Google secara rasmi mengumumkan mengambil alih aplikasi penyelesaian matematik, Photomath. Perjanjian untuk aplikasi tersebut telah pun diperoleh sejak May 2022, tetapi baru kini ia disenaraikan di gedung penerbitan Google Play Store.
Photomath membolehkan anda mengambil gambar soalan matematik termasuk dalam perkataan, bagi mendapatkan jawapan penyelesaian langkah demi langkah. Ia meliputi matematik untuk semua peringkat termasuk algebra, geometri, dan kalkulus.

Google Photomath, penyelamat buat ibu bapa
Anda yang ingin mencuba aplikasi Photomath, boleh memuat turun menerusi Google Play Store untuk Android. Jangan risau, aplikasi tersebut juga ada di Apple App Store, jadi yang guna peranti iOS turut boleh memuat turunnya.
Cara gunakan Google Photomath
- Muat turun aplikasi Photomath.
- Buka aplikasi dan arahkan kamera peranti ke soalan matematik.
- Pastikan soalan tersebut berada dalam bingkai kamera yang tersedia.
- Klik ikon merah pada bahagian bawah.
- Dalam sekelip mata, anda akan mendapat jawapannya. Jika anda ingin menyemak kaedah penyelesaiannya, klik ‘Show Solving Steps’.



Hanya dengan menghalakan kamera telefon kepada soalan matematik, sama ada dicetak, bertulis tangan atau di skrin komputer, AI Photomath akan dapat membantu. Selepas beberapa saat, jawapan akan muncul pada skrin bersama penjelasan terperinci tentang kaedah untuk mendapatkan jawapan penyelesaiannya.

Saya sendiri dah mencuba aplikasi Photomath tersebut. Memang mudah digunakan dan pantas sekali jawapan diberikan. Sesuai sangatlah untuk pelajar dan juga ibu bapa – boleh bantu anak menyelesaikan tugasan kerja rumah matematik. Tapi walaupun ia mengatakan boleh menyelesaikan soalan matematik dalam perkataan, namun setakat percubaan saya, ia hanya boleh menyelesaikan soalan matematik dalam bahasa English sahaja.


Untuk mendapatkan ciri tambahan seperti akses kepada penyelesaian buku teks, tutorial animasi dan penjelasan lebih terperinci, anda boleh melanggan Photomath Plus pada harga RM40.99 sebulan, RM224.99 untuk enam bulan atau RM249.99 setahun.
[Sumber: 9to5Google]