Proton kini secara rasmi membuka tempahan untuk e.MAS 7 PHEV, model hibrid plug-in pertama di bawah rangkaian e.MAS. Menurut Pro-Net, harga anggaran untuk SUV ini ditetapkan antara RM110,000 hingga RM130,000, dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada Februari 2026.
Model ini sebelum ini membuat penampilan awam pertama pada Proton Tech Showcase pada Disember tahun lalu. Kemudian beberapa hari lepas Proton turut mendedahkan spesifikas penuh e.MAS 7 PHEV, sebelum sekarang memperlihatkan reka bentuk sebenar tanpa balutan buat kali pertama.
Promosi dan warna Proton e.MAS 7 PHEV

Pelanggan yang berminat kini boleh membuat tempahan Proton e.MAS 7 PHEV dengan bayaran RM99. Proton turut menawarkan rebat RM500 khusus untuk 5,000 pelanggan terawal sebagai sebahagian daripada pakej tempahan awal.
SUV plug-in hibrid ini ditawarkan dalam lima pilihan warna luaran termasuk hitam, putih, perak, kelabu dan biru bersama dua pilihan warna dalaman iaitu putih atau hitam, bergantung pada varian yang dipilih.
Spesifikasi Proton e.MAS 7 PHEV

Proton e.MAS 7 PHEV dibina berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA) khusus untuk kenderaan tenaga baharu Proton. Ia merupakan model ketiga dalam fasa pertama portfolio e.MAS, selepas e.MAS 7 EV dan e.MAS 5.
Menariknya, model PHEV ini berkongsi asas dengan beberapa model Geely di pasaran global seperti Starray EM-i dan EX5 EM-i, tetapi Proton memilih untuk menggunakan bateri yang lebih besar bagi varian tertentu untuk menawarkan jarak elektrik yang lebih panjang berbanding versi antarabangsa.
Untuk varian Premium+, e.MAS 7 PHEV dilengkapi bateri LFP Geely Aegis Short Blade berkapasiti 29.8kWh yang mampu memberikan jarak elektrik sehingga 170km mengikut piawaian NEDC, atau sekitar 146km berdasarkan WLTP.

Selain jarak yang lebih panjang, varian ini juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60kW, dua kali ganda lebih laju berbanding varian Prime dan Premium dan turut hadir dengan ciri tambahan seperti panoramic sunroof yang eksklusif untuk varian tertinggi. Dari segi jarak keseluruhan, Premium+ mampu mencapai 1,065km (NEDC) atau 996km (WLTP) apabila digabungkan dengan penggunaan enjin petrol.
Bagi varian Prime dan Premium pula, kedua-duanya menggunakan bateri LFP 18.4kWh daripada CATL, iaitu kapasiti yang sama dengan model kembar Geely di luar negara. Dengan bateri ini, e.MAS 7 PHEV mampu mencapai jarak elektrik sehingga 105km mengikut NEDC atau sekitar 83km WLTP, manakala jarak keseluruhan pula berada pada 1,000km (NEDC) atau 943km (WLTP).

Dari segi trenkuasa, ketiga-tiga varian e.MAS 7 PHEV berkongsi konfigurasi yang sama, menggabungkan enjin 1.5L empat-silinder NA berkuasa 73kW dengan tork 125Nm bersama motor elektrik berkuasa 160kW dan tork 262Nm. Gabungan kedua-duanya menghasilkan output maksimum 193kW atau 259hp, membolehkan SUV ini memecut 0–100km/j dalam sekitar 8.0 hingga 8.2 saat bergantung pada varian.

Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 170km/j. Penggunaan bahan api untuk varian Prime dan Premium berada pada 4.3L/100km, manakala Premium+ sedikit berbeza pada 4.4L/100km.
Bahagian dalamannya pula hampir sama seperti versi EV penuh e.MAS 7, baik dari segi reka bentuk mahupun susun atur. Ia menampilkan skrin infotainment besar 15.4 inci dengan resolusi 2.5K, bersama paparan instrument digital 10.2 inci. Sistem infotainment dijana oleh Flyme OS dan menyokong Android Auto serta Apple CarPlay.


Turut disertakan ialah peta pengecasan terbina untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan dan mencari stesen pengecasan terdekat. Upholsteri, kemasan material dan bentuk stereng juga kekal seiras dengan model EV.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang ciri keselamatan ADAS dan perbezaan antara Prime, Premium dan Premium+, anda boleh lihat artikel kami sebelum ini.






