Selain Galaxy Z Fold 7, acara pelancaran Galaxy Unpacked 2025 turut memperlihatkan pengenalan telefon lipat flip terbaru daripada Samsung, iaitu Galaxy Z Flip 7. Bagi generasi ke-7 ini, Samsung bukan sahaja membawakan kemas kini pada bahagian perkakasan dalaman, tetapi juga kini memberikan perubahan besar pada rekaannya dengan skrin luar lebih besar, sambil mengekalkan rekaan kompak.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda rasa Galaxy Z Flip terlalu mahal, Samsung kini turut memperkenalkan model Z Flip yang lebih mampu milik, dipanggil sebagai Galaxy z Flip 7 FE.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 7

Macam yang dikatakan tadi, Galaxy Z Flip 7 kini datang dengan skrin lebih besar, meliputi dari hujung ke hujung, sama macam Xiaomi Mix Flip. ini membolehkan pengguna untuk melihat dan lakukan lebih banyak perkara terus darinya. Skrin luar ini bersaiz 4.1″ jenis Super AMOLED 120Hz dan kecerahan 2,600 nits, paling besar pada telefon Z Flip. Sebagai perbandingan, Z Flip 6 ada skrin luar 3.4″.


Skrin dalam Flip 7 juga kini lebih besar berukuran 6.9″, naik taraf dari 6.7″ dari Z Fold 6. Tapi panel masih kekal jenis Dynamic AMOLED 2X. Walaupun skrinnya lebih besar, saiz telefon masih cukup kompak dengan hanya tebal 13.7mm dalam keadaan dilipat, dan berat 188 gram. Panel belakang masih menampilkan kaca Corning Gorilla Victus 2 sebagai pelindung.

Untuk engsel, macam Galaxy Z Fold 7, model Flip baharu ini turut mengguna pakai Armor FlexHinge, yang bukan sahaja lebih nipis, tetapi juga menampilkan rekaan baharu dan diperbuat daripada bahan lebih tahan lasak. Tahap kalis air dan debunya masih pada paras IP48.

Tidak seperti Galaxy Z Fold 7, Samsung memuatkan Z Flip 7 dengan cip terbaru hasilan mereka, iaitu Exynos 2500 3nm. Menurut Samsung, cip ini menawarkan CPU, GPU dan NPU lebih berkuasa berbanding Z Flip 6 yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 3. Ia dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 512GB.
Bagi bahagian bateri, Galaxy Z Flip 7 kini dilengkapi dengan kapasiti lebih besar 4,300mAh, 300mAh lagi besar dari model sebelumnya dan dikatakan terbesar pernah dimuatkan dalam telefon Galaxy Z Flip. Dengannya, ia mampu menawarkan masa tontonan video sehingga 31 jam dalam satu isian penuh. Namun, pengecasan masih 25W USB-C dan wayarles 15W.



Kelengkapan kamera juga tidak berubah. Jadi, model baru ini memiliki kamera utama 50MP, kamera ultralebar 12MP dan kamera telefoto 12MP pada skrin luar. Di dahi skrinnya terdapat kamera selfie 10MP. Sementara tiada perubahan pada perkakasan kamera, bahagian pengimejan telefon ini menampilkan ProVisual Engine yang lebih canggih, memberikan imej lebih tajam, tangkapan malam kurang noise serta sokongan 10-bit HDR.
Selain itu, skrin luar yang lebih besar juga dipertingkatkan dengan ciri FlexWindow baharu, yang lebih pintar dan intuitif. Pengguna kini boleh mengakses Gemini Live terus dari skrin luar untuk mencari maklumat secara pantas, sementara Now Bar memaparkan notifikasi masa nyata, dan Now Brief menyediakan ringkasan maklumat harian peribadi anda.

Untuk menangkap selfie, skrin luar ini turut membolehkan pengguna untuk pilih dan bertukar filter masa nyata. Malah, pengguna juga boleh zum dekat atau jauh dengan mudah menggunakan Zoom Slider baharu. Buat pertama kali dalam siri Flip, Galaxy Z Flip 7 kini menyokong Samsung DeX, membolehkan ia disambung ke skrin besar untuk pengalaman penggunaan seakan komputer.
Sejurus keluar kotak, telefon ini akan menjalankan One UI 8 berasaskan Android 16. Galaxy Z Flip 7 ditawarkan dalam tiga pilihan warna, biru, hitam dan merah. Terdapat juga warna online ekslusif hijau mint.
Samsung Galaxy Z Flip 7 FE

Untuk model Galaxy z Flip 7 FE, ia secara asasnya adalah Galaxy Z Flip 6, tapi didatangkan dengan cip Exynos 2400 , cip yang sama digunakan pada siri Galaxy S24 terdahulu. Dari luar, fizikalitinya masih kekal sama seperti Flip 6, menampilkan skrin dalam 6.7″ dan skrin luar 3.4″.


Spesifikasi lain seperti kamera, bateri dan pengecasan masih sama seperti Galaxy Z Flip, tapi ia akan menjalankan One UI 8 berasaskan Android 16 sejurus keluar kotak dan dilengkapi pelbagai ciri baru, termasuk NowBar dan NowBrief.
Galaxy Z Flip 7 FE ditawarkan hanya dalam dua warna iaitu hitam dan putih.
Harga Galaxy Z Flip 7 dan Flip 7 FE

Berikut adalah harga jualan rasmi Samsung Galaxy Z Flip 7 dan Z Flip FE di Malaysia:
- Samsung Galaxy Z Flip 7 (12GB + 256GB) – RM4,999
- Samsung Galaxy Z Flip 7 (12GB + 512GB) – RM5,599
- Galaxy Z Flip 7 FE (8GB + 128GB) – RM3,999
- Galaxy Z Flip 7 FE (8GB + 256GB) – RM4,299
Galaxy Z Flip 7 dan Flip 7 FE boleh dipratempah di Malaysia bermula hari ini, 9 Julai 2025 jam 10 malam, sehingga 31 Julai 2025. Ia akan mula dijual secara rasmi mulai 1 Ogos 2025.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy Z Flip 7 dan Z Flip 7 FE.