Peranti kelas pertengahan Samsung semakin meriah dengan penyertaan tiga model baharu untuk tahun ini, iaitu Galaxy A26, Galaxy A36 dan Galaxy A56. Galaxy A36 adalah pengganti kepada Galaxy A35 tahun lepas dan ia kini diberikan beberapa naik taraf, meskipun mengekalkan rekaan yang serupa kecuali dengan bentuk kamera sedikit berbeza.
Selain itu, Galaxy A36 turut hadir dengan sokongan OS lebih panjang dan ciri AI yang dipanggil sebagai Awesome Intelligence. Dilancarkan pada harga bermula RM1,499, adakah Galaxy A36 ini telefon pintar kelas pertengahan terbaik yang anda boleh dapatkan sekarang?
Dalam artikel ini, saya akan memperincikan 6 perkara yang saya suka dan 3 perkara yang saya tidak suka tentangnya untuk membuka mata anda sama ada ia berbaloi untuk didapatkan ataupun tidak.
Suka: Rekaan menawan dan binaan kukuh

Sejurus melihat Galaxy A36, saya terus terang jatuh cinta dengan rekaan panel belakangnya, terutamanya untuk warna ungu ini. Ia menawarkan efek berkilau jika terkena cahaya pada sudut tertentu. Malah, warna ungu ini juga agak baik dalam menyembunyikan kesan cap jari, jadi kalau guna tanpa pelindung pun bukan satu masalah.
Dari segi rekaan, Galaxy 36 berkongsi rekaan yang serupa dengan Galaxy A56. Ia menampilkan sisi rata, pepelua kamera berbentuk pil dan juga menggunakan kemasan kaca pada panel belakang.


Tetapi, tidak seperti Galaxy A56 yang menggunakan bingkai diperbuat daripada besi, Galaxy A36 ini hanya menggunakan bingkai plastik, sama seperti Galaxy A35 sebelum ini. Walaupun begitu, keseluruhan binaan Galaxy A36 ini tidaklah terasa murah, sebaliknya terasa cukup kukuh, padat dan sedap untuk digenggam.
Tambah baik adalah, telefon ini juga menggunakan kaca Corning Gorilla Glass Victus pada panel belakang dan juga skrin sebagai pelindung, serta diiktiraf kalis air dan debu IP67.
Suka: Skrin AMOLED besar cantik

Skrin telefon ini juga merupakan sesuatu perkara yang saya gemari pada telefon ini. Ini kerana, skrinnya bukan sahaja besar, tetapi juga berkualiti tinggi. Warna yang dipaparkan cukup cantik, kandungan nampak tajam dan boleh bergerak dengan lancar, berikan pengalaman menonton yang sangat mengasyikkan. Bahkan, skrinnya juga boleh pergi agak cerah.
Mungkin bezel di bawah sedikit lebih tebal berbanding sisi lain, tetapi setelah menggunakannya, saya tidak menganggapnya sebagai masalah kerana ia tidak menjejaskan pengalaman penggunaan saya. Dari segi spesifikasi, Galaxy A36 berkongsi panel paparan yang sama dengan Galaxy A56, iaitu paparan Super AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokong kadar penyegaran 120Hz.
Suka: Sokongan OS setara flagship

Sokongan OS biasanya bukanlah kelebihan telefon pada kelas pertangahan, tetapi ini tidak untuk Galaxy A36. Ini kerana, Samsung menjanjikan kemas kini perisian hampir setara flagship untuk Galaxy A36, iaitu 6 kali kemas kini OS dan 6 tahun keselamatan, sesuatu yang sangat jarang ditemui pada telefon segmennya.
Ia juga adalah naik taraf daripada empat tahun sokongan perisian pada Galaxy A35. Oleh itu, ini bermakna, dengan Galaxy A36, anda akan terima kemas kini sistem operasi sehingga Android 21 bersama-sama dengan ciri-ciri baharu sepanjang enam tahun akan datang.
Galaxy A36 juga menjalankan sistem operasi terkini Samsung One UI 7 berasaskan Android 15 sejurus keluar kotak, yang dilengkapi antara muka lebih segar dan lebih mesra pengguna.
Suka: Sistem kamera baik, padan dengan harga

Berkenaan sistem kamera, Galaxy A36 didatangkan dengan tetapan tiga kamera di belakang yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultralebar 8MP dan kamera makro 2MP. Walaupun ia adalah tetapan yang sama seperti generasi sebelumnya, hasil daripadanya pada saya cukup memuaskan.
Gambar yang ditangkap daripada kamera utama buahkan hasil yang cantik. Warna nampak terang, imej tajam dan pemprosesan HDR pun cukup baik. Malah, hasil gambar malam juga cukup memuaskan kerana dapat mengekalkan butiran di kawasan yang gelap. Anda boleh lihat sampel gambar yang ditangkap menggunakan Galaxy A36 di bawah:
Kamera utama:












Kamera utralebar:





Dengan adanya kamera ultralebar, anda juga tak akan hadapi masalah untuk muatkan semua orang dalam satu bingkai. Gambar daripada kamera ultralebar juga berikan warna cantik, tetapi tentunya sedikit kurang tajam disebabkan oleh sensor yang lebih kecil.
Suka: Hayat bateri panjang, pengecasan lebih pantas

Lagi perkara yang saya suka pada Galaxy A36 adalah jangka hayat baterinya. Walaupun mengekalkan kapasiti bateri yang sama seperti sebelumnya pada 5,000mAh, hayat bateri pada model baru ini cukup baik. Saya boleh dapat masa screen on time sekitar 9 jam untuk penggunaan macam melayari TikTok, laman web dan bermain game, yang pada saya sudah cukup memadai untuk keperluan harian saya.

Tambahan pula, Samsung juga telah meningkatkan sokongan pengecasan daripada 25W ke 45W, membolehkan telefon dicas penuh dalam masa lebih satu jam.
Suka: Prestasi gaming cukup lancar untuk game ringan

Dijana cip berkelas pertengahan Snapdragon 6 Gen 3, prestasi telefon ini bukanlah paling berkuasa dalam segmen kelas pertengahan, tetapi pada pengalaman saya, ia menawarkan pengalaman penggunaan harian yang cukup baik. Bergerak antara aplikasi terasa lancar, malah ia juga mampu menjalankan Mobile Legends pada tetapan grafik Ultra dengan cemerlang, dan grafik pun nampak cantik.
Bagi pengguna biasa yang pada kebanyakan masa menggunakan telefon untuk melayari laman web, media sosial dan game ringan, prestasi peranti ini sememangnya tidak akan mengecewakan
Tidak suka: Agak perlahan untuk menangkap gambar

Sekarang, mari kita beralih kepada perkara yang saya tidak suka pada Galaxy A36 pula. Meskipun tadi saya mengatakan prestasi telefon ini cukup lancar, saya dapati yang kameranya agak lambat dalam menangkap gambar, disebabkan terdapat “shutter lag” apabila butang kamera ditekan dan gambar ditangkap. Ini berbeza dengan Galaxy A56 yang prestasinya cukup pantas dalam menangkap gambar.
Tidak suka: Ciri AI lebih terhad berbanding Galaxy A56


Macam yang dinyatakan di awal artikel, telefon ini dilengkapkan dengan ciri AI yang dipanggil sebagai Awesome Intelligence. Tetapi, jangan pula sangkakan yang ia sama seperti Galaxy AI kerana fungsi yang tersedia adalah lebih terhad. Bahkan, ciri AI pada Galaxy A36 juga lebih terhad berbanding Galaxy A56.
Ini adalah kerana, Galaxy A36 hanya menampilkan ciri AI seperti Object Eraser, Edit Suggestion, Custom Filer, AI Select dan Circle to Search, tiada Best Face, Auto Trim dan Instant Slow Mo seperti yang Galaxy A56 ada. Agak pelik mengapa beberapa ciri penting ini tidak disertakan, walaupun kedua-dua telefon berada dalam segmen yang hampir sama.


Selain itu, berdasarkan pengalaman saya, hasil daripada ciri Object Eraser juga tidak setanding dengan apa yang dapat Galaxy AI tawarkan. Kualiti pemadaman objek nampak kurang natural, dan lebih mirip kepada hasil yang ditawarkan pada telefon kelas pertengahan lain.
Tidak suka: Maklum balas haptik kurang sedap
Saya juga ingin tekankan yang maklum balas haptik pada Galaxy A36 ini rasa kurang tactile dan responsif berbanding Galaxy A56, yang mungkin kompromi dilakukan untuk mencapai tanda harganya yang lebih murah. Mungkin ramai pengguna tidak terlalu mementingkan kualiti haptik, namun bagi saya, ia memberi impak yang ketara terhadap pengalaman keseluruhan penggunaan telefon.
Kesimpulan

Konlusinya, saya rasakan Galaxy A36 adalah telefon pintar kelas pertengahan cukup bagus dalam pelbagai aspek. Untuk harga bawah RM1,700, anda terima telefon dengan skrin besar cantik, prestasi cukup bagus untuk kegunaan harian, hayat bateri panjang dan sistem kamera memuaskan. Ia juga adalah naik taraf ketara berbanding Galaxy A35 tahun lepas.
Tentunya terdapat beberapa kompromi yang dibuat untuk mencapai harga yang lebih rendah berbanding Galaxy A56. Ini termasuk sistem haptik yang kurang premium, menggunakan bingkai plastik dan mempunyai ciri Awesome Intelligence yang lebih terhad. Tetapi, jika mengetepikan kekurangannya, Galaxy A36 adalah peranti kelas pertengahan yang cukup baik.

Untuk mereka yang mencari peranti Samsung dengan bajet sekitar RM1,700, sukar untuk saya tidak cadangkan Galaxy A36. Apatah lagi ia turut didatangkan dengan kemas kini perisian yang jauh lagi panjang berbanding telefon lain dalam kelasnya. Galaxy A36 dijual di Malaysia pada harga bermula RM1,499 untuk RAM 6GB dan storan 128GB, dan RM1,699 untuk RAM 8GB dan storan 256GB.
Bagaimana pula tanggapan anda tentang Galaxy A36 ini? Adakah anda setuju dengan perkara yang kami suka dan tidak suka? Tinggalkan pendapat anda di ruangan komen ya.