Samsung telah melancarkan siri Galaxy S26 dalam acara Galaxy Unpacked tahun ini. Seperti biasa, ia masih terdiri daripada tiga model, Galaxy S26, Galaxy S26 Plus dan Galaxy S26 Ultra.
Siri Galaxy S26 baharu tampil dengan pembaharuan dari segi reka bentuk, di samping pengenalan pelbagai ciri AI baharu serta fungsi perlindungan privasi skrin. Jadi, ini segala perkara yang anda perlu tahu tentang siri Galaxy S26.
Spesifikasi Samsung Galaxy S26 Ultra

Kita mulakan dengan varian tertinggi, Galaxy S26 Ultra. Ia merupakan model yang menerima perubahan paling ketara dari segi reka bentuk, dengan bentuknya kini kurang berkotak berbanding sebelum ini dan lebih menyerupai model lain dalam siri. Malah, badan S26 Ultra juga kini lebih nipis berukuran 7.9mm berbanding 8.2mm di model sebelumnya, dengan berat 214g.

Bukan itu sahaja, S26 Ultra juga telah beralih menggunakan bingkai Armor Aluminium dan bukan lagi titanium seperti sebelum ini. Ini bermakna semua barisan kini menggunakan bingkai yang sama. Tahap penarafan masih kekal pada IP68, dan di hadapan, kaca Corning Gorilla Glass Armor 2 melindungi skrinnya.

Paparan yang digunakan kekal sama, bersaiz 6.9″ jenis Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi QHD+ (3120 x 1440), kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 2,600 nits.


Namun begitu, apa yang baharu pada skrin model S26 Ultra adalah ciri Privacy Display. Ciri ini membolehkan skrin digelapkan apabila dipandang dari sudut tertentu untuk mengelakkan orang lain mengintai di tempat awam, sambil skrin kekal boleh dilihat dengan jelas dari depan. Ciri ini boleh diakses melalui Quick Panel, dan pengguna bukan sahaja boleh gelapkan keseluruhan skrin, malah boleh pilih untuk sembunyikan bahagian tertentu sahaja seperti notifikasi atau kata laluan.

Atas papan utama, Galaxy S26 Ultra dikuasakan cip Qualcomm terbaik pada ketika ini, Snapdragon 8 Elite Gen 5. Samsung mengatakan cip ini tawarkan peningkatan CPU 19%, GPU 24%, dan NPU 39% berbanding generasi sebelum ni. Ia dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 512GB, atau RAM 16GB dengan storan 1TB. Model ini turut menampilkan Vapor Chamber yang direka semula, dengan bahan antara muka terma (thermal interface material) di sebelah pemproses, membolehkan haba disebarkan dengan lebih cekap ke permukaan yang lebih luas untuk penyejukan yang lebih baik.

Untuk bahagian kamera, sementara ia mengekalkan tiga kamera sama seperti seblum ini, Samsung kini memberikan bukaan apertur lebih besar untuk kamera utama dan telefoto periskop. Kamera utama 200MP-nya kini ada lensa f/1.4 berbanding f/1.7, dengan telefoto periskop menggunakan lensa f/2.9 berbanding f/3.4. Jadi anda boleh jangkakan imej yang lebih cerah daripada dua kamera ini.
Kamera lain kekal sama, kamera telefoto 10MP f/2.4 dan kamera ultralebar 50MP f/1.9. Kedua-dua kamera telefoto masih menyokong zum optik 5x dan 3x, manakala untuk selfie, Samsung kekal gunakan kamera 12MP di hadapan.

Selain daripada perkakasan, Samsung juga dah tambah baik sistem pengimejan siri Galaxy S26. Ciri Nightography mampu berikan hasil tangkapan malam yang lebih cerah, dan Image Signal Processor dipertikatkan dengan AI untuk memberikan hasil selfie dengan tona kulit lebih cantik. Untuk rakaman, Samsung juga kini memperkenalkan Super Steady Video dengan Horizontal Lock, berikan hasil rakaman video kurang gegar.

Kapasiti bateri yang dibekalkan masih 5,000mAh, kapasiti yang sama sejak model Ultra pertama, Galaxy S20 Ultra diperkenalkan 6 tahun lalu. Namun yang bagusnya kali ini, Samsung memberikan sokongan pengecasan yang lebih pantas, 60W berwayar dan 25W tanpa wayar untuk S26 Ultra. Ini merupakan peningkatan berbanding 45W dan 15W sebelum ini.
Seperti generasi sebelumnya, tiada sambungan Bluetooth untuk S Pen pada Galaxy S26 Ultra.
Spesifikasi Galaxy S26 dan S26 Plus

Untuk Galaxy S26 dan S26 Plus, selain diberikan reka bentuk yang sedikit baharu, perkakasan dalaman sebenarnya banyak yang tidak berubah, terutamanya untuk model S26+.

Galaxy S26 Plus masih dilengkapi skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.7″ dengan resolusi QHD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 2,600 nits. Ia juga masih menggunakan bateri 4,900mAh dengan sokongan pengecasan 45W melalui USB-C. Ia juga masih menggunakan bateri 4,900mAh dengan sokongan pengecasan 45 USB-C. Satu perubahan yang ada adalah pengecasan tanpa wayar kini sedikit lebih pantas pada 20W berbanding 15W di model terdahulu.

Bagi pasaran Malaysia, kedua-dua Galaxy S26 dan Galaxy S26 Ultra diperkasa dengan cip Exynos 2600.
Untuk model Galaxy S26 biasa, perubahan yang diberikan lebih banyak berbanding S26+. Antaranya, ia kini mempunyai skrin sedikit lebih besar 6.3″ jenis Dynamic AMOLED 2X 120Hz pada resolusi FHD+. Bahagian bateri juga dipertingkat dengan kapasiti 4,300mAh, 300mAh lebih besar daripada S25. Bateri ini boleh dicas lebih pantas pada kuasa 35W, namun pengecasan tanpa wayar kekal pada 15W.

Untuk pengimejan, konfigurasi kamera kekal tidak berubah pada kedua-dua model. Galaxy S26 dan Galaxy S26+ masih didiatangkan dengan kamera utama 50MP, kamera telefoto 10MP dengan sokongan zum optikal 3x, dan kamera ultralebar 12MP. Kamera selfie 12MP juga masih ada untuk anda mengambil selfie.
Lebih banyak ciri baru dengan One UI 8.5
Sejurus keluar kotak, siri Galaxy S26 akan menjalankan One UI 8.5 berasaskan Android 16. Sistem operasi ini hadir dengan lebih banyak AI pintar yang lebih menyeluruh.

Antaranya adalah Creative Studio yang membolehkan pengguna mengedit imej menggunakan arahan teks. Ciri AI Audio Eraser juga dipertingkat dan kini boleh digunakan untuk aplikasi seperti YouTube, Netflix dan Instagram untuk membuang bunyi latar yang tidak diingini. Sementara itu, Circle to Search kini lebih bijak kerana mampu mengenal pasti dan membuat carian untuk beberapa objek serentak dalam satu paparan.

Selain itu, terdapat juga fungsi Now Nudge yang memberikan cadangan masa nyata berdasarkan konteks di skrin. Sebagai contoh, jika rakan bertanya bila anda lapang, sistem boleh mencadangkan tindakan terus di papan kekunci seperti membuka kalendar untuk menyemak jadual. Ciri Now Brief pula ditambah baik agar lebih proaktif dan diperibadikan. Ia bukan sahaja memaparkan maklumat penting seperti tempahan yang telah dibuat, malah boleh mencadangkan tindakan susulan, contohnya mengesyorkan perkhidmatan e-hailing untuk ke lokasi berkenaan.

Siri Galaxy S26 turut diintegrasikan dengan pilihan agen AI seperti Gemini dan Perplexity, memberi pengguna lebih banyak pilihan dalam menggunakan pembantu pintar. Ia juga hadir dengan Agentic AI, yang membolehkan tugasan dibuat secara automatik terus melalui Gemini. Contohnya, pengguna boleh menempah Uber tanpa perlu membuka aplikasi berasingan. Samsung turut memaklumkan bahawa sokongan untuk Grab akan diperkenalkan pada masa akan datang.
Selain itu, Samsung memperkenalkan fungsi Call Screening, di mana Galaxy AI boleh membantu menjawab dan menapis panggilan bagi pihak anda
Harga siri Samsung Galaxy S26 di Malaysia

Berikut adalah harga jualan siri Galaxy S26 di Malaysia:
- Galaxy S26 Ultra 1TB – RM7,999
- Galaxy S26 Ultra 512GB – RM6,799
- Galaxy S26+ 512GB – RM6,199
- Galaxy S26 512GB – RM5,199
Untuk mereka yang berminat, siri Galaxy S26 boleh dipratempah bermula 26 Februari hingga 10 Mac 2026, dengan Samsung menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,200 termasuk naik taraf storan berganda percuma, Samsung Rewards Points Booster serta rebat segera RM700 apabila menggunakan kad bank terpilih.
Pembeli juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM4,000 melalui program Galaxy Forever trade-in, diskaun 30% untuk aksesori terpilih, serta pelan ansuran 0% faedah sehingga 36 bulan di bank yang mengambil bahagian.






