Mobile Number Portability (MNP) adalah servis yang mula ditawarkan untuk talian mudah alih dalam tahun 2008. Menerusi MNP, pengguna boleh mengekalkan nombor telefon mereka walaupun telah melompat telco.
Namun, perasan tak anda MNP sehingga kini masih tiada untuk talian tetap sedangkan telco-telco lain turut menyediakan servis talian tetap. Hal ini bermakna, setiap kali ingin bertukar penyedia, anda akan menerima nombor baharu.
Semua telco ada servis FNP kecuali TM
Menurut satu laporan awam yang diterbitkan dalam tahun 2021, semua penyedia perkhidmatan talian tetap menyokong FNP kecuali Telekom Malaysia (TM). Tidaklah mengejutkan kerana TM memegang lebih 90% pasaran talian tetap.
Menurut NUMSYM, mereka memiliki 28,568,000 nombor untuk digunakan sedangkan telco lain hanya diberikan kurang 3 juta setakat 31 Mei 2021.
5 Sebab TM anti FNP
TM dalam masa yang sama menggariskan 5 sebab kenapa FNP tidak perlu dikuatkuasakan.
Sebab yang pertama adalah ketakseimbangan pasaran masa ini akan menyebabkan TM kerugian. Mereka sedar yang dengan 90% pegangan pasaran, nombor tersebut tidak akan terus meningkat dengan FNP.
Sebab yang kedua adalah perniagaan talian tetap dilihat mereka tidak bertumbuh, malah mendatar. Ada 6.4 juta pelanggan talian tetap diluar sana berbanding 43 juta pelanggan talian mudah alih. Makanya TM percaya yang FNP tidak akan menyebabkan harga servis berkurangan.
Sebab yang ketiga adalah FNP akan menyebabkan fokus dan sumber diarahkan pada tempat yang salah. TM menyarankan pihak berkuasa untuk fokuskan pada menaik taraf servis dan liputan jalur lebar dan mudah alih.
Sebab yang keempat adalah TM tidak melihat FNP sebagai antipersaingan. Perniagaan yang menukar nombor dengan mudahnya boleh memaklumkan kepada pelanggan tentang perubahan melalui saluran-saluran digital sedia ada.
Sebab yang kelima adalah TM rasakan FNP akan menambah kekompleksan dan kos kepada mereka berbanding manfaat yang boleh mereka tuai.
Tidaklah boleh disangkal lagi talian tetap adalah tunjang belakang kepada TM. Itulah produk pertama mereka sewaktu awal kewujudannya.
Dalam tahun 2020, mereka mencatatkan perolehan setinggi RM10.84b. Daripada jumlah itu, RM4.62b disumbang daripada Unifi, tempat servis talian tetap berada.
FNP disasar akan diperkenal secara berperingkat
Menurut MCMC, mereka mensasarkan untuk memperkenalkan FNP sebelum 2022 berakhir tapi bukan secara total. Sebagai permulaa, mereka ingin sasarkan pada FNP dalam negeri sahaja. Contohnya, sekiranya ada ada kod kawasan 03, anda boleh bawa nombor itu ke lokasi baharu yang juga berada dalam kod kawasan 03.