Penawaran telefon mampu milik Honor pada Disember lalu disertai oleh ahli baharu iaitu Honor X7b. Ia adalah telefon 4G yang hadir dengan bateri besar 6,000mAh dan kamera utama 108MP. Kini, Honor telah mengemas kininya dengan varian 5G yang dinamakan, Honor X7b 5G.
Ia bukan sahaja menggunakan cip pemproses baharu untuk menyokong rangkaian 5G, malah didatangkan dengan rekaan panel belakangnya yang baharu. Berbanding Honor X7b pada harga RM799, versi 5G terbaru ini dilancarkan pada harga RM899.
Jadi, adakah Honor X7b merupakan telefon 5G mampu milik yang bagus berbanding pesaing lain dalam lingkungan harganya? Dengan itu, di sini saya nak kongsikan ulasan penuh saya mengenai Honor X7b 5G.
Spesifikasi Honor X7b 5G
Sebelum pergi lebih lanjut, saya nak senaraikan spesifikasi penuh Honor X7b 5G.
- Cipset: MediaTek Dimensity 6020 5G 7nm
- RAM: 8GB
- Storan: 256GB
- Skrin: TFT LCD 6.8″ FHD+ 90Hz
- Kamera Hadapan: 8MP F2.0
- Kamera Utama: 108MP F1.8
- Kamera Makro: 2MP F2.4
- Kamera Depth: 2MP F2.4
- Speaker: Stereo
- Bateri: 6,000mAh
- Pengecasan: 35W USB-C
- Sistem operasi: Magic OS 7.2
Miliki estetik yang cantik
Honor X7b 5G ini sememangnya nampak dan terasa seperti sebuah telefon dalam kelas permulaan. Sebenarnya rupa parasnya sama sahaja seperti varian 4G yang dilancarkan sebelum ini, tetapi dengan rekaan panel belakang yang berbeza sedikit. Ia masih gunakan kemasan plastik, tapi dalam warna perak terbaharu.
Jika dilihat dengan teliti, pada panel belakangnya terdapat dua teksur berbeza dengan bahagian atasnya bertekstur diagonal dan berbintik berkilauan dekat bawah. Ia bukan sahaja berikan estetik yang cantik, malah tidak meninggalkan kesan cap jari yang ketara disebabkan warna perak pada panel belakang.
Tapi, tekstur panel belakang ini bukanlah tekstur fizikal yang boleh dirasa dengan jari, sebaliknya hanya kesan 3D dengan terdapat lapisan plastik lutsinar yang melapisinya. Sisi bingkai telefon juga kini rata dan ia diperbuat daripada materi plastik. Ia cukup selesa untuk digenggam dan bucunya juga tidak tajam.
Selain itu, terdapat juga dua bulatan besar pada panel belakang yang menempatkan modul kamera. Disebabkan itu, telefon ini tidak boleh dibaringkan sepenuhnya kerana modul kameranya tertonjol keluar daripada badan, serta risiko untuk lensa kamera tercalar juga ada. Jadi, lebih baik untuk gunakannya bersama case.
Bagaimanapun, sejujurnya keseluruhan binaan telefon memang terasa agak murah untuk bingkai dan panel belakang plastik ini. Meskipun begitu, ia perkara yang masih boleh diterimalah untuk kategorinya. Tapi, kalau ada benda yang tidak boleh diterima adalah, ia tidak diberikan pengiktirafan untuk kalis air dan debu, sedangkan ada sahaja telefon lain dalam lingkungan harganya yang paling kurang pun ada IP54.
Seterusnya, disisi telefon juga butang kuasa yang berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Sementara ia boleh mengecam dengan pantas, satu masalah yang saya hadapi adalah butangnya terlalu kurus untuk ditekan, yang kadangkala sukarkan jari untuk di cam. Saya perlu posisikan semula dengan betul, barulah ia dapat mengecam. Lagi satu, butangnya juga terasa longgar semasa menekan. Tidaklah pasti sama ada ini unit ini sahaja ataupun tidak.
Dari segi sistem bunyi, ia mempunyai speaker stereo yang menembak ke depan dan bawah telefon. Bunyi yang keluar daripadanya juga tidaklah berapa bagus dan kedengaran nipis. Tapi, jika anda lebih sukakan sambungan berwayar, telefon ini masih mengekalkan port jek audio 3.5mm.
Beralih pada bahagian skrin, ia ada paparan besar dengan dagu di bawah yang sedikit tebal berbanding sisi lain. Perkara ini tidak peliklah untuk telefon dalam kategorinya, tapi alangkah baiknya jika Honor memberikan dagu yang sedikit lebih nipis. Pasti lebih cantik dan sedap mata memandang, betul tak?
Panel skrin yang digunakan adalah jenis LCD dan seperti yang dijangka, warna yang ditawar adalah biasa-biasa sahaja. Tapi, kandungan yang terpapar bergerak dengan lancar. Meskipun menggunakan panel LCD, kecerahan puncak pada panel ini agak bagus dan tiada masalah untuk penggunaan bawah cahaya matahari. Kandungan boleh nampak dengan jelas dan tajam.
Prestasi cukup dengan 5G
Memandang pada prestasi, Honor X7b ini menawarkan pengalaman penggunaan harian cukup baik. Setakat penggunaan saya, tidak pernah lagi saya menghadapi kelengahan ketika membuka aplikasi, menggunakan media sosial, menstrim video atau menggunakannya secara keseluruhan. Semuanya terasa lancar.
Tapi, berada dalam segmen mampu milik, sudah tentu ia tidak berkuasa seperti telefon lain yang lebih mahal. Berbanding Qualcomm Snapdragon 680 yang terdapat di varian 4G, Honor X7b 5G terbaharu ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 6020. Selain pertambahan sokongan 5G, cip terbaru ini juga ada prestasi sedikit lebih baik berbanding varian 4G.
Dengan itu, Honor X7b agak bagus dalam menjalankan game. Setakat saya ujinya dengan main game Call of Duty Mobile, game masih boleh ditampung dengan baik.
Malah, untuk game lebih berat macam Genshin Impact turut boleh dimain. Tapi bukan tetapan tertinggilah, perlu turun ke tetapan medium kalau nak lancar. Tapi, apa jua tetapan yang dipilih, game akan nampak berpiksel. Mungkin sebab telefon ini memang kurang berkuasa.
Namun, apa yang bagus, telefon tidak terasa panas sewaktu gaming atau melakukan tugas berat, walau dalam sesi gaming yang lama.
Bagi anda yang berminat untuk melihat hasil ujian penanda aras, berikut saya kongsikan:
Dari segi perisian, telefon ini ditunjangi sistem operasi Magic OS 7.2 berasaskan Android 13. Sejurus menghidupkan telefon, ia ada antaramuka agak kemas dan yang penting ada kurang bloatware berbanding sistem operasi Android yang lain, contohnya MIUI 14.
Lagi menarik, keupayaan untuk membuka dua aplikasi serentak pun tersedia, tapi dengan satunya dalam tetingkap kecil. Ia boleh diakses dengan meleret di tepi skrin lama, dan anda boleh pilih aplikasi yang nak dibuka dalam menu kecil di tepi. Agak berguna kalau anda nak mainkan lagu di YouTube sambil membuka aplikasi lain.
Hayat bateri sangat memberangsangkan
Salah satu kelebihan utama telefon ini adalah pada bahagian baterinya. Walaupun dengan badan nipis, Honor X7b 5G ini dilengkapkan dengan kapasiti 6,000mAh. Oleh disebabkan itu, masa penggunaan yang ditawar pada Honor X7b ini juga sangat memberangsangkan, dan mungkin paling bagus setakat yang saya pernah reviu pada telefon pintar.
Saya boleh dapat masa penggunaan lebih daripada dua hari tanpa masalah dengan kecerahan skrin diletakkan pada 50% atau tengah-tengah. Bateri terasa lambat untuk habis, tak kiralah untuk main game, menstrim video atau menggunakan navigasi. Saya main Genshin Impact selama 2 jam hanya memakan 25% bateri sahaja.
Tetapi, di samping ada bateri besar, kelebihan jangka hayat bateri yang panjang ini mungkin disumbang oleh skrinnya yang hanya menggunakan panel jenis LCD dan terhad pada 90Hz.
Untuk mengisi semula pun tidak mengambil masa yang lama. Ia menyokong pengecasan pantas 35W dan cas dari 0 hingga penuh mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit. Cukup baguslah untuk memenuhkan kapasiti baterinya yang besar pada 6,000mAh. Kepala pengecas juga diberi dalam kotak, jadi tak perlu beli berasingan.
Kamera cukup bagus, tapi bukan untuk zum 2x
Sistem pengimejan pada Honor X7b ni hadir dengan satu kamera utama beresolusi 108MP, dan lagi dua adalah kamera makro 2MP dan kamera depth 2MP. Untuk kamera utamanya, ia menangkap gambar 12MP secara default. Semasa menangkap, jujur saya sedikit sangsi dengan hasil daripadanya sebab imej previu pada skrin paparkan imej agak buruk. Tapi sejurus gambar ditangkap, saya agak terkejut.
Hasil daripada kamera utama berikan imej yang cantik. Gambar nampak tajam dengan butiran juga ada, serta warna yang dihasilkan boleh tahan cantik. Meskipun begitu, untuk gambar malam dengan pencahayaan yang malap, hasil daripadanya agak kurang memuaskan.
Ini adalah kerana, butiran di kawasan gelap tak dapat dikekalkan serta keseluruhan imej juga kurang tajam. Walaupun menggunakan mod malam yang ia ada, gambar akan nampak lebih terang sahaja dengan kualiti imej yang masih kabur.
Sementara itu, gambar zum pula ada hasil yang langsung tak bagus. Walaupun untuk zum 2x, gambar akan nampak kabur dengan warna tidak senatural seperti gambar biasa. Agak pelik juga kenapa sensor besarnya tidak dapat hasilkan gambar zum baik walau hanya untuk zum 2x. Tapi, ini mungkin sebab ia tidak dilengkapi ciri lossless zum seperti yang ada dekat telefon lain.
Untuk zum jauh, ia hanya menyokong sehingga 10x zum digital. Walaupun ada hasil yang kabur, ia masih bolehkan anda untuk nampak butiran pada bangunan yang jauh. Anda boleh lihat sampelnya di bawah.
Sungguhpun begitu, ia mampu untuk hasilkan gambar Portrait dengan bokeh yang bagus. Cumanya, pemprosesannya kadangkala akan memotong sebahagian daripada subjek dalam gambar, tapi bukan masalah besar kerana tidak berlaku setiap masa. Ia juga boleh menangkap gambar potret zum 2x. Tapi macam gambar biasa, kualitinya tidak tajam dan berapa bagus.
Tapi, apa yang pelik, untuk tangkapan potret, bokeh perlu dihidupkan terlebih dahulu, yang mana saya rasa mengalahkan tujuan mod ‘Portrait.
Lagi pelik, walaupun sudah ada mod Portrait, ia turut ada satu lagi mod yang dipanggil ‘Aperture’ untuk berikan gambar dengan bokeh. Tidak pasti mengapa perlu ada dua mod untuk berikan hasil imej yang sama, tapi ia ada jika anda perlukan.
Beralih pada kamera depan, gambar selfie berikan imej yang agak cantik dan tajam. Tapi warna yang dihasilkan sedikit pudar kadang-kadang, jadikan warna kulit tidak kelihatan natural. Bagaimanapun, sokongan untuk tangkapan ‘Portrait’ turut ada untuk kamera selfie, dan subjek diasingkan dengan bagus dari latar.
Honor X7b telefon 5G murah terbaik?
Secara keseluruhan, Honor X7b 5G adalah sebuah telefon yang cukup bagus untuk kategorinya. Walaupun tidaklah berkuasa, tapi untuk telefon bawah RM1,000, ia menawarkan ciri yang berbaloi dan memadai untuk memenuhi keperluan harian anda. Ia ada prestasi baik dengan 5G, jangka hayat bateri sangat memberangsangkan, rekaan menarik dan sistem operasi yang bersih dan kurang bloatware.
Tapi, sudah tentu terdapat kekurangannya untuk mencapai tanda harga murah. Antaranya, ia tidak dilengkapkan dengan ciri kalis air dan debu, gunakan skrin LCD dan ada keseluruhan binaan yang terasa murah. Selain daripada itu, walaupun kameranya berikan hasil baik untuk gambar biasa, ia masih tidak sempurna untuk keperluan zum dan gambar dengan pencahayaan malap.
Lagi teruk, ia juga tidak dilengkapkan dengan NFC. Satu kelemahan besar untuk telefon hampir berharga RM1,000. Dah tak boleh nak guna untuk tambah nilai kad Touch n’Go atau Google Wallet.
Kalau nak bandingkan Honor X7b dengan telefon lain, ia adalah Realme 11x 5G yang berharga RM999. Pada harga lebih murah, Honor X7b didatangkan dengan storan lebih besar, bateri lebih baik dan resolusi kamera 108MP berbanding 64MP di Realme 11x 5G. Cuma kelebihan Realme 11x 5G ia ada skrin lebih pantas 120Hz.
Tetapi, pada harga RM1,099, anda boleh dapat Redmi Note 13 5G yang jauh lebih baik kerana ada skrin AMOLED 120Hz, lengkap dengan pengiktirafan IP54 serta ada kamera ultra lebar.
Jika anda mahukan sebuah telefon 5G tanpa perlu berbelanja lebih, Honor X7b 5G masih antara pilihan yang terbaik. Kalau berminat, anda boleh dapatkannya bermula 25 April di gedung rasmi Honor di Lazada dan Shopee.