Huawei telah melancarkan telefon boleh lipat baharu, Mate X6 untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan penawaran telefon lipat terbaru Huawei di pasaran Malaysia selepas Mate X3, kerana Mate X5 terdahulu tidak dilancarkan di Malaysia.
Mate X6 masih meneruskan rekaan yang serupa seperti generasi terdahulu, tetapi membawakan beberapa naik taraf termasuk menggunakan skrin lebih besar, kapasiti bateri lebih besar dan kamera telefoto lebih baik.
Harga dan ketersediaan Huawei Mate X6 di Malaysia
Tempahan awal Huawei Mate X6 telah pun dibuka bermula 18 Disember 2024 hingga 10 Januari 2025. Ia ditawarkan dalam satu varian dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Huawei Mate X6 (RAM 12GB + Storan 512BG) – RM8,688
Mereka yang menempah awal akan menerima hadiah eksklusif termasuk jam pintar Huawei Watch Ultimate, perlindungan skrin satu tahun dan rebat tukar beli sehingga RM2,000 untuk telefon pintar Huawei terpilih. Anda boleh dapatkan Huawei Mate X6 di stor dalam talian Huawei atau kedai rasmi Huawei di Lazada, Shopee dan TikTok Shop.
Spesifikasi Huawei Mate X6
Daripada segi rekaan, Huawei Mate X6 dilihat masih meneruskan rekaan yang sama seperti Mate X5, tetapi dengan dimensi yang sedikit lebih besar. Skrin dalaman yang digunakan Mate X6 adalah jenis LTPO OLED 7.93-inci beresolusi 2440 x 2240 dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak 1,800 nits.
Manakala, skrin luarannya pula memanfaatkan panel LTPO OLED 6.45-inci dengan resolusi 2440 × 1080, serta kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak lebih tinggi pada 2,500 nits. Kaca kunlun Glass generasi ke-2 melapisi skrin luarannya, dengan ianya dikatakan 25x lebih tahan jatuh berbanding generasi sebelumnya.
Seperti biasa, maklumat cip yang digunakan tidak didahkan Huawei, tetapi dipercayai ia adalah Kirin 9020 3nm, cip flagship terbaharu daripada Huawei. Cip itu dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 512GB, tetapi tiada sokongan storan luaran bagi kad berformat Nm seperti generasi sebelumnya. Untuk perlindungan, telefon ini diiktiraf kalis percikan air IPX8.
Sistem pengimejan Mate X6 didatangkan dengan tiga buah kamera di belakang. Ia adalah kamera utama 50MP, kamera ultralebar 40MP, kamera telefoto 48MP yang menyokong zum optikal 4x, serta sebuah lagi kamera yang dipanggil sebagai “Ultra Chroma”. Kamera terakhir itu dikatakan Huawei dapat tingkatkan ketepatan warna pada sistem pengimejannya.
Untuk mengambil selfie, terdapat dua kamera 8MP yang diletakkan di skrin luar dan dalam. Membekalkan tenaga pada Mate X6 adalah bateri berkapasiti 5,110mAh dan ia boleh dicas pada kuasa 66W berwayar ataupun 50w secara wayarles. Ia akan didatangkan dengan sistem operasi EMUI 15 sejurus keluar kotak.
Terdapat pengimbas cap jari di sisi telefon dan Mate X6 turut menyokong NFC, WiFi 6, Bluetooth dan 5G. Walaupun ada dimensi skrin lebih besar, badan yang dimiliki Mate X6 ini kini lebih nipis berukuran 9.9mm dalam keadaan terlipat dan hanya 4.6mm apabila lipatan dibuka. Sebagai perbandingan, Mate X5 berukuran 5.3mm dalam keadaan lipatan dibuka dan 11.08mm dalam keadaan terlipat.
Mate X6 tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu merah, kelabu dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Huawei Mate X6.