Jenama Infinix sering menawarkan telefon berbaloi dengan ciri yang ditawarkan, terutamanya untuk telefon kelas pertengahan. Tetapi paling terbaru, Infinix telah melancarkan Smart 9, penawaran terbaru mereka untuk telefon segmen berkelas permulaan.
Kebiasaannya, macam yang kita semua tahu, telefon kelas permulaan ini ada banyak perkara yang perlu dikompromi untuk capai tanda harganya yang sangat rendah. Untuk maklumat anda, Smart 9 dilancarkan pada harga RM299 di Malaysia dan ia juga adalah telefon termurah yang Infinix lancar setakat ini.
Namun, walaupun harganya sangat murah, Smart 9 dilihat sebagai telefon berkelas permulaan yang hebat kerana didatangkan dengan spesifikasi menarik yang jarang ada di telefon lain dalam segmennya. Contohnya ia ada speaker stereo, skrin 120Hz, malah rekaannya juga nampak premium.
Jadi, di sini saya nak berkongsikan ulasan serta pendapat saya tentang Smart 9.
Spesfikasi Infinix Smart 9
Sebelum itu, perlu diingatkan Infinix smart 9 harga RM299, jadi tak boleh jangka spesifikasi terlalu tinggi. Untuk lebih jelas, berikut adalah spesifikasi penuh Smart 9:
- SoC: Mediatek Helio G81
- RAM: 3GB
- Storan: 64GB
- Skrin: LCD, 120Hz, 500 nits
- Kamera Utama: 13MP
- Kamera Hadapan: 8MP
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: USB-C 10W
- Audio: Speaker Stereo
- OS: XOS 14, Android 14
Benda yang saya suka di Infinix Smart 9
Rekaan nampak premium
Pertama sekali, saya nak puji tentang rekaan yang dimiliki Smart 9. Sekilas pandang, terus terang telefon ini tak nampak macam telefon murah walaupun dikelaskan sebagai telefon berkelas permulaan. Rekaannya nampak premium dengan kemasan plastik seakan kaca frosted pada panel belakang dan pepulau kamera yang nampak lebih segar berbanding tiga modul kamera seperti iPhone, rekaan yang banyak ada di telefon murah lain.
Skrin pantas 120Hz
Keseluruhan binaan telefon ini juga terasa solid dan sedap dipegang. Tetapi penggunaan satu tangan mungkin agak sukar sebab dimensi telefon ini agak lebar bagi saya. Kualiti warna skrin Smart 9 ini biasa sahaja dengan kecerahan memadai untuk penggunaan cahaya bawah matahari. Namun, apa yang saya kagum adalah kelancaran skrin ini sebab ia sokong 120Hz, sesuatu yang jarang telefon segmen ini ada.
Speaker stereo berkelantangan kuat
Bukan itu sahaja, speaker yang digunakan pada Smart 9 juga jenis stereo yang menembak ke depan dan bawah telefon. Kelantangan cukup kuat dan kualiti audio yang dihasilkan pun boleh tahan sedap, memang syok nak dengar lagu atau tonton video.
Ada tiga lampu flash
Seperkara menarik lagi pada Smart 9 ini adalah, ia ada bukan satu tetapi tiga lampu flash. Dua daripadanya ada di belakang dan satu lagi di depan telefon. Jadi, kalau katalah anda nak tangkap gambar atau selfie di kawasan malap, ia bukan satu masalah dan anda boleh hidupkan saja lampu ini. Kecerahan lampu ini juga agak terang.
Tapi kena tahu yang dua lampu flash di belakangnya tak boleh dihidupkan serentak, namun anda ada pilihan untuk hidupkan lampu ini depan dan belakang sekali gus.
Kamera cukup baik
Selain itu, kamera yang telefon ini ada boleh dikatakan cukup baik cuma sedikit susah untuk pastikan gambar fokus. Jika fokus, hasilnya nampak tajam dan warna pun boleh tahan cantik untuk harganya. Tapi tahap HDR-nya tak berapa bagus membuatkan butiran bahagian gelap langsung tak kelihatan, hanya bahagian cerah sahaja yang dapat dikekalkan. Bagaimanapun, saya puas hati dengan kameranya mengambil kira harganya.
Berikut adalah sampel gambar yang ditangkap menggunakan kamera utama Smart 9:
Saya juga perlu tekankan yang telefon ini ada ciri Dynamic Bar dan ia sedikit sebanyak mudahkan untuk melihat status panggilan ataupun rakaman suara. Kamera hadapannya juga menggunakan rekaan lubang, jadi skrinnya nampaklah cantik sikit berbanding guna takuk U yang kebiasaannya ada di telefon murah.
Prestasi bateri telefon ini juga antara benda yang saya suka pada Smart 9. Hayat baterinya panjang dan saya boleh dapat masa screen on time sehingga 9 jam untuk penggunaan macam tengok YouTube, main game dan media sosial. Memang tak ada masalah untuk kegunaan harian.
Tarik WiFi kuat
Lagi satu kelebihan telefon ini, saya dapati yang ia kuat tarik WiFi. Semasa lakukan ujian Speed Test, hasil muat turun yang Smart 9 peroleh adalah lagi pantas berbanding iPhone 15 Plus pada kebanyakan masa menggunakan rangkaian WiFi yang sama. Ini mungkin disebabkan Smart 9 dilengkapi dengan ciri Super WiFi yang katanya dapat utamakan rangkaian dengan lebih pintar.
Benda saya tak suka di Infinix Smart 9
Pengecasan perlahan
Tetapi, dah nama pun telefon murah, mestilah ada kompromi yang dilakukan. Walaupun hayat bateri yang Smart 9 ada cukup memuaskan, pengecasan Smart 9 ini agak perlahan hanya 10W membuatkan ambil masa lama untuk cas. Cas penuh dari 0-80% akan mengambil sekitar 1 jam 20 minit guna kepala pengecas yang Infinix bagi dalam kotak.
Prestasi kurang berkuasa
Selain itu, kita juga boleh jangka yang prestasi telefon ini tentunya kurang berkuasa dan menjejaskan pengalaman mengguna. Bergerak antara aplikasi akan ada kelengahan dan buka aplikasi pun terasa lambat. Malah, nak main TikTok pun kena guna versi TikTok Lite. Kalau guna TikTok biasa, memang akan tersekat- sekat.
Ini sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon lingkungan harganya. Tapi yang bagusnya, ia masih boleh tampung untuk jalankan game macam PUBG dan Mobile Legends dengan tetapan grafik rendah.
Pengimbas cap jari susah nak cam
Telefon ini juga ada pengimbas cap jari di butang kuasa. Sementara ia adalah satu kelebihan dekat telefon ini, saya tak berapa gemar gunakannya sebab permukaan butangnya kurus dan susah nak cam jari. Lagi cepat kalau saya buka telefon guna kata laluan.
Banyak bloatware, storan kecil
Kemudian, antara muka yang Smart 9 ini juga ada banyak didatangkan dengan aplikasi bloatware macam pemain video dan gedung permainan pihak ketiga yang anda mungkin tak akan gunakan. Tapi itu bukan masalah besar kerana aplikasi-aplikasi ini masih boleh dinyahpasang dengan mudah.
Cuma, aduan terbesar saya adalah storannya yang terlalu kecil, hanya 64GB. Walaupun Smart 9 ada slot mikroSD, storan 64GB agak tak relevan untuk tahun 2024 melainkan anda gunakan telefon untuk keperluan asas sahaja dan tak muat turun banyak aplikasi. Kalau tak, memang kejap sahaja storan akan penuh.
Siapa sesuai dapatkan Infinix Smart 9 ini?
Konklusinya, saya rasakan Smart 9 ini memang telefon pintar dengan nilai menarik memandangkan harganya cuma RM299. Spesifikasi yang dimiliki boleh dikatakan antara terbaik kerana dilengkapi dengan skrin pantas 120Hz, hayat bateri panjang dan sistem kamera cukup baik. Malah, ia juga ada speaker stereo, sesuatu yang jarang ada di telefon segmennya.
Walaupun prestasinya bukanlah terbaik, ia masih boleh diterima dan memadai untuk penggunaan harian termasuk menonton video, melayari media sosial atau main game ringan. Pada julat harga ini, prestasi Smart 9 adalah yang tertinggi berbanding pesaingnya yang guna cip Unisoc misalnya Realme Note 50 dan Vivo Y03t.
Tambahan pula, Smart 9 juga adalah telefon termurah dengan cip Helio G81. Contoh telefon lain adalah Tecno Spark 30c dan Redmi 14c berharga bawah RM500. Namun, kelebihan dua telefon tadi adalada storan lebih besar 256GB, sokongan pengecasan lagi pantas 18W dan kamera 50MP. Malah, Redmi juga ada sokongan NFC, sesuatu yang Smart 9 tiada.
Tapi melihat pada harga, Smart 9 jauh lebih murah dengan prestasi yang lebih kurang sama. Rekaannya pun nampak lagi premium dan menarik, bukannya tipikal ada modul kamera bulat atau tiga mata. Jadi, jika anda tidak kisahkan storan kecil dan lebih pentingkan skrin pantas dan nakkan speaker stereo, memang tiada telefon lain, Smart 9 adalah jawapannya.
Namun, jika anda mahukan Smart 9 dengan spesifikasi sedikit lebih baik, anda ada alternatif lain iaitu Hot 50i. Rekaannya sama sahaja dengan Smart 9 dan gunakan cip Helio G81, tetapi Hot 50i ada kamera lebih baik 48MP, storan lebih besar bermula 128GB, pengecasan 18W dan NFC pada harga mahal sikit RM399.
Sementara Smart 9 dilancarkan pada harga RM299, ia disenaraikan di gedung rasmi Infinix pada harga RM319. Kalau berminat, anda boleh dapatkan Infinix Smart 9 di Lazada dan Shopee.