Selepas dilancar di China beberapa minggu lepas, kini Oppo Malaysia secara rasmi melancarkan siri flagship terbaharu mereka, Find X9 untuk pasaran tempatan, bertempat di Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Pelancaran ini berlaku serentak dengan kemunculannya yang berlangsung di pentas antarabangsa di Barcelona.
Siri flaghsip terbaharu ini bukan sahaja hadir dengan pelbagai naik taraf dari segi spesifikasi, tetapi juga membawakan rekaan serba baharu daripada generasi sebelumnya.
Harga dan ketersediaan siri Find X9 di Malaysia

Kedua-dua Find X9 dan Find X9 Pro tersedia dalam satu konfigurasi, dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Find X9 (RAM 16GB + storan 512GB) – RM3,699
- Find X9 Pro (RAM 16GB + storan 512GB) – RM5,099 (harga promosi RM4,999)

Oppo masih membuka tempahan awal untuk Find X9, dari 29 Oktober hingga 7 November 2025, dan Oppo turut menawarkan hadiah ekslusif bernilai sehingga RM1,577 berupa pengering rambut, set kotak magnetik dan waranti pelbagai rantau 1 tahun kepada pembeli.

Pengguna juga boleh membeli kit Teleconverter Hasselblad untuk Find X9 Pro pada harga RM999 atau lebih murah secara PWP pada RM799.
Spesifikasi Oppo Find X9 Pro

Spesifikasi siri Find X9 dilancar di Malaysia adalah sama seperti model yang dilancarkan di China. Bermula dengan model Pro, ia menggunakan skrin LTPO OLED 6.78″, saiz skrin sama seperti generasi sebelumnya tapi dengan bezel lebih nipis hanya 1.15mm. Skrin ini menyokong resolusi 1.5K, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak setinggi 3,600 nits untuk kandungan HDR. Namun ini sedikit lebih rendah dari 4,500 nits pada Find X8 Pro. Untuk pilihan warna, Find X9 Pro ditawarkan dalam putih dan hitam.


Siri Find X9 juga masih mengekalkan butang kamera Quick Capture di sisi kanan. Tetapi yang barunya, Oppo melengkapkan flagship terbaharu mereka dengan butang yang dipanggil Snap Key di bahagian atas kanan. Untuk fungsi, bukan sahaja ia boleh disesuaikan, tetapi juga boleh digunakan untuk akses AI Mindspace, ciri yang berfungsi seakan Essential pada Nothing Phone.


Atas papan utama, Find X9 Pro dikuasakan cip flagship MediaTek Dimensity 9500 3nm terbaharu, menjadikannya antara terawal menggunakan cip itu. Cip itu juga dikatakan Oppo menawarkan CPU 32% lebih pantas, GPU 33% lebih berkuasa dan 42% lebih cekap tenaga, serta kuasa memproses NPU 111% lagi pantas. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman pantas UFS 4.1 sehingga 512GB.
Dari segi kamera, Oppo masih meneruskan kerjasama dengan Hasselblad pada siri ini. Model Pro masih menggunakan tetapan tiga kamera belakang, tetapi kini menampilkan sistem telefoto yang jauh lebih berkuasa, kamera periskop 200MP Hasselblad (1/1.56″) dengan lensa 70mm berupaya zum optikal 3x dan zum digital sejauh 120x, naik taraf dari sensor 50MP 1/1.95” di Find X8 Pro.

Kamera utamanya menggunakan sensor 50MP jenis Sony LYT-828 1/1.28″, manakala kamera ultralebar memanfaatkan sensor Samsung JN5 juga 50MP. Selain itu, Oppo turut melengkapkan pengimejannya dengan True Color Camera, sensor multispektral 9 saluran yang membantu menangkap warna dengan lebih tepat dan semula jadi. Di hadapan, terdapat kamera swafoto 50MP dalam rekaan lubang takuk.

Dalam masa yang sama, Oppo turut memperkenalkan aksesori teleconverter khas untuk Find X9 Pro, yang meningkatkan lagi keupayaan zum kameranya. Dengan aksesori ini, peranti mampu mencapai zum optikal sehingga 10x, zum digital hingga 100x, serta zum video sehingga 50x.
Untuk tenaga, Find X9 Pro kini dilengkapi bateri 7,500mAh, peningkatan besar daripada 5,910mAh sebelum ini. Ia menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 50W tanpa wayar, yang menurut Oppo mampu memberikan jangka hayat bateri sehingga 2 hari dengan penggunaan biasa.
Spesifikasi Oppo Find X9

Bagi model Find X9, ia hadir dengan skrin lebih kecil 6.56″, sama seperti Find X8, juga jenis LTPO OLED dengan resolusi 1.5K, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak HDR sama 3,600 nits. Find X9 tersedia dalam tiga pilihan warna, iaitu merah, putih dan hitam.

Di dalam, seperti model Pro, varian Find X9 turut diperkasa cip MediaTek Dimensity 9500, dengan kapasiti RAM dan storan yang sama. Ia juga dilengkapi dengan butang Snap Key yang boleh disesuaikan, namun masih tiada butang kamera Quick Capture.
Untuk bahagian pengimejan pula, model Find X9 turut menampilkan tetapan sistem kamera Hasselblad dengan tiga kamera belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP menggunakan sensor Sony LYT-808 1/1.4”, kamera periskop 50MP 1/1.95” bersensorkan Sony LYT-600 dan kamera ultralebar 50MP.

Model Find X9 dilengkapkan dengan bateri 7,025mAh, sedikit lebih kecil dari model Pro tetapi masih satu peningkatan dari 5,630mAh pada Find X8. Turut disertakan adalah True Color Camera seperti Find X9 Pro, manakala bahagian hadapan pula, ia menempatkan kamera swafoto 32MP.
Kedua-dua model dalam siri turut menyokong 5G, WiFi 7, Bluetooth 6.0, NFC, kalis air dan debu IP68/IP69 serta ada pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin. Siri Find X9 jua akan menjalankan sistem operasi terbaharu, ColorOS 16 berasaskan Android 16. Oppo menjanjikan kemas kini OS selama 5 tahun dan kemas kini keselamatan selama 6 tahun.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Find X9 dan Find X9 Pro.






