Xiaomi telah mengumumkan ketibaan sebuah tablet baharu dalam barisan Pad 7, iaitu Xiaomi Pad 7S Pro di China. Ia merupakan tablet mereka pertama yang menampilkan cip pemproses hasilan Xiaomi tersendiri, iaitu XRing O1, yang pertama kali membuat kemunculannya di telefon Xiaomi 15S Pro sekitar Mei lalu.
Xiaomi Pad 7S Pro juga adalah pengganti kepada Xiaomi Pad 6S Pro tahun lepas. Berbanding tablet Pad 7 yang lain, model Pad 7S Pro memiliki skrin yang lebih besar, serta sokongan pengecasan lebih pantas.
Spesifikasi Xiaomi Pad 7S Pro

Bermula dari luaran, Xiaomi Pad 7S Pro adalah tablet bersaiz 12.5″, dengan dimensi nipis hanya 5.8mm dan berat 576g. Skrinnya menggunakan panel IPS LCD yang mempunyai resolusi 3200 x2136 dalam nisbah 3:2, serta kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak mencecah 1,000 nits.
Untuk menonton video, tablet ini turut dilengkapkan dengan 6 speaker yang berteknologi Dolby Atmos. Sebagai perbandingan, Pad 7 dan Pad 7 menggunakan skrin LCD 11.2″ dengan kecerahan puncak 800 nits.


Atas papan utama, ia diperkasa cip XRing O1, iaitu cip pertama keluaran Xiaomi. Cip ini dibina menggunakan proses3nm N3E TSMC generasi kedua, yang menampilkan 10 teras CPU terdiri daripada 2 teras berkuasa tinggi Cortex-X925 dengan kelajuan 3.9GHz, 4 teras Cortex-A725 berkelajuan 3.4GHz, serta gabungan teras cekap tenaga, 2 teras Cortex-A725 1.9GHz dan 2 teras Cortex-A520 1.8Ghz.
Selain itu, cip tersebut turut hadir dengan 16 teras GPU dan 6 teras NPU. Bersama cip itu, tablet dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB.
Tenaga tablet disalurkan oleh bateri berkapasiti 10,610mAh, jauh lebih besar dari siri Pad 7 lain yang berkapasiti 8,850mAh. Sokongan pengecasan Pad 7S Pro juga lebih pantas pada 120W melalui USB-C berbanding sehingga 67W, dan tablet turut pengecasan terbalik berwayar pada kadar 7.5W.

Perkakasan kamera dilihat tiada perubahan, menggunakan kamera belakang 50MP dan kamera depan 32MP. Sejurus keluar kota, tablet akan menjalankan sistem operasi HyperOS 2 berasaskan Android 15.
Harga Xiaomi Pad 7S Pro di China
Di China, Xiaomi Pad 7S Pro ditawarkan dalam lima konfigurasi pada harga seperti berikut:
- Pad 7S Pro (8GB + 256GB) – RMB 3,299 (~RM1,944)
- Pad 7S Pro (12GB + 256GB) – RMB 3,599 (~RM2,121)
- Pad 7S Pro (12GB + 512GB) – RMB 3,899 (~RM2,299)
- Pad 7S Pro (16GB+ 512GB) – RMB 4,099 (~RM2,416)
- Pad 7S Pro (16GB + 1TB) – RMB 4,499 (~RM2,652)
Setakat ini, maklumat tentang ketersediaan Xiaomi Pad 7S Pro di pasaran global dan Malaysia masih belum diketahui. Tetapi, memandangkan Pad 6S Pro dijual secara rasmi di Malaysia, anda boleh jangka Pad 7S Pro turut akan tiba ke pasaran kita nanti.