Berita baik buat pengguna jalan raya di Malaysia. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menawarkan diskaun 50% kepada orang ramai yang ingin menjelaskan saman tertunggak mereka. Tawaran ini berlangsung selama dua bulan, bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, diskaun ini terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun, seperti kes yang perlu dibawa ke mahkamah.
“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114), dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas, tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun yang perlu dibawa ke mahkamah”, katanya semasa Sidang Media Khas Op Gempur pada hari Ahad.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan orang ramai merebut peluang ini dengan membuat bayaran di kaunter JPJ atau melalui saluran pembayaran dalam talian yang disediakan. Ini adalah kerana, mulai 1 Januari 2026, tiada lagi sebarang diskaun akan diberikan kepada umum bagi saman JPJ mahupun saman PDRM.
@anthonyloke Berkuatkuasa 1 Jan 2026, saman JPJ dan PDRM akan diselaraskan berdasarkan prinsip “the less you delay, the less you pay”. Tiada lagi amalan diskaun bermusim. Pengurangan adalah sebanyak 50% untuk 15 hari pertama, 33% untuk 16-30 hari dan kadar penuh untuk 31-60 hari. Tindakan mahkamah atau senarai hitam akan diambil selepas 60 hari. Sebelum bermulanya sistem baharu ini, pengguna jalan raya boleh melangsaikan saman tertunggak pada kadar pengurangan 50%-70% sehingga hujung tahun. Tiada diskaun akan diberi kepada saman tertunggak selepas tempoh ini. Saman bertujuan sebagai “deterrent” kepada sikap pemanduan yang merbahaya, bukan untuk dikutip berulang-kali. Sebaik-baiknya, kita patut memupuk sikap pemanduan yang selamat agar bukan sahaja tidak akan disaman, tetapi juga untuk keselamatan keluarga dan diri sendiri. Membina budaya keselamatan yang baik memerlukan kerjasama dari semua pihak – syarikat pengirim barangan, pengusaha kenderaan berat, pemandu logistik dan juga pemandu biasa seperti kita – demi keluarga dan orang tersayang. #KementerianPengangkutanMalaysia #KeselamatanJalanRaya #JPJ #PDRM
♬ original sound – Anthony Loke – Anthony Loke
Perkara ini selari dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini, yang menyatakan bahawa tiada lagi diskaun untuk saman tertunggak mulai tahun hadapan. Sebagai gantinya, kerajaan memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan prinsip “the less you delay, the less you pay”. Di bawah sistem ini, kadar kompaun ditetapkan mengikut tempoh bayaran seperti berikut:
- 50% diskaun untuk bayaran dalam tempoh 15 hari pertama
- 33% diskaun untuk bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari
- Kadar penuh untuk bayaran dalam tempoh 31 hingga 60 hari
- Tindakan mahkamah atau senarai hitam jika tidak dibayar selepas 60 hari
Pendekatan baharu ini diperkenalkan bagi menggalakkan pengguna melunaskan saman lebih awal, serta memastikan sistem lebih adil untuk mereka yang bertanggungjawab dan tidak menangguhkan bayaran.
[Sumber: Bernama]






