Xiaomi dilihat sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan telefon baharu di bawah jenama Poco tidak lama lagi. Melalui teaser yang dikongsi, Xiaomi akan melancarkan siri Poco X8 Pro pada 17 Mac 2026 pada jam 8 malam, iaitu tidak lama selepas acara pelancaran global Oppo Find N6.
Seperti biasa, pelancarannya boleh ditonton orang ramai secara langsung melalui Facebook, YouTube atau laman rasmi mi.com.

Kali ini, siri ini hadir dalam dua model Pro, iaitu Poco X8 Pro dan Poco X8 Pro Max, berbeza dengan siri Poco X7 yang mempunyai model biasa. Seperti kebiasaan, tempahan awal dijangka dibuka sejurus selepas acara pelancaran, bersama tawaran harga promosi awal untuk pembeli terawal.
Apa yang boleh dijangka daripada Poco X8 Pro?

Walaupun siri Poco X biasanya berada dalam kategori telefon kelas pertengahan, siri Poco X8 Pro dikatakan akan hadir dengan cip generasi baharu dengan prestasi setaraf flagship.
Ini termasuk penggunaan MediaTek Dimensity 8500 Ultra untuk model Poco X8 Pro, manakala Dimensity 9500s untuk model Poco X8 Pro Max. Menariknya, kedua-dua cip ini akan membuat debut global pertama mereka pada peranti ini.

Dari segi asas perkakasan, kedua-dua model ini dipercayai merupakan versi global kepada Redmi Turbo 5 dan Redmi Turbo 5 Max yang dijual di China.
Berdasarkan spesifikasi model tersebut, Poco X8 Pro dijangka hadir dengan skrin 6.59″ beresolusi FHD+ bersama bateri 7,560mAh. Sementara itu, Poco X8 Pro Max pula mungkin menggunakan skrin lebih besar 6.83″ FHD+ dengan bateri yang lebih besar sehingga 9,000mAh.

Untuk bahagian kamera, kedua-dua model berkongsi setup yang sama, kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultralebar 8MP, dan kamera selfie 20MP. Kedua-duanya turut dilengkapi pembesar suara stereo, kalis air dan debu IP68/IP69K, pengecasan wired 100W, serta sokongan pengecasan terbalik 27W.
Perlu diingatkan, kemungkinan ada sedikit perubahan perkakasan untuk pasaran global, termasuk kapasiti bateri yang mungkin sedikit lebih kecil berbanding versi China.
Maklumat penuh mengenai spesifikasi, harga dan ketersediaan siri Poco X8 Pro dijangka diumumkan secara rasmi semasa acara pelancaran pada minggu hadapan.






