Infinix dah lancarkan telefon berkeupayaan vlog hebat terbaru mereka, Infinix Zero 40. Macam Zero 30 tahun lepas, varian Zero terbaru ini masih memfokuskan keupayaan merakam vlog, tetapi diberikan beberapa pembaharuan dan peningkatan. Lagi menarik, Infinix juga bekerjasama dengan GoPro untuk berikan ciri khas untuk disambungkan dengan kamera GoPro.
Ininix Zero 40 dilancarkan pada harga RM1699, iaitu peningkatan sebanyak RM400 berbanding generasi sebelumnya yang berharga RM1,299. Jadi, adakah peningkatan yang dibawakan Infinix untuk model terbaru ini menjadikannya telefon vlog lebih baik berbanding sebelumnya? Teruskan membaca untuk tahu lebih lanjut.
Sebelum itu, macam biasa, mari kita lihat spesifikasi penuh Infinix Zero 40 5G.
Spesifikasi Infinix Zero 40 5G
- SoC: Mediatek Dimensity 8200 Ultimate
- RAM: LPDDR5X 12GB
- Storan: UFS 3.1 256GB
- Skrin: AMOLED, 6.78-inci, HD Penuh, 144Hz, 950 nits
- Kamera Utama: 108MP OIS F1.7
- Kamera Ultralebar: 50MP F2.0
- Kamera Potret: 2MP F2.4
- Kamera Hadapan: 50MP F2.5
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: USB-C 45W, wayarles 20W
- Audio: Speaker Stereo
- OS: XOS 14, Android 14
Rekaan nampak lebih premium
Kita mulakan dengan rekaan. Untuk model Zero 40 terbaru ini, Infinix kali ini mengenakan rekaan yang tampak lagi mewah dan premium. Zero 40 ini memiliki satu bulatan besar yang menempatkan modul kamera dengan panel belakang menggunakan kemasan kaca matte.
Macam yang anda nampak, unit pada saya ini berwarna ungu dan sejujurnya, saya agak suka dengan warnanya kerana bukan sahaja cantik, tetapi juga nampak unik kerana jarang telefon lain yang mengggunakan warna sebegini. Tetapi selain warna ungu ini, terdapat juga dua warna lain iaitu putih dan hitam.
Apabila memegang telefon, ia ada bingkai dan sisi yang nipis sebab ia menggunakan skrin melengkung. Tetapi itu tidaklah bermakna ia tidak selesa untuk dipegang, selesa sahaja cuma saya lebih gemar jika sisinya sedikit lebih tebal dan rata.
Untuk panel skrinnya, ia menggunakan panel paparan AMOLED dengan nisbah skrin yang agak tinggi. Jadi semasa dalam tangan, telefon terasa agak kurus dan penggunaan satu tangan mungkin sedikit sukar untuk capai di atas skrin.
Daripada segi panel paparannya, warna yang dihasilkan memang cukup cantik dan terang dengan kecerahan yang memadai walaupun di bawah cahaya matahari. Malah kandungan pada skrin juga bergerak dengan lancar dan terasa responsif.
Keupayaan merakam 4K 60fps dengan lebih banyak fungsi
Macam generasi telefon Infinix Zero sebelum ini, model terbaru ini juga memfokuskan keupayaan vlog yang katanya sangat baik dengan kemampuan merakam 4K 60fps pada semua kamera di depan dan belakang. Tetapi satu masalah yang saya jumpa dengan model sebelum ini, walaupun kamera hadapannya berikan kualiti baik untuk rakaman vlog, kamera belakangnya ada hasil yang tak berapa bagus dengan kesan gegaran teruk.
Namun begitu, untuk model terbaru ini, nampaknya isu itu masih ada lagi untuk rakaman di kamera belakang. Tapi jangan salah faham di sini, warna dan kualiti imej dari rakamannya bagus, tapi apabila melibatkan sedikit pergerakan, ia masih ada kesan gegaran yang pelik. Apabila menghidupkan mod Ultra Steady, ia menghapuskan masalah itu dan rakaman lebih baik tanpa kesan gegar teruk. Tetapi mod ini terhad untuk rakaman 4K 30fps dengan sedikit crop pada bingkai.
Namun, Infinix kini dah tambah satu lagi mod iaitu Ultra Steady Pro. Ia sama sahaja seperti mod Ultra Steady tetapi merakam menggunakan kamera ultralebar dengan sudut pandangan lebih luas tapi dengan rakaman terhad pada 1080p 60fps sahaja.
Serkara yang sama jumpa adalah, ia juga ada mod ‘Ultimate video enhancement’ yang berikan bingkai kelihatan lebih luas, berguna sekiranya anda mahu muatkan lebih ramai orang dalam bingkai. Tapi hanya terhad untuk rakaman 1080p 30fps dengan mod Ultra Steady dimatikan.
Ini termasuk untuk kamera hadapannya, yang juga memiliki mod ‘Ultimate video enhancement’. Untuk hasil rakaman pula, rakaman 4K 60fps dari kamera hadapannya agak memberangsangkan. Ada kejelasan baik, warna cantik dengan gegaran yang minima bagi rakaman ketika berjalan. Tetapi seperti kamera belakang, rakaman 4K 60fps hanya terhad untuk tanpa mod Ultra Steady, dan ia tak ada mod Ultra Steady Pro.
Keupayaan rakaman Zero 40 ini tak terhad di situ sahaja. Ia juga ada ciri untuk merakam dengan kesan bokeh, ala-ala ‘Cinematic Mode’ dengan dua pilihan bokeh tersedia. Ciri bokeh ini disokong untuk kedua-dua kamera hadapan dan belakang. Namun, saya dapati bokeh yang dihasilkan taklah kuat sangat walaupun dah dilaras hingga F1.0. Tapi masih boleh nampaklah perbezaan antara mod biasa dan bokeh.
Selain itu, sebagai sebuah telefon khusus untuk vlog, ia juga ada mod vlog yang membolehkan anda menghasilkan rakaman vlog lebih menarik. Ia akan menyediakan panduan dan cadangan syot yang anda perlukan untuk pelbagai jenis situasi, yang saya rasakan berguna untuk mereka yang baru nak mencuba ‘vlogging’.
Bagaimanapun, yang saya perasan, sewaktu merakam dalam tempoh masa lama telefon akan terasa panas sedikit.
Kerjasama GoPro hanya tambahan fungsi terbina
Perkara yang digembar-gemburkan untuk Zero 40 terbaru ini, ia dihasilkan dengan kerjasama GoPro. Zero 40 ini dilengkapkan dengan fungsi GoPro terbina membolehkan telefon diintegrasi dengan kamera aksi GoPro. Walaupun kedengaran macam satu benda istimewa, tapi sebenarnya ia sesuatu yang boleh dilakukan di semua telefon pintar lain. Ini sebab telefon lain juga boleh disambungkan pada kamera GoPro dengan menggunakan aplikasi Quik. Ia boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store.
Cumanya di Infinix Zero 40, ciri GoPro itu telah terbina di dalam sistem kameranya, serta aplikasi Quik telah tersedia dipra-pasang dalam telefon. Jadi, anda ada dua pilihan untuk mengakses ciri GoPro ini. Di dalam aplikasi kamera, ciri GoPro ini boleh diakses dengan menekan tiga garisan di antara muka aplikasi kamera, kemudian akan ada pilihan GoPro dan anda boleh pilih untuk sambungkan telefon ke kamera GoPro mengikut langkah yang tertera di skrin.
Sesudah telefon disambungkan pada kamera, anda dapat mengawal kamera serta boleh memaparkan rakaman GoPro di telefon secara langsung. Anda boleh henti atau mulakan rakaman semuanya melalui telefon, edit rakaman dan melaraskan pelbagai tetapan untuk rakaman. Secara asasnya, apa yang anda boleh temukan di aplikasi Quik, begitu jugalah di ciri GoPro yang terbina dalam aplikasi kamera.
Oleh itu, kelihatan seperti kerjasama dengan GoPro ini hanyalah memudahkan pengguna untuk mengakses tanpa perlu memuat turun aplikasi Quik.
Naik taraf pada kamera ultralebar
Sistem kamera di Infinix Zero 40 masih didatangkan dengan tiga buah kamera di belakang yang terdiri daripada kamera utama, kamera ultralebar dan kamera depth. Kamera utamanya masih menggunakan sensor 108MP, tetapi kamera ultralebar telah dipertingkatkan kepada sensor 50MP berbanding 13MP di generasi sebelumnya.
Tangkapan daripada kamera utamanya buahkan hasil imej yang tajam dengan penghasilan warna cantik, natural dan mampu untuk memproses HDR dengan baik. Kamera ultralebarnya juga agak bagus, gambar tajam dan warna dihasilkan seakan di kamera utama. Prestasi bagi gambar malam kedua-dua kamera utama dan ultralebar juga agak sama, boleh nampakkan perincian pada bahagian gelap dengan bagus.
Sistem kameranya juga ada mod ‘Long Exposure’ yang menawarkan seakan tangkapan gambar dengan pengatup berkelajuan perlahan, berikan kesan unik untuk kereta bergerak atau air yang tengah mengalir.
Kalau kata anda nak padam objek dalam bingkai pun telefon ini boleh lakukan, sebab ia ada ciri AI Eraser. Tapi hasilnya biasa saja dan tak sempurna seperti yang Galaxy AI boleh lakukan.
Untuk kamera depan pula, ia menampilkan sensor beresolusi 50MP, sama seperti Zero 30 sebelum ini. Imej dari kamera hadapan ada hasil cukup baik, nampak tajam tapi pemprosesannya terlalu terang dan buatkan kulit tak nampak berapa natural. Tapi apa pun saya puas hati dengan hasil daripada kamera depannya.
Lagi menarik, ia juga ada lampu flash di hadapan kalau anda mahu selfie dalam keadaan tanpa cahaya. Lampu ini juga boleh digunakan untuk rakaman kamera hadapan dan memang berguna sekiranya kawasan yang mahu dirakam tiada pencahayaan langsung. Anda boleh lihat bagaimana ia berfungsi dan hasilnya melalui video TikTok di bawah.
Selain itu, anda juga boleh lihat sampel-sampel gambar Infinix Zero 40 di bawah.
Kamera utama
Kamera ultralebar
Kamera selfie
Prestasi lebih berkuasa dengan pelbagai fungsi gaming
Bahagian prestasi antara perkara yang kini dinaik taraf untuk model Zero 40. Ia masih menggunakan storan UFS 3.1 seluas 256GB dan RAM LPDDR5X seluas 12GB. Namun, cip yang digunakan adalah lebih berkuasa iaitu Dimensity 8200 Ultimate, cip yang sama terdapat di telefon gaming Infinix GT 20 Pro.
Oleh itu, prestasi gaming pada telefon ini memang lancar dan setakat saya cuba bermain Mobile Legends, telefon boleh tampungnya dengan sangat baik. Cuma pada waktu gaming panjang, panel belakang telefon akan terasa sedikit suam.
Tapi, tidak lengkaplah kalau tak lakukan ujian penanda aras untuk uji prestasi telefon ini. Jadi, di sini saya kongsikan ujian penanda aras yang Zero 40 peroleh.
Walaupun telefon ini bukan sebuah telefon gaming, Zero 40 ini turut dilengkapkan dengan perisian Xarena dengan Dar-Link. Kalau anda masih ingat, Xarena juga sebenarnya terdapat juga di telefon Zero 30, tetapi ia kehilangan ciri Bypass Charging.
Tetapi, Infinix kini melengkapkan Zero 40 ini dengan fungsi Bypass Charging, jadi anda boleh gaming tanpa bimbang tentang kesihatan bateri jika gaming dalam jangka masa lama.
Kemas kini OS lebih panjang
Infinix Zero 40 ini didatangkan dengan sistem operasi XOS 14 berasaskan Android 14. Berbanding sekali kemas kini OS dan dua tahun keselamatan di Zero 30, Infinix janjikan kemas kini OS lebih panjang untuk Zero 40, dengan diberikan 2 kali kemas kini OS dan tiga tahun keselamatan.
Sejurus menghidupkan telefon, antara muka yang Zero 40 tidak berbeza dengan telefon-telefon Infinix lain dan seperti biasa didatangkan dengan beberapa aplikasi bloatware. Yang bagusnya ia taklah banyak, hanya ada dua atau tiga dan boleh dinyahpasang sekiranya mahu.
Macam Zero 30 sebelum ini, telefon terbaru ini tidak menggunakan pembantu Google tetapi didatangkan dengan pembantu AI Folax. Ia bolehkan anda untuk bagi arahan untuk membuka sesuatu aplikasi atau menanyakan apa-apa soalan, sama ada melalui aplikasi atau anda boleh menyerunya di mana-mana halaman telefon dengan tekan lama butang kuasa.
Kalau anda nak kawal peralatan rumah gunakan telefon ini pun boleh sebab ia dilengkapkan dengan IR Blaster. Anda boleh mengaksesnya di halaman ‘Control Center’.
Pengecasan wayarles magnetik seakan ‘MagSafe’
Sepanjang menggunakan Zero 40, saya tidak ada sebarang masalah dengan bateri. Ia boleh tahan sehingga ke akhir hari tanpa masalah dan saya boleh dapat masa penggunaan skrin lebih daripada 5 jam, memadai untuk penggunaan harian. Ini termasuk untuk kegunaan melayari internet, menonton video menggunakan Waze dan bermain game. Saya main Mobile Legends selama satu jam hanya memakan bateri 20%.
Kalau nak mengecas pula, telefon ini sokong pengecasan 45W. Ini sebenarnya lebih perlahan dari Zero 30 yang ada kuasa mengecas 68W. Jadi, untuk penuh, telefon ini ambil masa lama sikit hampir satu jam untuk cas penuh.
Tapi yang menariknya, Zero 40 ini juga ada sokongan pengecasan wayarles dan satu keunikan pengecasan wayarlesnya, ia juga boleh dicas wayarles secara magnetik seperti MagSafe menggunakan sarung yang Infinix bagi. Ciri macam ini pertama kali diperkenalkan untuk telefon Zero, tapi dah diperkenalkan di telefon siri Note 40 Infinix pada Mac lepas.
Selain itu, ia juga ada pengecasan wayarles terbalik, tapi ia tak berfungsi dengan sempurna sebab apabila hidupkannya, fungsi itu akan mati dengan sendiri pada kebanyakan masa kalau peranti tak diposisikan dengan betul di panel belakang Zero 40.
Infinix Zero 40, naik taraf berbaloi berbanding dahulu?
Secara keseluruhan, saya boleh katakan yang Infinix Zero 40 ini memang sebuah telefon cukup bagus dalam banyak aspek. Ia ada prestasi tinggi, skrin pantas 144Hz, rekaan nampak premium dan hayat bateri panjang. Tambah baik, Zero 40 ini juga didatangkan pengecasan wayarles dengan teknologi magnetik dan dilengkapkan pelbagai fungsi gaming termasuk Bypass Charging.
Dengan kemampuan merakam vlog sehingga 4K 60fps, Zero 40 ini memang satu kelebihan yang jarang ada di telefon lain. Namun begitu, rakaman tanpa mod Ultra Steady masih lagi ada isu gegaran pada rakaman kamera belakangnya. Tapi, naik taraf sensor kamera ultralebar 50MP juga merupakan sesuatu yang boleh dihargai pada model terbaru ini.
Sementara Zero 40 ada kemas kini OS lebih panjang, pengecasan berwayarnya kini jauh lebih perlahan berbanding Zero 30. Bagaimanapun, dengan harga RM1,699, Zero 40 ini masih telefon yang bagus dan mempunyai banyak peningkatan bagi kemampuan vlog dan sistem kamera berbanding Zero 30 sebelum ini. Kalau anda ada bajet bawah RM2,000, Zero 40 ini berbaloi untuk didapatkan dengan segala ciri yang ditawarkan.
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Infinix Zero 40 5G di Lazada dan Shopee.