Di acara MWC yang sedang berlangsung, Nothing akhirnya telah melancarkan telefon terbaru mereka, iaitu Nothing Phone (3a) dan Phone (3a) Pro. Sebagai pengganti kepada Phone (2a), model terbaru ini masih mengekalkan rupa yang serupa, tetapi membawakan peningkatan pada bahagian kamera dan merupakan telefon Nothing pertama yang dilengkapi kamera telefoto.
Kedua-dua Phone (3a) dan Phone (3a) Pro berkongsi spesifikasi yang lebih kurang sama, tetapi dengan perbezaan pada bahagian rekaan dan juga kamera.
Spesifikasi siri Nothing Phone (3a)


Macam yang dikatakan tadi, model kali ini masih mengekalkan rekaan yang serupa dengan panel belakang lutsinar dengan lampu Glyph mengelilingi modul kamera. Tetapi, berbanding bingkai dan panel belakang plastik, Nothing telah menaik taraf siri Phone (3a) dengan bingkai aluminium dan panel belakang kaca untuk sentuhan yang lagi premium dan ketahan lebih baik.
Tahap kalis percikan air dan debu Phone (3a) dan Phone (3a) telah dipertingkatkan kepada IP64 berbanding IP54 pada model sebelumnya.
Perbezaan antara dua model boleh dilihat pada bonggol kamera yang digunakan. Phone (3a) menggunakan susunan kamera mendatar yang nampak seperti Phone (2a), manakala Phone (3a) Pro pula mempunyai bulatan kamera besar yang terbonjol keluar dengan setiap lensa diletakkan secara asimetri, memberikan penampilan yang lebih unik.

Di bahagian paparan, kedua-dua model dilengkapi dengan paparan yang sama. Ia adalah paparan bersaiz 6.77″ jenis AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokong kadar penyegaran 120Hz. Panel itu juga mempunyai kecerahan puncak 3,000 nits bersama-sama dengan kadar pensampelan sentuh 1,000Hz dan tahap PWM Dimming 2,160Hz.
Atas papan utama, Nothing melengkapkan telefon kelas pertengahan Phone (3a) dan Phone (3a) Pro baru mereka dengan cip Qualcomm Snapdragon 7s Gen 3, tiada lagi MediaTek. Cip itu dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB, dan macam biasa tiada slot kad mikroSD yang disediakan. Peranti baru ini juga didatangkan dengan vapor chamber besar 4,500mm² dan dikatakan dapat mengurangkan suhu sehingga 25%.

Bagi sistem kamera di belakang, Phone (3a) didatangkan dengan kamera utama 50MP OIS dengan sensor 1/1.57″, kamera ultralebar 8MP dengan sensor 1/4″dan kamera telefoto 50MP dengan sensor 1/2.75″ dengan kemampuan zum optikal 2x dan zum digital sehingga 30x. Selfie pula boleh ditangkap dengan kamera 32MP yang diletakkan dalam lubang di skrin.
Phone (3a) turut menggunakan kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 8MP yang sama, tetapi didatangkan dengan kamera telefoto periskop 50MP OIS yang memanfaatkan sensor lebih besar 1/1.95″ dari Sony. Kamera telefoto ini juga berkebolehan untuk zum 3x dan zum jauh sehingga 60x secara digital. Tangkapan selfie boleh dilakukan dengan kamera 50MP.

Salah satu pembaharuan yang dibawa pada siri Phone (3a) ini adalah ia kini dilengkapi butang baru yang dipanggil Essential Key. Butang ini terletak di bawah butang kuasa dan boleh berfungsi untuk menangkap kandungan di skrin apabila ditekan sekali, manakala tekan lama membolehkan anda untuk merakam suara atau idea dengan pantas.


Manakala, menekan butang dua kali akan membawakan anda ke Essential Space, iaitu ruang peribadi anda yang menyimpan segala perkara penting yang diuruskan dengan bantuan AI.
Membekalkan tenaga pada kedua-dua peranti adalah bateri 5,000mAh, kapasiti bateri yang sama seperti sebelum ini. Menurut Nothing, jangka hayat bateri boleh mencecah 26 jam utnuk menstrim video di YouTube dan 11 jam untuk main PUBG. Tahap kesihatan bateri juga didakwa boleh kekal lebih 90% walaupun selepas 1,200 kitaran cas. Bateri boleh dicas dengan kuasa 50W USB-C, tetapi tiada pengecasan wayarles.

Nothing Phone (3a) tersedia dalam tiga pilihan warna, iaitu hitam, putih dan biru, manakala versi Pro ditawarkan dalam warna hitam dan kelabu.
Harga Nothing Phone (3a) dan Phone (3a) Pro


Berkenaan harga, seperti yang didedahkan pada pengumumannya, Phone (3a) dijual pada harga USD379 (~RM1,692) untuk varian RAM 8GB dan storan 128GB, manakala Phone (3a) Pro memiliki tanda harga USD 459 (~RM2,050) untuk RAM 12GB dan storan 256GB.
Pada ketika ini, maklumat berkenaan harga dan tarikh ketersediaan siri Phone (3a) di Malaysia masih belum diumumkan lagi, tetapi lebih banyak butiran akan didedahkan dalam beberapa hari lagi. Laman web rasmi Nothing Malaysia telah menyatakan bahawa pasaran Malaysia akan menerima varian RAM 12GB dan storan 256GB bagi kedua-dua model.
Nantikan maklumat lanjut oleh Nothing Malaysia berkenaan ketersediaannya di pasaran tempatan.