YTL Communications telah mengumumkan pelancaran 5G Advanced untuk rangkaian Yes 5G, menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan teknologi ini secara komersial. Pelancaran 5G Advanced ini akan dijalankan secara berperingkat, dimulakan dengan Lembah Klang dan Yes menyasarkan untuk mencapai liputan penuh di seluruh negara menjelang akhir 2025.
Menurut Yes, langkah ini bertujuan untuk menyediakan liputan 5G yang lebih luas dan mendalam, prestasi rangkaian lebih pantas, serta sambungan yang sedia AI demi manfaat pengguna dan perniagaan.
5G SA kini aktif sepenuhnya di seluruh Malaysia

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, rangkaian 5G Standalone (5G SA) Yes telah pun aktif sepenuhnya di seluruh negara pada suku ketiga (Q3) 2025. Dengan 5G SA, pelanggan boleh menikmati pengalaman 5G penuh tanpa bergantung pada rangkaian 4G.
Perkara ini dapat dicapai dengan penggunaan rangkaian 5G Core (5G Network Core) yang disambungkan terus kepada rangkaian radio (RAN) Digital Nasional Berhad (DNB), dibangunkan oleh Ericsson.
Semua tapak 5G SA ini turut dihubungkan menggunakan gentian optik bagi memastikan kelajuan optimum, kapasiti tinggi, serta latensi ultra rendah. Dengan 5G SA, Yes 5G juga kini menyokong Panggilan Suara melalui Rangkaian Baharu (VoNR), membolehkan panggilan suara dilakukan sepenuhnya melalui rangkaian 5G tanpa bergantung pada 4G.
Yes 5G jadi rangkaian ke-9 dunia aktifkan 5G Advanced

Ketika ini, terdapat lebih 354 rangkaian 5G di seluruh dunia, namun sekitar 80% masih menggunakan 5G NSA. Hanya 20% sudah beralih kepada 5G SA, dan ini termasuk Yes 5G.
Lebih menarik, sebelum pelancaran ini hanya terdapat 8 rangkaian 5G Advanced di seluruh dunia. Dengan pengumuman hari ini, Yes 5G menjadi penyedia rangkaian ke-9 di dunia yang menawarkan 5G Advanced secara komersial dan boleh diakses oleh pelanggan

Selain itu, Yes 5G memanfaatkan dua jalur frekuensi utama untuk perkhidmatan 5G di Malaysia, 3.5GHz dan 700MHz. Jalur 3.5GHz menawarkan bandwidth tinggi untuk kelajuan dan kapasiti maksimum, manakala 700MHz yang diaktifkan melalui rangkaian 5G SA membantu memastikan liputan lebih luas, stabil dan mendalam, termasuk dalam bangunan.
Dengan kombinasi ini, rangkaian 5G Advanced Yes dijangka memberikan kelajuan muat turun 30% lebih pantas, kelajuan muat naik 30% lebih tinggi, serta latensi 100% lebih rendah.
Network Slicing kini aktif di rangkaian Yes 5G

Salah satu ciri utama dalam 5G Advanced ialah Network Slicing, yang kini sudah diaktifkan di rangkaian Yes 5G. Dengan ciri ini, Yes 5G boleh mengutamakan jalur lebar dan trafik untuk kegunaan tertentu seperti AI atau penstriman video secara langsung. Bayangkan ia seperti “laluan VIP” untuk data, dengan keutamaan berdasarkan Kualiti Perkhidmatan (QoS).
Wing turut berkongsi bahawa Network Slicing atas permintaan (on-demand) untuk pelanggan kini sedang dibangunkan, dan dijangka diperkenalkan tidak lama lagi.

Sementara 5G SA kini sudah aktif di seluruh negara, seperti yang dikatakan awal tadi, 5G Advanced Yes 5G ini sedang dilancarkan secara berperingkat. Kawasan Lembah Klang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Oktober 2025, manakala liputan di seluruh negara disasarkan siap menjelang Disember 2025.
Tersedia untuk pelanggan Yes Postpaid dan Broadband Yes 5G

Bagi pelanggan sedia ada Yes Postpaid dan Yes 5G Broadband, mereka kini boleh mengakses rangkaian 5G Advanced mulai sekarang tanpa caj tambahan dan pendaftaran baharu. Apa yang diperlukan hanyalah peranti yang menyokong 5G Advanced.
Antara jenama telefon pintar yang menyokong 5G Advanced termasuk Nothing, Samsung, ZTE, Xiaomi, Honor, Vivo, Oppo, Realme dan Infinix. Lebih banyak peranti dijangka menyokong rangkaian ini tidak lama lagi, dan sesetengahnya mungkin memerlukan kemas kini perisian.

Sebagai tambahan, Yes turut menawarkan Samsung Galaxy S25 dan Nothing Phone (3) secara percuma melalui pelan Yes Infinite+ Advanced, dengan kedua-duanya antara peranti yang menyokong 5G Advanced.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web Yes 5G Advanced.