Selepas pelancaran rasmi Pixel 9 di Malaysia pada Ogos lalu, pasaran telefon pintar tempatan semakin meriah dengan kehadiran peranti dari Google. Terbaru, giliran Pixel 9a pula diperkenalkan, iaitu model paling mampu milik dalam siri Pixel 9 yang menawarkan banyak ciri menarik pada harga yang lebih rendah.
Apa yang lebih menarik, Pixel 9a juga menandakan kemunculan semula model “a” dalam pasaran Malaysia, sejak model pertamanya Pixel 3a telah diperkenalkan enam tahun lalu. Saya berpeluang mencuba sendiri seunit Pixel 9a, dan selepas beberapa minggu menggunakannya, inilah ulasan penuh saya mengenainya.
Rekaan tanpa bonggol kamera

Dari segi rekaan, Pixel 9a boleh dilihat masih identiti rekaan siri Pixel 9. Namun, terdapat sedikit kelainan terutamanya pada bahagian model kamera belakang. Tak ada bonggol besar dan rekaannya lebih rata. Walaupun kalau diperhatikan dengan teliti masih terdapat sedikit bonggol yang terkeluar, ia cukup minima untuk panggil sebagai bonggol.


Unit yang kami terima hadir dalam warna baharu bernama Iris, iaitu ungu lembut yang nampak cukup menarik dan berbeza daripada kebiasaan. Panel belakang tampak seperti kaca frosted, tetapi sebenarnya diperbuat daripada plastik. Yang bagusnya, walaupun bukan kaca sebenar, rekaannya masih kelihatan premium dan tidak mengutip cap jari.

Secara keseluruhan, binaannya terasa kukuh dan ringan di tangan. Cuma, satu perkara yang mungkin mengganggu adalah kedudukan butang kuasa yang diletakkan di atas butang kawalan bunyi, posisi yang agak kekok dan menjadikannya sukar untuk dicapai. Selalu juga saya silap tekan bila nak hidupkan telefon.


Pixel 9a turut menerima penarafan kalis air IP68, sama seperti model Pixel 9 lain. Sekiranya anda lebih suka gunakan telefon dengan pelindung, Google juga ada sediakan pelindung yang sepadan dengan warna peranti.
Bezel skrin nampak tebal betul

Bercakap tentang skrin, perkara pertama yang saya perasan ialah bezelnya yang agak tebal. Memang sedikit mengganggu pada mulanya, walaupun ketebalannya sekata di semua sisi. Namun selepas menggunakan buat beberapa ketika, kehadiran bezel ini tak lagi rasa terlalu ketara, dan lagipun ia tak menjejaskan pengalaman penggunaan. Cuma tidak boleh nafikan yang bezel tebal ini buatkan skrinnya nampak kurang premium.

Pixel 9a menggunakan skrin pOLED bersaiz 6.3” dengan resolusi FHD+ (1080 x 2424) dan kadar segar semula 120Hz. Kualiti skrinnya cukup baik. Kandungan nampak tajam, warna cantik dan cukup lancar. Ia juga boleh pergi agak cerah untuk penggunaan di luar, dengan kecerahan maksimum yang disokong adalah setinggi 2,700 nits.
Namun begitu, satu perkara yang kurang saya gemar adalah kadar segar semula skrinnya hanya boleh ditetapkan pada 60Hz atau automatik. Tak ada pilihan untuk kekalkan pada 120Hz, mungkin ini untuk lebih jimat bateri. Selain itu, kadar segar semulanya juga ditetapkan pada 60Hz secara default, jadi pengguna perlu menukarnya kepada automatik untuk menikmati kadar segar semula lebih tinggi.

Kalau anda tertanya-tanya tentang perbezaan antara panel pOLED dan OLED biasa yang digunakan pada Pixel 9, Google menjelaskan yang panel pOLED adalah lebih nipis. Ini membolehkan mereka memuatkan bateri yang lebih besar sambil mengurangkan bonggol kamera di bahagian belakang. Dari segi kualiti pula, pada pandangan saya, ia menawarkan paparan yang setanding dengan skrin OLED konvensional.
Kaca hadapan dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 3, dan pengimbas cap jari pun ada dalam skrin, tetapi jenis optikal dan bukan ultrasonik macam flagship Pixel 9. Namun ia tetap pantas dan responsif. Kalau nak buka telefon melalui imbasan muka pun boleh, tetapi ia hanya berkesan bila ada cahaya yang cukup sahaja.

Untuk audio, speaker stereo Pixel 9a ini cukup baik dan kuat. Namun, tidaklah sebagus iPhone 15 Plus atau model iPhone terkini.
Prestasi lancar, tapi cepat panas

Sepanjang saya menggunakan Pixel 9a, prestasinya terasa cukup lancar dan responsif. Di dalam, Pixel 9a dijana cip Tensor G4, iaitu cip yang sama terdapat di telefon Pixel 9 lain. Walaupun ia merupakan cip flagship, prestasinya tidaklah setanding dengan cip flagship lain seperti Qualcomm Snapdragon 8 Elite mahupun Dimensity 9400. Tetapi untuk penggunaan harian, prestasinya sudah memadai.
Untuk lebih mudah faham, di sini saya kongsikan keputusan ujian tanda aras Geekbench 6, 3D Mark dan AnTuTu yang Pixel 9a peroleh.



Prestasi game pula bagaimana? Game macam Mobile Legends boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan tertinggi yang disokong, iaitu grafik pada “Ultra” dan kadar bingkai “Super”. Namun, untuk game berat macam Genshin Impact, pengalaman masih baik pada tetapan ‘Highest’ dengan 60FPS, tetapi akan ada kelengahan sedikit.


Saya juga perasan yang semasa menjalankan tugas berat atau bermain game, telefon akan rasa panas lebih-lebih lagi apabila pakai pelindung. Kalau buka, barulah boleh terus main dan telefon rasa sejuk sikit.
Antara muka bersih, banyak ciri AI


Sejurus keluar kotak, Pixel 9a menggunakan Android 15 yang diselaputi dengan Pixel UI. Antara mukanya nampak kemas, lancar dan bebas daripada sebarang bloatware. Google juga menjanjikan kemas kini Android selama 7 tahun untuk Pixel 9a, kemas kini yang sama diberikan pada peranti flagship Pixel 9.


Tambah baik lagi, segala ciri perisian yang ada pada flagship juga ada pada Pixel 9a ini. Ini termasuk seperti ciri “Add me” yang membolehkan anda untuk menangkap gambar anda bersama rakan anda secara berasingan, kemudian menggabungkannya menjadi satu. Ia memang berguna bila tak ada orang lain nak tolong ambil gambar, cuma hasilnya kadang baik, kadang kurang menjadi.



Seterusnya, terdapat juga ciri pengeditan imej melalui Magic Editor, yang bukan sahaja membolehkan anda memadam objek dalam gambar, tetapi juga mengubah suai gambar sedia ada dengan lagi kreatif menggunakan imej janaan AI, hanya dengan memasukkan prompt tertentu.


Seperti kebanyakan peranti Android dan telefon Pixel 9 lain, Pixel 9a turut dilengkapi dengan pembantu AI Gemini dan Circle to Search
Kamera kelas pertengahan baik

Sama macam Pixel 9 biasa, Pixel 9a turut hadir dengan tetapan dua kamera yang terdiri daripada kamera utama dan kamera ultra-lebar. Cuma perbezaannya adalah, Pixel 9a guna kamera utama 48MP dan kamera ultralebar 13MP, manakala Pixel 9 pula guna kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 48MP.
Untuk harga sekitar RM3,000, ketiadaan kamera telefoto masih boleh diterima lagi, lainlah kalau langsung tak ada kamera ultralebar.. ehem ehem iPhone 16e.

Walaupun sensor 48MP ini nampak macam turun taraf dari 64MP di Pixel 8a, ia sebenarnya lagi besar 1/2.0”, bermakna sensornya boleh menyerap cahaya lebih banyak untuk hasil malam yang lebih baik. Jadi, bagaimana prestasi kamera Pixel 9a ini dalam dunia sebenar?


Bagi kamera utama, kualiti gambar dalam suasana cerah amat baik. Gambar nampak tajam, warna yang dihasilkan kelihatan natural, dan HDR pun baik boleh bezakan ruang gelang dan bahagian cerah. Malah, hasil gambar malam pun sangat memuaskan, butiran masih jelas dan boleh kata langsung tak ada noise. Namun, kadangkala gambar boleh nampak sedikit pudar dalam keadaan pencahayaan terlalu terang.





Disebabkan ia tak ada kamera telefoto, telefon ini sokong zum digital sampai 8x sahaja menggunakan kamera utamanya. Zum 8x masih buahkan butiran yang masih nampak jelas, tetapi tidaklah tajam. Kalau anda nak lakukan tangkapan dengan objek dekat, kamera utamanya turut menyokong tangkapan makro.

Tangkapan dari kamera ultralebar juga agak baik tawarkan warna yang konsisten macam kamera utama, manakala kamera hadapannya pula mampu hasilkan gambar swafoto yang jelas dengan warna kulit yang natural.
Berikut saya kongsikan sampel-sampel gambar ditangkap dari Pixel 9a:
Kamera utama:


















Kamera ultralebar:






Hayat bateri bagus, tapi pengecasan perlahan

Pixel 9a dilengkapi bateri 5,100mAh, terbesar dalam siri Pixel 9, malah melebihi kapasiti Pixel 9 Pro XL. Dalam penggunaan harian, ia mampu bertahan seharian penuh dengan masa skrin aktif sekitar 7.5 jam untuk penggunaan seperti menonton video, menggunakan media sosial, fotografi dan bermain game.
Namun begitu, pengecasan 23W yang disokong agak perlahan mengikut piawaian semasa. Cas penuh mengambil lebih satu jam setengah, dan kepala pengecas perlu dibeli berasingan.


Pengecasan tanpa wayar turut disokong pada kadar 7.5W, namun hanya menggunakan piawaian Qi biasa tanpa sokongan pengecasan magnetik Qi2.
Pixel 9a pilihan lagi berbaloi dari iPhone 16e?


Dengan harga bermula RM2,699 untuk storan 128GB, Pixel 9a bersaing secara rapat dengan iPhone 16e yang berharga RM2,999 untuk storan saiz sama. Namun, Pixel 9a menawarkan beberapa kelebihan seperti:
- Skrin 120Hz
- Kamera ultralebar
- Ciri AI yang lebih menyeluruh
- Sokongan perisian lebih panjang
Untuk pengguna yang mementingkan nilai, ciri dan pengalaman Android asli, Pixel 9a adalah pilihan yang lebih berbaloi.
Kesimpulan akhir

Pixel 9a mungkin bukanlah peranti flagship, tetapi ia terasa sangat dekat dengan pengalaman flagship, cuma dalam harga lebih mesra poket. Ia hadir dengan banyak ciri menarik daripada Pixel 9 seperti skrin 120Hz, rekaan premium, kamera berkualiti dan pengalaman Android bersih dan ringan. Malah, anda juga dapat ciri AI canggih seperti Magic Editor dan Add Me.
Ya, memang ada beberapa kompromi. Pixel 9a tak ada kamera telefoto, pengecasannya agak perlahan, dan cip Tensor G4-nya bukan yang paling berkuasa dalam kelasnya. Bila bandingkan dengan pesaing seperti Xiaomi 14T Pro atau Honor 200 Pro yang lebih murah, Pixel 9a mungkin sedikit di belakang, terutama dari segi spesifikasi atas kertas.

Tetapi kalau anda nak pengalaman Android tulen, kemas kini perisian paling panjang, dan telefon yang mencukupi dalam pelbagai aspek, Pixel 9a adalah antara pilihan terbaik. Sesuai untuk mereka yang nak rasa pengalaman Pixel, tanpa perlu belanja sampai RM4,000
Apa pula pendapat anda? Adakah anda rasa Pixel 9a telefon yang lagi berbaloi berbanding pesaingnya? kongsikan pendapat anda di dalam ruangan komen di bawah ya.