Alam EV kini sedang kecoh dengan satu video TikTok yang menampilkan seorang pempengaruh (Iman Kamil) yang menghabiskan 3 jam di stesen pengecas untuk mengisi bateri MG4 XPower milik video. Sewaktu artikel ini ditulis, video berkenaan sudahpun menerima lebih 1.3 juta tontonan dan mengundang perdebatan terutamanya dalam kalangan pihak pro-EV dan anti-EV.
Spesifikasi MG4 XPower
MG4 XPower adalah sebuah EV berkuasa tinggi. Malahan ia adalah EV termurah boleh anda dapatkan di Malaysia yang mampu pecut daripada 0 ke 100km/j dalam masa kurang daripada 4 saat pada harga bawah RM160,000.
Dalam keluarga MG4, XPower adalah varian paling berkuasa. EV ini adalah pacuan semua roda bermotor kembar dengan output 320kW (429hp) dan trok 600Nm. 0 kepada 100km/j ambil masa 3.8 saat sahaja. Angka tersebut adalah saing-saing Smart #1 Brabus dan BYD Seal. Ia ada bateri 64kWh dengan jarak kembara 385km (WLTP).
Berbalik kepada video tadi, itu semua ralat asas dan tak sepatutnya berlaku. Baca lebih lanjut untuk anda ketahui amalan betul untuk pemanduan EV jarak jauh.
1. Cas bateri EV hingga 80%, jimat masa dan jimat duit
Ralat pertama yang Iman lakukan adalah menunggu EV miliknya dicas penuh, lantas menelan lebih 80 minit waktunya. Seandainya anda menggunakan pengecas DC, disarankan untuk berhenti pada takat 80% kerana baki 20% akan mengambil masa lebih panjang berbanding masa untuk isi daripada 30% kepada 80%.
Contohnya, Kia EV6 mengambil masa hanya 12 minit untuk isi daripada 37% kepada 80% sementara 38 minit untuk untuk isi 37% kepada 100%. Ia sangat merugikan masa dan duit.
Anda boleh rujuk kepada charging curve EV untuk jawapannya. Lebih tinggi peratusan state-of-charge (SoC) bateri EV itu, lebih perlahanlah kadar pengecasannya. Contoh di atas adalah lekuk pengecasan sebuah MG4 XPower dan anda boleh lihat kadar 130kW DC hanya bertahan sehingga SoC 55%. Kemudian, ia mula turun bawah 100kW pada 60% dan akhirnya bawah 50kW selepas 80%.
2. Pilih stesen pengecas yang ada banyak nozel
Ralat kedua yang dilakukan Iman adalah bergantung kepada stesen pengecas nozel tunggal. Dalam kes dia, lokasi pengecasannya terletak di R&R Gambang (Arah Barat). Stesen itu mempunyai 1 output CCS2. Bukan sahaja ia perlahan, malahan disebabkan ia hanya ada 1 nozel CCS2, risiko ia sedang digunakan adalah tinggi.
Berbanding R&R Gambang (Arah Barat) yang ditawarkan pada kadar RM1.50kWh, dia boleh detour ke dalam Bandaraya Kuantan dan gunakan stesen DC yang lebih pantas dan murah. Contohnya, stesen DC di Starbucks Indera Mahkota tawarkan 60kW DC pada kadar RM1.20kWh. Lebih baik, stesen itu tawarkan 2 nozel.
Sebagai alternatif, Proton Pesat CTM juga ada dua nozel menawarkan output sehingga 120kW DC dan satu lagi di Proton 3S YS Autoworld yang tawarkan 60kW DC. Kedua-dua stesen pengecas EV ini menawarkan servis pada kadar RM1.50/kWh.
Sekiranya Iman menggunakan mana-mana pengecas ini, dia sepatutnya boleh selesai mengecas dalam masa kurang daripada sejam dan tiba di Kuala Lumpur sebelum 5:00 petang. Iktibar yang boleh dia pelajari adalah untuk cari pengecas EV yang ada sekurang-kurangnya 2 nozel ataupun lebih.
Semua maklumat itu boleh didapati dalam aplikasi seperti Plugshare.
3. Pandu ikut had laju
EV memanglah akan guna banyak bateri kalau cruise pada kelajuan tinggi. MG4 XPower adalah sebuah hothatch berprestasi tinggi. Ia ada motor berkembar 320kW (429hp) dan tork setinggi 600Nm. Ia boleh pecut daripada pegun kepada 100km/j dalam masa 3.8 saat sahaja dengan kelajuan maksimum 200km/j.
Berbekalkan bateri 64kWh, MG4 XPower ada jarak kembara sejauh 385km (WLTP) yang bermakna ia sepatutnya boleh pergi sejauh 300 – 350km dalam penggunaan dunia sebenar bergantung kepada cara pemanduan.
Walau bagaimanapun, daripada video tersebut, boleh dilihat yang untuk paras bateri 96% ia cuma boleh bawa Iman sejauh 229km sahaja. Untuk pengetahuan anda, jarak yang dipamerkan biasanya dikira berdasarkan sejarah pemanduan dan jarak yang singkat menunjukkan ia dipandu secara tidak cekap.
Sebelum dia mula mengecas, ada satu bahagian dalam video yang menunjukkan beberapa maklumat menarik. Contohnya, dia mencatatkan kecekapan penggunaan bateri yang teruk pada 29.8kWh/100km. Selain itu, dia juga memandu sejauh 143.8km dalam mada 1 jam 12 minit yang menjadikan purata halajunya adalah 120km/j. Sekiranya dia memandu secara berhemah mengikut had laju yang ditetapkan undang-undang, dia sepatutnya mempunyai cukup bateri untuk bawanya ke destinasi dengan satu bateri.
Tak kiralah sama ada anda memandu EV ataupun ICE, kecekapan penggunaan tenaga akan menurun pada kelajuan tinggi kerana kenderaan perlu gunakan lebih tenaga untuk melawan rintangan angin. Sifat senyap EV menyebabkan ia seronok untuk dipandu pantas kerana ketiadaan bunyi dan gegaran enjin. Ia ditambah pula dengan tork yang tinggi dan segera daripada motor elektrik menjadikan memecut EV adalah satu pengalaman yang mengujakan.
Sekiranya anda ingin beroleh jarak kembara WLTP seperti yang dinyatakan, anda seharusnya memandu pada kelajuan yang munasabah. Seandainya EV anda mempunyai jarak kembara yang cukup, anda sepatutnya tak perlu pun lakukan hentian untuk top-up bateri anda.
4. Tukar ke EV, pemikiran pun kena bertukar
Berhijrah kepada EV turut memerlukan penghijrahan pada segi cara penggunaan kerana ia tidak sama dengan kenderaan petrol/diesel biasa. Biasanya kita mengisi bahan api secara penuh setiap kali singgah ke stesen minyak. Tapi dengan EV, anda tak perlupun untuk cas penuh setiap masa ataupun tunggu sehingga bateri hampir habis untuk mula mengecas.
Sama kesnya dengan telefon pintar, anda seharusnya mengecas EV secara berkala walaupun paras bateri berada di 30% ataupun 50%. Sekiranya anda dalam perjalanan jauh, anda boleh lakukan isian pantas untuk 20 hingga 30 minit sementara berhenti rehat solat ataupun makan sebelum meneruskan perjalanan.
Memang infrastruktur pengecasan EV di Malaysia masih perlu ditambah baik terutamanya untuk kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, halangan ini boleh diatasi dengan sedikit perancangan dan perbetulkan cara pemanduan EV.
Kami pernah memandu sebuah BYD Seal Premium dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dengan satu bateri penuh. Kami juga pernah memandu sebuah Hyundai Ioniq 6 RWD daripada Taiping ke Johor Bahru, juga dengan satu bateri penuh.
Baru-baru ini, kami bawa pula sebuah GWM Ora 07 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu melalui Gua Musang dengan satu bateri penuh, tanpa sebarang masalah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di pengecas EV di Indera Mahkota untuk lakukan top-up daripada 28% kepada 85% dalam masa kira-kira 45 minit.