Spesifikasi rasmi untuk Proton e.MAS 5 telah pun didedahkan, selari dengan pelancaran jelajah pratonton nasional Misi 5 oleh Pro-Net untuk EV baharu ini. Selain itu, kami juga berpeluang melihat bahagian dalaman hatchback elektrik segmen-B tersebut.
Namun, sesi tersebut agak singkat, hanya sekitar 15 hingga 20 minit, jadi kami cuba mengenali ciri-ciri e.MAS 5 sebaik mungkin dalam tempoh pratonton yang terhad itu. Kami juga berpeluang melihat bahagian luar EV baharu ini tanpa sebarang camouflage, tetapi tidak dapat menayang sepenuhnya. Menurut Pro-Net, masih ada lagi beberapa kerja yang perlu diselesaikan pada bahagian luaran e.MAS 5 sebelum mereka dapat tunjukkan kepada semua.
Tetapi kami tidak dapat menunjukkannya di sini dengan jelas. Menurut pihak Pro-Net, masih ada lagi beberapa kerja yang perlu diselesaikan pada bahagian luaran e.MAS 5 sebelum mereka dapat tunjukkan kepada semua.
Berbalik kepada spesifikasi, hanya butiran mengenai varian e.MAS 5 Premium yang telah didedahkan secara rasmi pada ketika ini. Sepertimana yang dinyatakan di dalam pertemuan awal kami dengan Geely Xingyuan di Shanghai, Xingyuan mempunyai dua varian dan ini kemungkinan besar akan turut diguna pakai untuk e.MAS 5.

Berdasarkan skema penamaan e.MAS 7, kami menjangkakan versi yang lebih rendah akan dinamakan e.MAS 5 Prime tapi ianya adalah sesuatu yang kami akan bincangkan di masa hadapan. Untuk sekarang, mari kita terus kepada butiran e.MAS 5 Premium.
Proton e.MAS 5 Premium: Bateri, Pengecasan, Jarak Pandu

Proton e.MAS 5 Premium dilengkapi dengan bateri LFP 40.16 kWh daripada CATL. Ini membolehkan EV tersebut mencapai jarak pandu sehingga 325km yang dinilai berdasarkan piawaian WLTP.
Dari segi pengecasan, kami diberitahu bahawa e.MAS 5 Premium boleh menyokong kelajuan pengecasan DC sehingga 71kW. Wakil Pro-Net juga berkata ia mengambil masa sekitar 21 minit pengecasan DC untuk mencapai tahap bateri daripada 30% ke 80%.

Pada masa yang sama, e.MAS 5 Premium juga menyokong pengecasan AC fasa tunggal sehingga 6.6kW. Helaian spesifikasi versi terkini yang kami terima tidak menyatakan sama ada EV ini akan menawarkan keupayaan Kenderaan-ke-Beban (V2L), tetapi memandangkan ia berasaskan Geely Xingyuan, kami tidak akan terkejut jika ciri ini turut ditawarkan di Malaysia.
Prestasi Proton e.MAS 5 Premium

Memandangkan ia direka untuk pelanggan yang mementingkan bajet, e.MAS 5 juga hadir dengan angka prestasi yang sederhana. Varian Premium dilengkapi dengan motor elektrik tunggal 85kW (~114hp) yang mampu menghasilkan tork setinggi 150Nm.
Dari segi pecutan, kami diberitahu EV ini boleh memecut dari 0 hingga 50km/j dalam masa 3.9 saat. Ya, anda tidak salah baca – angka pecutan yang dinyatakan sememangnya 0 hingga 50.

Apa yang menarik, e.MAS 5 ialah sebuah kereta pacuan roda belakang dan ini membolehkan EV ini mempunyai radius pusingan yang lebih kecil iaitu 4.95 meter. Selain itu, varian Premium juga menampilkan suspensi belakang jenis multi-link bersama penyokong MacPherson di hadapan.
Bahagian Dalaman Proton e.MAS 5

Dari segi dalaman, anda akan melihat tempat duduk kulit buatan (leatherette) berwarna putih di bahagian hadapan dan belakang. Walau bagaimanapun, unit pra-produksi yang kami lihat mempunyai pelaras manual, jadi tidak jelas sama ada ini akan menjadi versi sebenar yang akan dipasang pada e.MAS 5 Premium.
Tambahan pula, kami diberitahu bahawa e.MAS 5 Premium akan mempunyai bumbung dwitona tapi unit yang dipamerkan adalah satu tona. Walaupun begitu, tempat duduk ini terasa agak empuk dan selesa, lebih-lebih lagi tempat duduk hadapan yang rasa memeluk badan walaupun ia bukan kerusi kereta lumba.

Terdapat juga stereng dwitona yang turut dibalut dengan kulit. Malangnya, ia tidak mempunyai fungsi teleskopik.
Ruang Simpanan Proton e.MAS 5

Sejak pertama kali didedahkan secara rasmi di Pameran Auto Malaysia awal tahun ini, salah satu mesej utama yang Proton sentiasa kaitkan e.MAS 5 adalah “ruang”. Secara spesifiknya, ruang simpanan yang banyak di dalam EV ini.
Menurut Pro-Net, terdapat 32 ruang simpanan di seluruh e.MAS 5. Ini termasuk storan bawah konsol 20L, laci papan pemuka (glove compartment) 10L, dan beberapa kawasan storan di dalam panel pintu EV ini.

Sama seperti e.MAS 7, e.MAS 5 juga mempunyai ruang storan 28L di bawah tempat duduk belakangnya. Walau bagaimanapun, ianya sedikit berbeza kerana tidak mempunyai dulang terbina di dalam berbanding “abangnya”.
Apabila bercakap mengenai but, e.MAS 5 menawarkan ruang 375L yang boleh diperluaskan lagi kepada 1,320L apabila tempat duduk belakang dilipat. Varian Premium juga menampilkan fungsi “power tailgate” yang sangat berguna dan akhir sekali, EV ini juga mempunyai frunk (ruang simpanan hadapan) seluas 70L.
Apple CarPlay & Android Auto Tersedia Semasa Pelancaran

Salah satu soalan paling lazim yang kami dengar pada masa kini setiap kali ada kereta baharu dilancarkan, tidak kira jenama apa, ialah “Kereta ni ada Apple CarPlay dengan Android Auto ke?”. Oleh itu, pihak media juga sangat gemar mengajukan soalan ini kepada Proton, tetapi nampaknya pengeluar automobil nasional ini sudah mula memasang AACP untuk model-model terbaharu sejak tahun ini.
Sama seperti Proton X50 2026 yang baru saja dilancarkan bulan lepas, Proton e.MAS 5 juga akan mempunyai Apple CarPlay dan Android Auto semasa pelancaran. Anda boleh gunakan fungsi melalui sambungan berwayar dan tanpa wayar.

Walaupun antara muka pengguna mungkin kelihatan sama, sistem operasi pada e.MAS 5 adalah Atlas Auto dan bukannya Flyme Auto seperti pada Geely Xingyuan. EV ini bukan sahaja menampilkan pembantu suara Bahasa Malaysia, Aishah, sama seperti X50 baharu tetapi juga membawa paparan infotainmen 14.6-inci yang sama.
Sudah tentu, sebagai sebuah EV di bawah Pro-Net, e.MAS 5 dilengkapi dengan peta pengecasan langsung bersepadu dan sokongan untuk aplikasi telefon pintar e.MAS. e.MAS 5 Premium juga mempunyai sistem audio 6-pembesar suara, tetapi kami tidak sempat menguji kualiti outputnya.
Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Proton e.MAS 5 Premium

Banyak model-model baharu mula mempunyai Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) sejak beberapa tahun yang lepas dan tiada bezanya untuk e.MAS 5 walaupun ianya sebuah model segmen B. Untuk varian e.MAS 5 Premium, berikut adalah senarai ciri ADAS yang dimilikanya:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Pengecaman Tanda Isyarat Trafik (TSR)
- Pelepasan Kenderaan Hadapan (FVD)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Seperti yang anda mungkin perasan, EV ini tidak didatangkan dengan Kawalan Jelajah Pintar (ICC) tidak seperti e.MAS 7. Sementara itu, e.MAS 5 Premium juga dilengkapi dengan 6 beg udara, sistem kamera 360 darjah, dan penderia parkir belakang.

Selain mempunyai Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), terdapat juga sistem anti-gelincir dan anti-terbabas G-TCS. Mengikut Pro-Net, G-TCS direka untuk mengurangkan gelinciran roda di permukaan cengkaman rendah dan juga membantu mengurangkan masa tindak balas tork pada EV tersebut.
Spesifikasi Proton e.MAS 5 Premium

Galeri gambar

























