Inisiatif JENDELA yang diumumkan pada Ogos 2020 oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mensasarkan peningkatan liputan 4G di samping meluaskan capaian jalur lebar di seluruh Malaysia. Menurut laporan terkini JENDELA oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kelajuan internet di Malaysia telah mencapai sasaran iaitu purata 35Mbps pada hujung tahun 2021. Bermakna, ia setahun lebih awal dari yang dirancang.
Apabila JENDELA diperkenal dahulu, beberapa sasaran utama telah diletakkan untuk dicapai pada hujung tahun 2022. Antaranya meningkatkan purata kelajuan internet mudah alih dari 25Mbps kepada 35Mbps, serta meningkatkan liputan 4G dari 91.8% kepada 96.9%.
Untuk jalur lebar tetap pula, JENDELA merancang untuk menambah premis yang terhubung dari 5 juta kepada 7.5 juta. Sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 6.848 juta premis telah dipasang dengan gentian fiber dan ia dilihat menepati jadual untuk mencapai sasaran.
JENDELA lapor kelajuan 37.3Mbps, kenapa Ookla kata hanya 26.91Mbps?
Berdasarkan laporan terbaru, purata kelajuan internet mudah alih di Malaysia meningkat kepada 37.30Mbps dan SKMM mengatakan data diambil daripada Ookla Global Speed Test Index. Tetapi, jika dirujuk terus kepada laporan Ookla, Malaysia dicatat memiliki kelajuan purata 26.91Mbps pada Januari 2022 dengan kedudukan ke-65 di peringkat antarabangsa.
Ini kelihatan agak pelik kerana SKMM menyebut nilai yang berbeza. Ia kerana Ookla telah mengubah data mereka daripada menggunakan purata (mean) kepada median. Manakala di pihak SKMM, mereka mahu terus menggunakan purata supaya laporan kekal konsisten dengan sebelum ini.
Median vs Min (Purata)
Menurut Ookla, perbuahan kepada pengiraan median dibuat kerana ia lebih menepati pengalaman pegguna kebanyakan, kerana median kurang terkesan dengan data di luar purata. Apabila menggunakan purata, beberapa pengguna di kawasan terpilih boleh mencapai kelajuan sekitar 100-200Mbps dan ini memberi kesan besar kepada pengiraan purata. Ia juga boleh memberi tanggapan yang salah kerana pengalaman internet kebanyakan pengguna dilaporkan menaik, sedangkan ia hanya untuk segelintir sahaja.
Anda boleh lihat rajah di atas, bagaimana penggunaan purata dan median menunjukkan perbezaan yang besar dalam laporan.
Ookla juga menyatakan bahawa perubahan kepada median membolehkan beberapa negara dengan pengguna yang lebih ramai menikmati internet berkelajuan tinggi berada di kedudukan lebih atas. Berbanding menyatakan negara yang memiliki sedikit pengguna berkelajuan terlampau tinggi tetapi lebih ramai pengguna masih menanti internet yang lebih baik.
OpenSignal catat 13.5Mbps untuk Malaysia
Sementara itu, OpenSignal yang turut memantau kelajuan internet di seluruh dunia, melaporkan bahawa kelajuan internet di Malaysia jauh lebih rendah iaitu 13.5Mbps pada suku keempat 2021. Data mereka menunjukkan kelajuan muat turun di Malaysia meningkat hanya 2Mbps pada suku keempat 2021 berbanding suku pertama 2019. Tetapi negara ASEAN lain (Indonesia, Filipina, Thailand) yang mencatat kelajuan lebih perlahan daripada Malaysia pada 2019, meningkat lebih dua kali ganda tahun lepas kerana 5G telah dilancar di negara mereka, sekaligus meningkatkan kelajuan.
Tinggal 1.5% liputan 4G untuk dicapai
Untuk liputan 4G pula, ia kini telah mencapai 95.4% kawasan populasi. Ini sangat hampir dengan sasaran 96.9% yang ditetapkan. Walaupun tinggal 1.5% liputan lagi, SKMM menyatakan bahawa ia adalah paling sukar untuk dicapai.
Selain 4G, JENDELA juga telah memulakan inisiatif jalur lebar satelit di kawasan pedalaman yang sukar untuk membangunkan perkhidmatan mudah alih. Sebelum ini, SKMM menetapkan sasaran untuk 839 tapak liputan satelit dicapai pada Oktober 2021, tetapi hanya 52.1% telah siap sehingga Disember 2021. Laporan menyebut bahawa ia lewat kerana bencana banjir dan 585 lokasi (69.7%) telah disiapkan sehingga 31 Januari 2022.
Jika anda terlepas, Malaysia telah menukar rancangan untuk menamatkan rangkaian 3G sepenuhnya dari 31 Disember 2021 kepada 31 Mac 2022. Ia dilakukan kerana bencana banjir yang melanda Malaysia akhir tahun lepas. SKMM juga menjelaskan bahawa 440,852 pengguna telah diingatkan tentang penamatan 3G dan kebanyakannya menjawab, masih menanti 3G ditutup sepenuhnya sebelum beralih ke peranti 4G.