[Artikel ini dibawa oleh MOHE]
Melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti kini tidak boleh dipandang rendah lagi kerana ia berjaya menghasilkan graduan berkeupayaan tinggi. Ini dibuktikan oleh Kolej Komuniti Chenderoh (KKC), apabila mereka berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi beberapa pingat dalam pertandingan kulinari yang diadakan di Korea baru-baru ini, iaitu Seoul Food & Hotel (SFH) Culinary Challenge 2024.
Daripada 11 kategori yang dipertandingkan, KKC yang mewakili Kolej Komuniti Politeknik (POLYCC) berjaya membawa pulang 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa.
Pasukan KKC diketuai oleh Khairul Ashikhin Abdullah Suhami, selaku Pensyarah Utama Program Kulinari KKC, bersama empat orang pelajar Diploma Seni Kulinari iaitu Muhammad Nabil Hadzrin Hasanudin, Muhamad Fikri kamaruzaman, Muhammad Amirul Hakim Rahimudin dan Mohd Afiq Shauky Amil.
Menang pingat dalam 8 daripada 11 kategori
Ashikin memberitahu, dia dan wakil KKC ada tempoh yang singkat bagi mempersiapkan diri ke pertandingan tersebut. Namun, itu tidak menghalang pasukannya untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan antarabangsa itu.
“Kami hanya sempat membuat persiapan untuk pertandingan SFH Culinary Challenge 2024 di Seoul dalam masa dua minggu sahaja,” kata Ashikin.
Daripada 11 kategori yang dipertandingkan, KKC berjaya merangkul dua pingat emas dan dua perak serta empat gangsa bagi lapan kategori antaranya seperti Top Asian Noodles, Main Course Fish or Seafood, Modern Asian Main Course dan Nestle Professional Chef Challenge.
Bukan kejayaan pertama KKC
Menurut Ashikin, pelajar KKC telah menyertai pelbagai pertandingan di luar negara. Ini kerana KKC secara aktif memberi peluang kepada pelajar menyertai pertandingan kulinari di peringkat domestik dan antarabangsa.
Tahun ini sahaja, pelajar KKC telah menyertai pertandingan kulinari di Bali dan Seoul. Selepas ini, KKC akan mewakili Malaysia dalam pertandingan kulinari peringkat antarabangsa di Busan, Korea Selatan pada 3 hingga 6 Oktober 2024 dan Jakarta, Indonesia pada hujung tahun ini.
Ditanya tentang kriteria untuk memilik pelajar yang menyertai pertandingan, dia menjelaskan ia berdasarkan komitmen dan minat pelajar, bukan semata-mata dari kecemerlangan akademik. Ashikin percaya, kerja keras dan dedikasi adalah penting untuk berjaya.
“Pelajar yang bekerja keras dan komited sering membuahkan hasil yang lebih baik. Saya membimbing pelajar selepas waktu kelas, dan latihan boleh berlanjutan sehingga tengah malam, terutama apabila pertandingan semakin hampir,” tambah Ashikin.
“Bagi pelajar yang baru menyertai, kami akan melatih mereka sebagai pembantu dahulu. Selepas itu, mereka akan mengambil alih tempat senior yang telah tamat pengajian. Sememangnya sangat mencabar untuk mencari pelajar yang sanggup berkorban masa hujung minggu dan tidak pulang ke rumah, terutama dari tempat yan jauh seperti Sabah,” jelasnya lagi.
Ubah persepsi orang ramai tentang Kulinari
Bidang kulinari kini dilihat setanding dengan bidang-bidang utama yang lain. Menurut Ashikin, tugas tukang masak bukan setakat memasak tetapi boleh jadi seperti seorang doktor dan jurutera. Dalam makanan, akan belajar tentang kalori, nutirisi dan juga perakaunan, bukan duduk di dapur sahaja sepanjang masa.
Ramai pelajar didikan Ashikin telah berjaya dalam kerjaya mereka, antaranya bertugas sebagai Chef de Partie di hotel lima bintang di Pulau Pinang. Ada juga yang melanjutkan pelajaran ke UPSI dan menjadi guru vokasional, serta ada yang bertugas di bahagian makanan di Hospital Orang Asli.
Kejayaan program kulinari kini dapat dilihat menerusi permintaan yang semakin meningkat. Selain di hotel dan tempat peranginan, ada juga yang bertugas di sektor penerbangan.
Ashikin berkata, tahun ini sahaja, program Diploma mereka menerima 190 permohonan untuk mengisi 25 tempat. Ini menyebabkan mereka terpaksa membuat proses pemilihan yang menyeluruh untuk mendapatkan calon yang layak.
“Ramai pelajar tertarik dengan bidang kulinari kerana ia kelihatan glamor, terpengaruh dengan cef selebriti seperti dalam rancangan MasterChef. Tetapi mereka tidak mengetahui realiti di sebaliknya.
“Contohnya di Seoul, mereka terpaksa membawa 250 kg barang masakan di dalam hujan, dengan hanya 5 orang sahaja. Kami terpaksa menaiki bas, menunggu di stesen bas, dan lain-lain. Ia sangat susah dan mencabar,” kata Ashikin.
Tetapi Ashikin menganggap ia pengalaman yang banyak mengajar pelajar. Menyertai pertandingan dan pergi ke banyak tempat, pengalaman tersebut membezakan pencapaian diri dengan yang lain.