Tecno Malaysia hari ini melancarkan barisan telefon pintar terbaharu mereka, siri Tecno Pova 7 di Malaysia. Siri ini hadir dalam tiga model, Pova 7 4G, Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G dan menampilkan skrin berkadar penyegaran pantas, kapasiti bateri besar dan sokongan pengecasan wayarles, pada harga mampu milik.
Harga Siri Pova 7 5G di Malaysia

Setiap model siri Pova 7ditawarkan dalam dua varian, dan berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Pova 7 5G (8GB + 128GB) – RM899 (ekslusif online)
- Pova 7 5G (8GB + 256GB) – RM999 (Percuma powebank wayarles)
- Pova 7 Ultra 5G (8GB + 256GB) – RM1,299 (ekslusif online)
- Pova 7 Ultra 5G (12GB + 256GB) – RM1,399 (Percuma powebank wayarles)
- Pova 7 4G (8GB + 128GB) – RM599 (ekslusif online)
- Pova 7 4G (8GB + 256GB) – RM699

Kalau berminat, anda boleh dapatkan siri Pova 7 melalui stor rasmi Tecno di bawah:
- Pova 7 5G – Lazada, Shopee, TikTok
- Pova 7 Ultra 5G – Lazada, Shopee, TikTok
- Pova 7 4G – Lazada, Shopee, TikTok
Spesifikasi Tecno Pova 7 5G & Pova 7 Ultra 5G


Salah satu tarikan utama pada siri Tecno Pova 7 adalah pada segi rekaannya. Ia tampil dengan rekaan futuristik yang Tecno gelar sebagai “Interstellar Spaceship Design” serta dilengkapi lampu “Status Light” berbentuk segi tiga yang mengelilingi modul kamera. Lampu ini boleh berinteraksi dengan notifikasi seperti panggilan, mesej dan juga gaming.

Daripada segi warna, Pova 7 5G tersedia dalam warna hijau, perak dan hitam, manakala Pova 7 Ultra 5G pula hanya boleh didapatkan dalam dua warna, hitam dan putih.

Skrin yang digunakan pada kedua-dua model adalah berbeza. Pova 7 5G menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 6.78″ beresolusi FHD+ (2460 x 1080) dengan kadar penyegaran pantas 144Hz. Manakala, model lebih premium Pova 7 Ultra 5G menggunakan skrin lebih kecil jenis AMOLED berukuran 6.67″ 1.5K (2800 x 1260) juga dengan kadar penyegaran 144Hz.


Selain skrin, terdapat juga perbezaan pada cip yang digunakan. Pova 7 5G diperkasa dengan MediaTek Dimensity 7300 UItimate dengan kombinasi RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Pova 7 Ultra 5G pula menggunakan cip lebih berkuasa, Dimensity 8350 Ultimate, dengan RAM lebih besar sehingga 12GB dan satu storan 256GB.

Untuk menangkap gambar, model Ultra menerima tetapan dwikamera belakang iaitu kamera utama 103MP dan kamera ultralebar 8MP, sementara Pova 7 5G hanya mempunyai kamera utama 50MP. Kedua-duanya turut dimuatkan dengan kamera selfie 13MP.

Kapasiti bateri yang dimuatkan pada Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G adalah sama, 6,000mAh. Namun mereka menyokong pengecasan yang berbeza. Model Pova 7 5G boleh dicas pada kuasa 45W USB-C, dikatakan Tecno hanya mengambil masa 69 minit untuk cas penuh. Pova 7 Ultra pula menyokong pengecasan lebih pantas 80W USB-C, membolehkan telefon dicas penuh dalam masa hanya 44 minit.
Menariknya, Tecno turut menyediakan kedua-dua model ini sokongan pengecasan wayarles 30W, dan beberapa teknologi pengecasan seperti Low Temp Charge, Smart Charge dan Hyper Charge. Speaker yang digunakan adalah jenis stereo dengan teknologi Dolby Atmos, dan peranti diiktiraf kalis percikan air dan debu IP64.

Selain itu, telefon ini turut lengkap dengan penggetar 4D untuk pengalaman gaming yang lebih mengasyikkan, serta perisian Game Space untuk kawal keperluan gaming. Sejurus keluar kotak, kedua-duanya akan menjalankan sistem operasi HiOS 15 berasaskan Android 15 yang dilengkapi dengan fungsi AI seperti Ask Ella, AI Anywhere Portal, AI Full-Link Call Assistant, AI Writing dan AI Eraser.
Spesifikasi Tecno Pova 7 4G

Sementara itu, untuk Pova 7 4G, ia diperkasa cip Helio G100 Ultimate yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Skrinnya sama seperti model Pova 7 5G, iaitu berukuran 6.78″ dengan resolusi FHD+ ada kadar segar semula sedikit perlahan pada120Hz.

Walaupun adalah varian paling rendah, Pova 7 4G dimuatkan dengan kapasiti paling besar 7,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W USB-C. Seperti model Ultra, ia turut menggunakan kamera utama 108MP tetapi dipadankan dengan kamera ultralebar 2MP.
Namun, ia kehilangan ciri “Status Light” seperti yang ada pada model lain dalam barisannya. Pova 7 4G tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu gangsa, perak dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Tecno Pova 7 4G, Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G.