Selepas Galaxy S9 dilancarkan pada awal tahun, maka siri Note pula akan menyusul dalam separuh kedua tahun ini. Samsung telah menyatakan dengan jelas pelancaran Galaxy Note9 dalam satu video petunjuk yang telah mereka keluarkan.
Kebiasannya, model Note akan mengikuti ciri-ciri yang terdapat pada siri Galaxy S yang dilancarkan lebih awal. Seperti Galaxy Note8 mengikuti Galaxy S8, dan Galaxy Note7 (arwah memang baik orangnya) mengikuti Galaxy S7.
Change is coming August 9th 2018. Can you keep up? #Unpacked pic.twitter.com/ToJkS28eXc
— Samsung Mobile (@SamsungMobile) June 27, 2018
Tetapi mungkin Galaxy Note9 akan tampil dengan lebih banyak perbezaan dari Galaxy S9. Dari video petunjuk yang diperlihatkan, ia menunjukkan S-Pen yang menjadi ikon kepada siri Galaxy Note, di dalam warna kuning. Ia warna yang tidak pernah muncul dalam siri Galaxy Note, mahupun siri Galaxy S.
Tiada perkara lain yang ditunjukkan lagi dalam video tersebut, selain tarikh pelancarannya akan dibuat pada 9 Ogos 2018. Apakah ciri yang luar biasa akan Samsung tampilkan dalam Galaxy Note9? Pengimbas capjari atas skrin? Atau pengimbas capjari pada S-Pen?
Tidak juga dinyatakan lokasi pelancaran. Sebelum ini, Samsung melancarkan Galaxy Note8, Galaxy S8 dan Galaxy Note7 di New York, Amerika Syarikat. Tetapi mereka mengubah lokasi pelancaran Galaxy S9 kembali ke pameran MWC di Barcelona, Sepanyol.
Malaysia merupakan salah satu pasaran penting buat Samsung, jadi boleh dijangkakan negara kita dalam gelombang pertama penjualannya. Mungkin pengumuman tempahan di Malaysia akan turut dibuat sejurus lepas pelancarannya pada 9 Ogos kelak.
Buat rujukan, Galaxy Note8 dilancarkan tahun lepas pada harga RM3,999 dengan storan 64GB. Manakala Galaxy S9 64GB pula berharga RM3,299 dan Galaxy S9+ 64GB pula RM3,799. Semua harga ini termasuk GST 6%. Berapa pula harga Galaxy Note9 kelak, sempat tak ia menikmati GST 0% nanti?