Oppo telah melancarkan secara rasmi Find N6 dalam majlis pelancaran global yang diadakan di Shenzhen, China. Menggantikan Find N5 tahun lalu, Find N6 hadir dengan pelbagai penambahbaikan ketara antaranya paparan yang hampir bebas kesan lipatan, reka bentuk nipis dan ringan, prestasi yang lebih berkuasa, serta sistem kamera Hasselblad yang dinaik taraf.
Sejurus pengumuman di pentas antarabangsa, Oppo Malaysia turut mengumumkan ketersediaannya di pasaran tempatan bersama tawaran menarik bernilai sehingga RM2,297.
Harga dan ketersediaan Oppo Find N6 di Malaysia


Peminat di Malaysia tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan Find N6. Peranti ini akan tersedia di Malaysia bermula 20 Mac 2026, dan dijual secara rasmi pada harga RM8,688 untuk konfigurasi 16GB+512GB. Ini bermakna terdapat sedikit peningkatan harga berbanding RM7,999 pada model sebelumnya.
Tempahan boleh dilakukan sehingga 19 Mac di edai jenama Oppo, Oppo Space, pengedengar sah Oppo, stor rasmi Lazada, Shopee dan TikTok. Pembeli juga akan menerima hadiah bernilai sehingga RM2,297, termasuk jam pintar Oppo Watch S, robot vakum LeFant M320, kit Oppo AI Pen dan keistimewaan ahli My Oppo.
Spesifikasi Oppo Find N6

Oppo Find N6 mengekalkan reka bentuk telefon lipat seperti generasi sebelumnya, dengan badan nipis setebal 8.93mm apabila dilipat dan hanya 4.2mm apabila dibuka. Pada masa sama, ia kini lebih ringan dengan berat sekitar 225g berbanding 229g.


Dari segi ketahanan, Find N6 hadir dengan rangka aluminium 7000-series dan engsel titanium gred tinggi. Ia turut mendapat pensijilan rintangan air dan debu IP56, IP58, dan IP59, bermakna ia bukan sahaja tahan percikan air biasa, malah boleh menahan semburan air bertekanan dan bersuhu tinggi.
Untuk ketahanan lipatan pula, Find N6 disahkan mampu bertahan sehingga 600,000 kali lipatan melalui pensijilan TÜV Rheinland.

Salah satu perkara diketengahkan pada Find N6 adalah skrinnya tampil dengan teknologi “Zero-Feel Crease”, yang menjadikan kesan lipatan hampir tidak dapat dirasai atau dilihat. Menurut Oppo, ini dicapai melalui penggunaan engsel baharu 2nd Generation Titanium Flexion Hinge, yang digabungkan dengan teknologi 3D Liquid Printing untuk menghasilkan permukaan yang lebih rata.
Selain itu, Oppo turut menggunakan Auto-Smoothing Flex Glass, yang membantu mengurangkan kedalaman lipatan sehingga 82% berbanding generasi sebelumnya.

Dari segi saiz skrin, Find N6 dilengkapi skrin luar 6.62 inci dengan bezel simetri yang sangat nipis iaitu 1.4mm, manakala skrin dalam pula bersaiz 8.12 inci. Kedua-dua skrin menyokong kadar refresh LTPO 120Hz dan kecerahan puncak 1,800 nits, dengan skrin dalam mampu mencapai 2,500 nits untuk kandungan HDR. Sokongan PWM dimming 2,160Hz turut disertakan untuk perlindungan mata semasa penggunaan berpanjangan.

Find N6 tersedia dalam dua warna Stellar Titanium dan Blossom Orange yang menampilkan aksen emas tulen pada bahagian engsel.
Untuk prestasi, Find N6 ditenagakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dengan 7 teras CPU, satu teras kurang berbanding versi biasa sama seperti generasi sebelumnya. Cip itu dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 512GB.
Dari segi bateri, ia hadir dengan kapasiti 6,000mAh, antara terbesar dalam kategori telefon lipat, dengan sokongan pengecasan pantas 80W serta pengecasan tanpa wayar 50W.

Find N6 memperkenalkan sistem Hasselblad Master Camera baharu yang terdiri daripada tiga kamera belakang. Ia merangkumi kamera utama 200MP, kamera ultralebar 50MP yang menangkap 50% lebih cahaya berbanding generasi sebelumnya, serta kamera telefoto periscope 50MP dengan zum optikal 3x dan sokongan tele-makro.

Turut disertakan adalah sensor True Color Camera yang pertama kali diperkenalkan pada siri Find X9, memastikan white balance yang tepat dan warna yang lebih natural pada setiap gambar. Untuk mod kreatif, pengguna boleh gunakan Hasselblad Portrait Mode untuk bokeh setara DSLR, Hasselblad Master Mode untuk kawalan manual penuh, dan Hasselblad XPAN Mode untuk tangkapan sinematik dalam nisbah ikonik 65:24.
Dari segi video pula, ketiga-tiga kamera belakang menyokong rakaman 4K 60fps Dolby Vision, manakala kamera utama 200MP mampu merakam sehingga 4K 120fps Dolby Vision. Sokongan Log video turut disertakan untuk aliran kerja color grading yang lebih profesional.

Sebagai peranti boleh lipat, Find N6 turut memberi tumpuan kepada produktiviti. Ciri Free-Flow Window membolehkan pengguna membuka sehingga empat aplikasi serentak dalam tetingkap yang boleh dilaraskan saiz dan nisbahnya mengikut keperluan.
Selain itu, terdapat juga Oppo AI Pen, sstylus pintar dengan 4,096 tahap sensitiviti tekanan yang boleh digunakan pada skrin dalam dan luar. Selain fungsi asas seperti menulis nota dan anotasi, AI Pen turut menyokong Circle to Capture, AI Chart untuk menukar draf kepada jadual profesional, dan AI Image untuk mengubah lakaran tangan kepada karya berkualiti tinggi.
Sejurus keluar kotak, peranti akan menjalankan ColorOS 16 berasaskan Android 16, yang dioptimumkan untuk telefon lipat. Ia turut membawa pelbagai ciri AI termasuk AI Mind Space, AI Recording, dan AI Motion Photo Popout, selain sokongan O+ Connect.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Find N6.






