainan video di telefon pintar. Malah, kami memiliki ROG Phone 7 sebagai telefon gaming terbaik tahun 2023.
Bagaimanapun semuanya kelihatan berubah apabila Asus melancarkan siri ROG Phone 8 awal tahun ini. Ia bukan lagi ROG Phone yang dikenali seperti sebelum ini. Bagi kaki gaming tegar, ini bukanlah berita baik tetapi untuk pengguna biasa, ia menjadi satu pilihan yang lebih menarik.
Di sini, saya akan berkongsi tentang ulasan, pandangan dan pengalaman saya tentang ROG Phone 8 Pro Edition. Anda boleh menonton video ini atau membacanya di bawah.
Spesifikasi ROG Phone 8 Pro Edition
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 4nm
- RAM: LPDDR5X 24GB
- Storan: UFS 4.0 1TB
- Skrin: AMOLED 6.78″ FHD+ 165Hz
- Kaca: Corning Gorilla Glass Victus 2
- Kamera Hadapan: 32MP
- Kamera Utama: 50MP F1.9 OIS Sony IMX890
- Kamera Ultralebar: 13MP
- Kamera Telefoto: 32MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Speaker: Stereo
- Bateri: 5,500mAh
- Pengecas: 65W berwayar, 15W wayarles
- Lain-lain: Kalis air IP68
Berikut adalah harga jualan siri ROG Phone 8 dan perkakasnya di Malaysia
- ROG Phone 8 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,999
- ROG Phone 8 Pro (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,799
- ROG Phone 8 Pro Edition (RAM 24GB + Storan 1TB + Cooler X) – RM5,999
- AeroActive Cooler X – RM349
- ROG Phone 8 Antibacterial Glass Screen Protector – RM149
- ROG Phone 8 DEVILCASE Guardian Standard – RM149
- ROG Phone 8 Silicone Case – RM149
Siri ROG Phone 8 boleh didapati daripada pengedar sah Asus ROG di Malaysia, serta atas talian di Lazada dan Shopee.
Pandangan Awal Penuh Prejudis
Masa mula-mula melihat pada ROG Phone 8 Pro ni, hati saya membara penuh amarah. Sebab ia telah hilang identiti telefon gaming. Bagi saya, ini bukan ROG Phone tapi ini adalah Zenfone yang ada butang bahu.
Kenapa saya berkata begitu? Pertama, speaker dah tak tembak ke hadapan muka. ia macam telefon biasa, satu ke bawah dan satu ke depan. Seterusnya, skrin dah tak penuh sebab ada lubang kecil di atas untuk kamera hadapan. Ditambah lagi tak seronok, kamera belakang ada bonjolan melampau. Saya memang fobia kamera terbonjol ni sebab dah ada pengalaman modul kamera calar dan retak. Kena pasang sarung telefon baru lega sikit. Akhir sekali, kipas penyejuk Aeroactive Cooler X yang baru tak ada lagi subwoofer. Bunyi bass dah kurang berdentum.
Tapi lepas seminggu menggunakannya, saya mula mendapati sisi cerah ROG Phone 8. Ia kini lebih nipis dan ringan, tak berat nak pegang lama-lama terutama sekali masa baring nak main game sebelum tidur. Kamera pun, terbonjol melampau mesti lebih berkualiti. Kalau telefon rasa panas sangat, ia dah boleh masuk air sebab diiktiraf IP68.
Jadi, baik beli ke tak beli ROG Phone 8 Pro ni? Mari telusuri pengalaman saya lebih lanjut mengenainya sebelum membuat keputusan akhir.
Prestasi Tinggi Sangat Lancar
Seperti mana telefon ROG Phone sebelum ni, ROG Phone 8 Pro juga sangat lancar dan berprestasi tinggi. Main game boleh letak tetapan grafik yang tinggi dan ia masih berjalan lancar tanpa tersekat-sekat.
Nak lagi senang faham, saya kongsikan markah ujian tanda aras AnTuTu, Geekbench 6 dan 3DMark Wildlife Extreme. Semuanya dengan mudah mengatasi peranti berkuasa Snapdragon 8 Gen 2.
Uji Main Game: Genshin Impact
Nak tau prestasi telefon gaming ni, kena uji dengan main game. Macam biasa, saya uji dengan game Genshin Impact. Ini apa yang saya rasa, paparan dan prestasi paling lancar masa main game.
Tetapi saya rasa sensitiviti butang bahu ada masalah sikit. Ia kurang respon seperti yang saya mahukan. Adakah sebab sisinya lebih rata berbanding ROG Phone 7 dulu? Harapnya, ia cuma masalah perisian dan boleh dibaiki di masa akan datang.
Macam dulu, ada banyak pilihan untuk fungsi butang bahu ni. Boleh sapu, tekan sekali atau tekan banyak kali. Boleh tetapkan sendiri macam-macam.
Tapi naik taraf terbesar dan pengguna Genshin Impact paling bernasib baik adalah fungsi baru ‘X Sense’. Ia ibarat cheat code untuk main game dan Asus tambah fungsi yang banyak untuk Genshin Impact.
Antaranya, anda boleh tetapkan butang lari berterusan tanpa henti, jadi tak payah tekan lama-lama. Lepas tu ada fungsi kutip barang automatik. Ada juga fungsi keluar dari dibeku secara automatik dan paling menarik, fungsi langkau perbualan. Kalau yang tak nak tau perjalanan cerita, memang boleh jimat banyak masa. Dengan X Sense, pengalaman bermain Genshin Impact bertambah mudah.
Namun setelah lama bermain ni, saya merasakan telefon ni memang lebih panas dari telefon biasa tetapi ia tidak terlalu panas sampai saya rasa perlu berhenti bermain. Pendek kata, tak sepanas telefon gaming utama saya, Black Shark 5 Pro yang dikuasakan Snapdragon 8 Gen 1 yang terkenal melampau panas. Saya juga rasa, telefon ni lebih sejuk berbanding ROG Phone 7 lepas main game yang lama. Ini satu peningkatan yang sangat bagus.
Kipas Penyejuk Lebih Kecil & Ringan
Kalau nak lagi sejuk, boleh pasang kipas penyejuk Aeroactive Cooler X. Secara teknikal, Asus kata ia boleh alirkan penyejukan yang sama macam Aeroactive Cooler 7 dalam badan lebih kecil. Tapi secara umum, saya rasa ia memang menyejukkan.
Cuma perbezaan kali ini, saya rasa lebih selesa bermain lama sebab ia tak seberat Aeroactive Cooler 7. Kalau nak main game sebelum tidur, atau pegang telefon sambil baring, memang terasa beza ringannya ROG Phone 8 Pro dengan Aeroactive Cooler X, berbanding ROG Phone 7 Ultimate dipasang Aeroactive 7. Ini satu lagi peningkatan yang sangat bagus.
Tetapi dengan kipas penyejuk yang kecil, ia tiada lagi sokongan subwoofer. Bunyi yang dihasilkan memang tidak sehebat dan selantang ROG Phone 7 dan Aeroactive Cooler 7. Itu yang terpaksa dikorbankan untuk jadi lebih ringan. Selain itu, Aeroactive Cooler 7 tak serasi digunakan dengan ROG Phone 8 Pro ni, sebab kedudukan butang kuasa berbeza.
Kamera Terbaik di Telefon Gaming
Apa yang membuatkan hati saya berubah selepas seminggu menggunakan ROG Phone 8 Pro ni adalah pada kamera. Nampaknya Asus mempertaruhkan perkara ini untuk menarik lebih ramai pengguna biasa membeli ROG Phone 8 Pro.
Memang ada peningkatan besar pada kualiti kamera ROG Phone 8 Pro, terutama di bahagian zum dan telefoto. Gambar yang ditangkap dengan zum 3x mahupun 10x, jelas dapat dilihat butirannya. Kualiti gambar boleh dikatakan menghampiri peranti flagship seperti Galaxy S23 dan iPhone 15 Pro. Bolehlah guna bawa ke konsert untuk rakam video jarak jauh.
Kualiti gambar dengna kamera utama, termasuk gambar potret dan gambar malam juga sangat memuaskan. Gambar swafoto pun baik sekali. Anda boleh lihat menerusi contoh gambar yang saya tangkap menggunakan kamera ROG Phone 8 Pro.
Baik Beli ke Tak Beli?
Saya rasa, Asus cuba menarik pengguna biasa yang bukan kaki gaming tegar untuk membeli ROG Phone 8 ni. Sebab ia sebenarnya lebih hampir kepada Zenfone yang ditambah butang bahu. Jadi jika anda kaki gaming tegar mungkin sangat kecewa dengan ROG Phone 8 Pro kerana hilang banyak perkara yang menjadikan bermain game lebih menarik. Macam speaker tak simetri, skrin berlubang dan kamera belakang terbonjol.
Tapi bila dah bermain, beberapa perkara ni boleh diabaikan untuk pengguna biasa. Tak terasa ada lubang skrin, kamera terbonjol pula boleh pakai sarung, dan kualiti bunyi masih di tahap memuaskan. Ini menjadikan pengguna biasa yang lebih perlukan kamera berkualiti, skrin yang cantik, serta kalis air IP68, lebih berminat untuk mendapatkan fungsi tambahan butang bahu yang digunakan main game sekali-sekala. Ia adalah pasaran yang jauh lebih besar berbanding kaki gaming tegar.
Dengan ROG Phone 8 Pro, saya tidak lagi perlu bawa dua peranti iaitu telefon biasa dengan kamera berkualiti tinggi untuk media sosial serta telefon gaming untuk main game prestasi tinggi. Kesemuanya saya boleh dapatkan di dalam ROG Phone 8 Pro. Untuk ini, saya berpuas hati dan sangat berminat untuk memiliki ROG Phone 8 Pro. Kalau ada bajetlah.
Tetapi Asus juga telah menaikkan harga untuk mendapatkan telefon gaming yang ada kamera hebat ini. ROG Phone 8 tanpa kamera telefoto dijual pada harga RM3,999. Manakala ROG Phone 8 Pro 512GB tanpa kipas berharga RM4,799. ROG Phone 8 Pro Edition yang saya reviu ni, harganya RM5,999 sebab storan 1TB dan ada kipas sekali dalam kotak.
Untuk harga ini, mungkin saya boleh dapatkan dua telefon iaitu telefon gaming sebenar Redmagic 9 Pro berharga RM3,499 dan Xiaomi 13T RM1,799 yang ada kamera telefoto dan diiktiraf Leica. Ya mahal sikit tetapi dapat telefon gaming yang lebih menarik dan kamera yang lebih hebat.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda di pihak yang anti perubahan ROG Phone 8 Pro atau menyokong apa yang Asus dah buat sekarang ni. Jom kongsikan pandangan anda di ruangan komen ya. Kita bincang tapi kekal tenang.