Infinix membuka tirai 2026 dengan memperkenalkan beberapa teknologi baharu di CES 2026. Di bawah tema “Joyful Tech, Beyond Limits”, jenama itu menunjukkan hala tuju baharu mereka dalam komunikasi, prestasi dan personalisasi peranti mudah alih. Antara yang diumumkan termasuk komunikasi satelit, sistem penyejukan generasi baharu, panel belakang interaktif, serta ekosistem modular berasaskan AI.
Salah satu tumpuan utama ialah penyelesaian komunikasi satelit pertama mereka yang direka untuk peranti pengguna. Menurut Infinix, liputan satelit dijangka meliputi hampir dua pertiga permukaan bumi, dengan kelajuan transmisi sekitar 4kbps. Ia bukanlah kelajuan tinggi, tetapi dikatakan memadai untuk memberikan panggilan suara HD dua hala dan penghantaran mesej.

Sistem ini juga menyokong panggilan menggunakan mod pembesar suara atau fon telinga Bluetooth, serta fungsi pembatalan bunyi angin. Infinix turut menyatakan bahawa tiada pendaftaran diperlukan untuk menggunakannya. Siri Note 60 bakal menjadi peranti pertama mereka yang hadir dengan teknologi komunikasi satelit ini.
Penyejukan generasi baharu untuk gaming

Beralih kepada prestasi, Infinix memperkenalkan teknologi penyejukan baharu yang dinamakan HydroFlow Liquid Cooling Architecture. Ia menggunakan Dual-Piezoelectric-Ceramic Single-Pump untuk memacu cecair berfluorin sehingga 6.5ml/min, dua kali lebih laju berbanding sistem penyejukan tradisional dan meliputi 100% komponen utama papan utama memberikan penyejukan lebih tepat dan efisien.
Selain itu, Infinix turut mempamerkan kipas piezoelectric tanpa bilah yang menggunakan helaian ultra nipis 0.1mm dan ia beroperasi pada 25,000 getaran sesaat bagi menghasilkan aliran udara bertekanan tinggi. Kecekapan penyejukan dikatakan sehingga 10 kali lebih baik berbanding kipas biasa.

Untuk memanfaatkan potensi sistem penyejukan ini, Infinix turut mempamerkan pengawal berasingan dengan pad sentuh sensitif tekanan besar, latensi rendah serta butang trigger wayarles dengan suis mikro.
Panel belakang dinamik

Dari segi reka bentuk, Infinix memperkenalkan Active Visual Backplate Technology. Panel belakang ini memaparkan visual dinamik tanpa penggunaan kuasa tambahan. Ia dicapai melalui gabungan struktur optik seperti Color-Changing Louvre, Dynamic Grating kadar bingkai tinggi, Naked-Eye 3D Film yang membolehkan panel berubah warna apabila terkena sudut cahaya tertentu, serta material termo-kromatik dan foto-kromik yang bertukar corak dan warna bergantung pada suhu dan cahaya ambien
Ekosistem modular AI

Satu lagi konsep baharu ialah AI ModuVerse, iaitu modul aksesori berasaskan AI yang boleh dipasang secara magnetik. Lima modul diperkenalkan setakat ini:
- Mic Modu (mikrofon pembatalan hingar)
- SportsCam Modu (kamera aksi)
- Meeting Modu (perakam suara)
- StackPower Modu (bateri tambahan)
- VlogCam Modu (penjejakan subjek + kawalan isyarat AI)
Walaupun banyak teknologi dipamerkan, Infinix belum mengesahkan bila semua inovasi ini akan memasuki pasaran. Buat masa ini, Infinix juga masih belum mengesahkan tarikh pelancaran siri Note 60 mereka, namun dijangka akan dilancar sekitar tahun ini. Sebelum ini, Infinix ada berkongsikan bahawa rekaan Note 60 dibangunkan hasil kerjasama dengan Pininfarina.






