Honor telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka di China, iaitu siri Honor 200. Ia merangkumi Honor 200 dan Honor 200 Pro dan merupakan pengganti kepada siri Honor 100 yang dilancar pada bulan November tahun lalu. Berbanding ada modul kamera pelik dan berbeza untuk model Pro dan biasa, siri Honor 200 kini didatangkan dengan modul kamera yang serupa.
Selain itu, Honor 200 dan 200 Pro juga berkongsi banyak ciri yang serupa dengan beberapa perbezaan ketara, terutamanya daripada segi penggunaan cip pemproses dan juga keupayaan pengecasan wayarles.
Spesifikasi Honor 200 dan Honor 200 Pro
Honor 200 Pro dikuasakan cip flagship Snapdragon 8s Gen 3 yang bergandingan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Ia juga turut ada cip khusus untuk meningkatkan rangkaian selular dan wayarles iaitu Honor C1+. Sementara itu, Honor 200 pula ada prestasi kelas pertengahan dengan diperkasa cip Snapdragon 7 Gen 3, cip yang sama pada model Honor 100 sebelum ini.
Panel paparan yang digunakan adalah sama untuk kedua-dua model. Ia adalah paparan OLED 6.7-inci FHD+ dengan kadar penyegaran 120Hz. Walaupun panel skrin yang digunakan sama, lubang skrin pada model Pro menggunakan bentuk pil manakala model biasa berbentuk lubang. Tetapi kedua-duanya menggunakan sensor 50MP.
Untuk sistem kamera di belakang, kedua-dua Honor 200 dan 200 Pro dimuatkan dengan sistem trikamera. Ia terdiri daripada telefoto 50MP menggunakan sensor IMX856 berkeupayaan zum optikal 2.5x, kamera ultralebar 12MP dan kamera utama 50MP OIS. Tetapi Honor 200 Pro menggunakan kamera utama 1/1.3″ dengan sensor tersuai H9000 dan Honor 200 pula memanfaat sensor Sony IMX906 1/1.56″.
Kapasiti bateri yang dilengkapkan adalah sama iaitu 5,200mAh dengan sokongan pengecasan pantasn 100W. Namun, model Pro ada kelebihan kerana memiliki sokongan pengecasan wayarles 66W. Telefon pintar ini juga akan lengkap dengan MagicOS 8.0 berasaskan Android 14.
Harga rasmi siri Honor 200 di China
Honor 200 ditawarkan di China dengan harga permulaan CNY 2,699 (~RM1,751) untuk RAM 12GB dan storan 256GB dan sehingga CNY 3,199 (~RM2,075) untuk varian RAM 16GB dan storan 512GB. Untuk Honor 200 Pro pula, harganya bermula CNY 3,499 (~RM2,207) untuk RAM 12GB dan storan 256GB dan mencapai CNY 4,499 (~RM2,919).
Walaupun masih tiada perkhabaran tentang pelancarannya di pasaran Malaysia, dilihat siri Honor 200 akan tiba di Malaysia juga nanti. Ini kerana Honor Malaysia telah memuat naik hantaran memaklumkan mereka bakal lancarkan telefon terbaru dengan teknologi AI menakjubkan, yang mungkin merujuk kepada siri Honor 200.
Ini adalah kerana, gambar yang disertakan menampilkan modul kamera seakan yang terdapat di siri Honor 200. Bagaimanapun, laporan media antarabangsa melaporkan pelancaran global siri Honor 200 akan diadakan pada 12 Jun nanti. Oleh itu, anda boleh jangkakan pelancarannya di Malaysia tidak lama selepas itu.
Sebagai perbandingan, siri terbaru Honor 200 ini menyaksikan sedikit kenaikan harga berbanding generasi sebelumnya yang bermula CNY 2,499 (~RM1,621) untuk Honor 100 dan CNY 3,399 (~RM2,205) untuk Honor 100 Pro. Namun, disebabkan siri Honor 100 tidak dilancarkan di Malaysia, agak sukar untuk menjangkakan harga siri Honor 200 jika ia dilancarkan di Malaysia kelak.
Tetapi, harga yang ditawarkan pasti tidak akan jauh berbeza dengan harga pelancarannya di China. Sama-sama kita nantikan pelancaran dan pemakluman rasmi oleh Honor Malaysia berkenaan siri Honor 200.
[Sumber: GSMArena]
Bacaan berkaitan
- Honor 100 & Honor 100 Pro dilancar, telefon pertama Snapdragon 7 Gen 3 dengan kamera pelik
- Honor Pad 9 Pro diperkenal di China, dikuasakan cip Dimensity 8100 dan bateri 10,050mAh
- Honor Band 9 diperkenal, ada skrin AMOLED lebih besar pada harga sama RM199
- Honor Pad 9 5G kini rasmi, diperkasa Snapdragon 6 Gen 1 dengan 8 speaker pada harga RM1,799