Sekarang ini ada banyak berita mengenai inflasi yang pastinya membimbangkna ramai individu. Jadi, bagaimana anda uruskan wang untuk menghadapinya? Tidak kira sama ada anda bujang ataupun berkeluarga, menguruskan wang dengan baik adalah perkara yang penting untuk dilakukan supaya kehidupan anda berjalan dengan lancar. Oleh itu, untuk memastikan ada simpanan dilakukan dan wang dibelanjakan ke saluran yang bertul, berikut merupakan 3 perkara yang boleh dijadikan rujukan untuk menguruskan duit anda.
1. Simpan di tempat senang masuk, susah keluar
Anda perlu sediakan wang untuk disimpan dalam jangka masa yang lama. Apabila anda sudah putuskan jumlahnya, anda dicadangkan untuk pilih platform yang memudahkan anda untuk masukkan duit, tapi rumit untuk keluarkannya. Dengan langkah ini, anda akan fikir beberapa kali sebelum mengambil wang simpanan anda itu.
Antara platform yang boleh digunakan ialah ASB. Anda boleh simpan wang dengan mudah secara dalam talian melalui myASNB. Malah, ada beberapa perbankan dalam talian turut menyediakan kemudahan menghantar wang ke akaun ASB. Untuk keluarkannya, anda perlu masuk ke platform yang sama, tapi duit akan diterima dalam tempoh 24 jam hari bekerja. Atau pergi ke pejabat pos dan kaunter bank terpilih.
Selain itu, anda turut mempunyai pilihan untuk simpan wang di dalam aplikasi MAE Maybank melalui ciri Tabung. Di situ, anda boleh tetapkan sasaran yang ingin di simpan serta tempoh untuk mencapai matlamat itu. Wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, tapi sanggupkah anda lihat tabung anda tidak mencapai sasaran simpanan?
2. Belanjakan wang untuk naik taraf diri
Perkara bermanfaat yang boleh anda lakukan dengan wang, ialah belanjakannya untuk naik taraf diri. Maksudnya, anda laburkan duit itu untuk jadikan diri anda lebih mahir dalam sesuatu bidang atau untuk dapatkan pengetahuan yang baru.
Contohnya adalah dengan membeli buku panduan berkenaan bidang yang anda suka, seperti buku perniagaan atau teknologi. Anda boleh juga belanjakannya untuk sertai kursus dalam talian seperti Redbeat Academy AirAsia. Ada banyak kursus boleh dipelajari di situ, antaranya Pemasaran Digital, Reka Bentuk UX, Analisis Data dan banyak lagi.
3. Belanja pada perkara yang boleh tolak cukai pendapatan
Selain itu, pertimbangkan juga untuk belanjakan wang bagi perkara yang boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan. Dengan cara ini, anda akan dapat mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar kelak. Jadi di sini, anda dapat berbelanja dan bayaran cukai juga kurang. Antara perkara yang boleh dapat pelepasan cukai ialah, pembelian telefon atau komputer peribadi, bayar bil bulanan untuk langganan internet, pembelian atau langganan buku dan banyak lagi.
Anda boleh bajet wang untuk disimpan dan digunakan berdasarkan pendapatan anda. Boleh juga dimulakan dengan jumlah yang sikit dan tingkatkannya pada bulan yang akan datang. Yang terbaik ialah, anda mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 3 bulan gaji. Sebab, jika berlaku hal kecemasan seperti hilang pekerjaan atau sakit, anda bolehlah gunakan duit tersebut untuk menampung kos sara hidup bagi tempoh tiga bulan.
Paling penting ialah, anda perlu konsisten menyimpan duit dan mesti ada disiplin diri. Pastikan anda tidak menggunakan duit yang telah disimpan sebelum waktunya.
[Sumber: iProperty]
[Sumber gambar: Finance Buzz]