OnePlus nampaknya sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan flagship terbaharu mereka, OnePlus 15 di pasaran global dan Malaysia. Menerusi pemakluman di laman media sosial mereka, OnePlus menyatakan peranti flagship tersebut akan dilancarkan di Malaysia pada hari Khamis, 13 November 2025 jam 9.30PM waktu Malaysia.
Model ini merupakan pengganti kepada OnePlus 13 yang dilancar awal Januari tahun ini, dan telah pun dilancar di China pada 23 Oktober 2025. Ia menampilkan rekaan hampir sama dengan siri Oppo Find X9 yang baru dilancar tempoh hari, selain turut beralih daripada modul kamera bulat seperti pada OnePlus 13 sebelum ini.
Tempahan OnePlus 15 kini dibuka di Malaysia

Sekiranya anda berminat dengan flagship terbaharu ini, tempahan awal untuk OnePlus 15 kini telah dibuka di Malaysia. Tempahan boleh dibuat melalui laman web Oppo Malaysia dari 3 hingga 13 November. Untuk menempah, anda hanya perlu meletakkan deposit sebanyak RM50, dan anda akan layak menerima Deal Pack bernilai RM1,217, yang termasuk kupon hadiah robot vakum Lefant M310 (bernilai 799).
Selain itu, pembeli OnePlus 15 juga kan menerima hadiah percuma fon putik Oppo Enco Buds3 (bernilai RM129) dan sarung pelindung Aramid Fiber Magnetic Case (bernilai RM239) yang kedua-duanya bernilai RM398, selagi stok masih ada.

Maklumat harga masih belum tersedia, tetapi anda boleh jangkakan harga OnePlus 15 lebih rendah berbanding flagship terbaru Oppo. Model Find X9 pro dengan RAM 16GB dan storan 512GB berharga RM5,099, tetapi lebih murah RM4,999 dalam tempoh pembelian awal.
Sebagai rujukan anda, OnePlus 13 sebelumnya dijual pada harga RM4,399 untuk RAM 16GB dan storan 512GB. Pada ketika itu, Find X8 Pro untuk RAM 16GB dan storan 512GB berharga RM4,999.
Spesifikasi OnePlus 15

OnePlus 15 antara telefon terawal yang diperkasa cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, dan dari segi, rekaan ia dilihat sangat mirip dengan model Find X9 Pro. Ia menampilkan saiz skrin sama 6.78″ jenis LTPO AMOLED BOE X3 beresolusi 1272 x 2772 dengan kecerahan puncak 1,800 nits, tetapi menyokong kadar segar semula lebih pantas 165Hz.
Untuk perlindungan, ia menggunakan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 dan juga menyokong kalis air dan debu IP69K. Peranti ini juga menyokong 5G, WiFi 7 dan Bluetooth 6.0.

Atas papan utama, OnePlus 15 dikuasakan SoC Snapdragon 8 Elite Gen 5 , dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB, sekurang-kurangnya untuk varian di China.
Di bahagian pengimejan pula, flagship terbaru OnePlus ini menampilkan tiga kamera belakang 50MP, sama seperti varian standard Find X9. Namun kali ini, ia tidak lagi menggunakan penjenamaan Hasselblad, sebaliknya hadir dengan sistem pengimejan Oppo Lumo.

Perkakasan kameranya merangkumi kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS , telefoto periskop 50MP f/2.8 OIS menyokong zum optikal 3.5x dan zum digital sehingga 120x, serta lensa ultralebar 50MP f/2.0. Manakala di bahagian depan terdapat kamera swafoto 32MP.

OnePlus 15 dimuatkan dengan tangki berkapasiti 7,300mAh, sedikit lagi kecil dari Find X9 Pro 7,500mAh dan didakwa mampu menawarkan masa main video sehingga 19 jam. Pengecasan pula boleh dilakukan pada 120W USB-C dan wayarles 50W. Menurut OnePlus, peranti boleh dicas ke 50% dalam masa 15 minit, manakala boleh dicas penuh dalam masa 40 minit.
								





