Bulan Mei lepas, Infinix telah melancarkan telefon GT generasi ketiga mereka, Infinix GT 30 Pro. Jika kebiasaannya model GT hanya hadir dalam model Pro, nampaknya perkara tersebut akan berubah kerana Infinix telah mengumumkan mereka akan melancarkan model asas yang digelar sebagai Infinix GT 30.
Pelancaran GT 30 telah ditetapkan akan berlangsung pada hari Khamis, 11 September 2025, kira-kira empat bulan selepas model Pro-nya dilancarkan.
Dalam pengumuman sama, Infinix turut mendedahkan beberapa spesifikasi penting yang bakal didukung GT 30. Antaranya ia akan hadir dengan skrin AMOLED 144Hz dan dijana cip MediaTek baharu, Dimensity 7400 5G. Ia juga dikatakan menerima pensijilan kadar bingkai tinggi, sehingga 120FPS untuk 10 permainan termasuk seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang.


Selain itu, berada dalam siri GT, telefon ini juga akan menampilkan butang GT Trigger, yang dikatakan industri pertama butang bahu kapasitif tersembunyi. Tidaklah pasti apa beza berbanding dengan butang bahu yang ada di GT 30 Pro, tetapi Infinix mengatakan ia menawarkan kawalan tepat mirip konsol permainan, serta boleh berfungsi sebagai butang pintas untuk fotografi dan video.

Macam GT 30 Pro, telefon GT 30 turut akan hadir dengan lampu “Mechanical Light Waves” pada panel belakang, serta tersedia dengan dua kemasan baharu, biru dan hijau selain kelabu sedia ada seperti di GT 30 Pro.
Infinix GT 30 sudah dilancar di India

Untuk pengetahuan anda, model GT 30 telah pun membuat kemunculannya di pasaran India, dan berkemungkinan pasaran kita akan terima spesifikasi yang sama, berdasarkan apa yang dikongsikan oleh Infinix Malaysia. Malah, GT 30 juga berkongsi spesifikasi hampir sama dengan model Pro, tetapi dengan sedikit turun taraf pada kamera, pengecasan dan cip yang digunakan.

Model GT 30 di India dilengkapi skrin AMOLED 6.78″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak 4,500 nits. Ia diperkasa Dimensity 7400 dengan RAM LPDDR5X 8GB dan storan sehingga 256GB, dan menggunakan kamera utama 64MP dan kamera ultralbar 8MP di belakang. Ia turut ada bateri 5,500mAh dan menyokong pengecasan berwayar 45W, tiada pengecasan wayarles seperti Pro.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan harga dan ketersediaan, perlulah tunggu pada 11 September untuk pelancarannya nanti. Tentunya paras harga GT 30 akan diletakkan lebih rendah berbanding model Pro, dan sebagai rujukan anda, Infinix GT 30 Pro dijual di Malaysia pada harga seperti berikut:
- Infinix GT 30 Pro (12GB + 256GB): RM1,299
- Infinix GT 30 Pro (12GB + 512GB): RM1,499