Tahun 2024 boleh dikatakan tahun kecerdasan buatan atau AI menjadi tumpuan utama. Samsung membawakan keupayaan Galaxy AI ke dalam peranti mudah alih mereka, selain Google membuka perkhidmatan berteraskan AI mereka kepada lebih ramai pengguna. Antaranya Magic Eraser, keupayaan menghilangkan objek dengan sempurna daripada gambar sedia ada. Tetapi perkhidmatan berasaskan AI daripada Samsung dan Google ini memerlukan pemprosesan di awan, dan ada yang perlu dibayar sebelum dapat digunakan.
Tetapi tahukah anda, Nvidia sebenarnya telah mempelopori penggunaan AI sejak sekian lama? Perkara ini dibentangkan oleh Nvidia dalam pertemuan bersama media di pejabat mereka di Taiwan. Dalam pertemuan dengan media dari Asia Tenggara termasuk Malaysia, Nvidia memperlihatkan keupayaan pemproses grafik (GPU) RTX menjalankan pelbagai teknologi AI, di komputer desktop dan juga laptop. Malah, Nvidia telah membicarakan tentang AI sejak sekian lama, melalui permainan video atau gaming.
RTX menguasakan AI di permainan dan aplikasi
Dengan GPU Nvidia RTX, ia mampu memproses penggunaan AI lebih hebat daripada pemproses lain. Sehingga kini, terdapat lebih 370 game menggunakan AI dengan RTX, dan lebih 125 aplikasi AI dikuasakan RTX.
Dalam pembentangan di hadapan media, Nvidia memperlihatkan beberapa penggunaan AI yang dikuasakan RTX, menjadikan gaming lebih menarik dan aplikasi lebih pantas memproses. Antaranya teknologi Deep Learning Super Sampling (DLSS), tetapan yang tidak asing di dalam permainan video. DLSS boleh menjadikan grafik di dalam game lebih cantik dan menawan kerana ia mencipta bingkai tambahan untuk meningkatkan kualiti grafik.
Selain DLSS, teknologi Julat Dinamik Tinggi atau High Dynamic Range (HDR) juga penting dalam game. Ia meningkatkan kecerahan bayangan gelap dan mengurangkan silau waktu cerah, supaya semua ketelitian grafik dapat dilihat dengan jelas. HDR berkualiti tinggi memerlukan kuasa memproses AI yang pantas, seperti GPU Nvidia RTX.
Selain grafik, Nvidia turut memperlihatkan keupayaan Nvidia Ace, pemproses suara kepada teks atau perkataan masa nyata. Ia juga ada dipergunakan dalam permainan video, dengan demo menggunakan game Covert Protocol. Watak AI di dalam game tersebut, mampu menjawab sebarang pertanyaan pemain melalui suara dengan pantas dan tepat.
Bagi menunjukkan kehebatan GPU RTX mereka, Nvidia membandingkan pemprosesan aplikasi AI dengan laptop Macbook Pro 16. Aplikasi penjana AI Stable Fusion, mengambil masa kira-kira 10 saat untuk menjana gambar dari kata kunci yang dimasukkan pengguna. Manakala Macbook Pro, mengambil masa lebih 3 minit.
Demo seterusnya adalah penjana AI yang popular sekarang, iaitu penghabus objek dalam gambar. Menggunakan aplikasi Topaz Labs Photo, objek atas meja seperti botol sos dan botol garam, boleh dihapuskan dengan sempurna dengan pantas, seperti ia tiada di atas meja selama ini.
Akhir sekali adalah Chat RTX. Ia adalah pemproses AI yang menjawab persoalan dari pengguna. Contohnya, mencari gambar kucing dan motorsikal dari dalam storan laptop. Memang pantas ia membawakan hasil jawapan.
Sebagai penutup, Nvidia menegaskan pemproses GPU RTX mereka membawakan pengalaman AI Premium ke komputer desktop atau laptop. Ia juga adalah penggunaan pemproses AI terbesar di dunia, dengan lebih 100 juta PC tersedia dengan GPU RTX.
Penggunaan GPU RTX untuk memproses AI juga lebih pantas, rendah kependaman, dan sentiasa tersedia untuk digunakan, berbanding pemprosean AI di awan kerana memerlukan sambungan internet yang stabil dan cepat. Data peribadi pengguna juga tidak dibawa keluar dari peranti apabila diproses AI. Ini menambah lapisan keselamatan untuk data pengguna.
Adakah anda bersetuju dengan Nvidia bahawa mereka adalah peneraju pemprosesan AI di dunia sekarang? Tidak dapat dinafikan, pemproses yang pantas diperlukan oleh aplikasi yang perlukan kuasa pengiraan tinggi, antaranya mengedit gambar, video, pengaturcaraan dan banyak lagi. Untuk ini, Nvidia sememangnya penyedia pemproses AI antara terbaik di pasaran sekarang.
Untuk mengenali Nvidia RTX dengan lebih mendalam, layari laman web Nvidia GeForce RTX 40 series.
Bacaan Berkaitan
- 11 fungsi premium Google Photos akan dibuka kepada pengguna versi percuma
- Kuasa AI Google Gemini akan datang ke peranti Oppo dan OnePlus tahun ini
- Google Pixel 8 Pro miliki lebih banyak magic AI di kamera, storan hingga 1TB tetapi masih bukan milik kita
- Kemas kini One UI 6.1, tambah ciri baru Galaxy AI untuk peranti lama Samsung