Anda pernah berimpian mahu miliki laptop dengan skrin besar? Contohnya seperti kedua-dua bahagian laptop anda itu adalah skrin sepenuhnya dan bukannya papan kekunci? Jika pernah, Asus nampaknya boleh realisasikan impian itu melalui Asus Zenbook 17 Fold OLED.
Sebenarnya, ini bukanlah laptop pertama seumpamanya sebab ada juga peranti lain yang datang dengan skrin boleh lipat, contohnya Lenovo ThinkPad X1 Fold. Rakan saya Rory telah berpeluang melihat latop tersebut. Dia dapati laptop itu mengagumkan tapi tidak berpuas hati dengan perisian Windows 10 yang tiada keserasian dengan tablet itu.
Persoalannya, dengan Windows 11, mampukah Asus jadikan laptop boleh lipat lebih berguna kepada pengguna? Rory ada kongsikan pendapatnya mengenai laptop baru Asus ini melalui video di bawah:
Berfungsi dengan baik tapi bukan untuk game
Dari segi prestasi, ini adalah salah satu cip Intel siri-U Generasi ke-12 pertama yang kami cuba. Siri-U ialah pemproses Intel untuk peranti berkuasa rendah dengan hanya TDP 15W. Tidak seperti pemproses mudah alih Intel generasi sebelumnya, cip siri-U boleh dikonfigurasikan sama ada dalam 25W atau 15W. Kini semua cip 25W dikelaskan sebagai cip siri-P.
Zenbook 17 Fold OLED, didatangkan dengan Intel Core i7-1250U. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5 16GB dan SSD 1TB. Laptop ini berfungsi cukup baik untuk aktiviti harian seperti penulisan dan beberapa suntingan media yang mudah. Kami turut jalankan beberapa penanda aras padanya dan sebahagian besar ujian sintetik juga menyatakan perkara yang sama.
Untuk game pula, isu terbesar yang saya hadapi adalah untuk jalankan permainan itu sendiri. Disebabkan nisbah paparan yang luar biasa besar, cubaan untuk muatkan permainan pada skrin adalah rumit. Contohnya melalui permainan Total War: Three Kingdoms dan F1 22, ia dilancarkan hanya di sebelah kiri paparan apabila dilipat. Ia juga tidak memenuhi skrin penuh dengan betul pada mulanya. Ini memerlukan kepada beberapa pengubahsuaian tetapan dibuat sebelum ia benar-benar berjalan dengan baik.
Keseluruhan perisian dan pengalaman UI yang diberikan adalah baik. Putaran automatik pada skrin berfungsi dengan pantas. Apabila papan kekunci dipasang pada separuh kanan paparan, Zenbook 17 Fold OLED secara automatik akan beralih ke mod laptop. Pengalaman sentuhan pada skrin juga baik.
Hayat baterinya juga cukup memuaskan. Ia bertahan sekitar 5-6 jam apabila laptop bekerja pada kira-kira 50-70% kecerahan pada kebanyakan masa. Ini merupakan campuran antara mod laptop dan desktop. Saya juga biarkan banyak perkara berjalan di latar belakang, seperti Photoshop, Discord, Slack, Spotify dan Chrome. Tapi hasilnya, laptop menjadi sedikit suam. Suhunya mencecah setinggi 99°C semasa proses penilaian.
Visual cantik tapi kualiti engsel & kickstand meragukan
Perkara menarik pada laptop ini adalah paparan OLED 17.3″, 2560 x 1920p yang menyerlah dan mengagumkan. Warna hitam yang dipaparkan sangat gelap, manakala kontras di sini jauh lebih baik berbanding laptop biasa.
Bagi saya, menonton video melalui laptop dengan skrin boleh lipat ini merupakan satu pengalaman yang seronok. Untuk dapatkan mod desktop, saya hanya perlu tegakkan stand di bahagian belakang skrin. Untuk jadikannya laptop FHD+ 12.5-inci pula, saya cuma perlu lipat separuh skrin yang besar tadi, kemudian letakkan papan kekunci pada bahagian bawah. Walaupun tampil kecil, prestasinya tetap sama.
Namun, saya dapati yang bezel pada Zenbook 17 Fold OLED sangat besar. Ia memberi kesan buruk apabila laptop ini dikecilkan pada paparan 12.5″ sebab saya rasa laptop tiba-tiba menjadi padat dan nampak seperti laptop yang dibuat pada tahun 2012.
Dalam masa yang sama, apabila saya cuba gunakan Zenbook 17 Fold OLED sebagai tablet 17.3-inci, prosesnya sedikit rumit sebab saya sukar untuk mengimbanginya pada satu kaki. Berat untuk saya pegang dengan tangan, maka saya baringkannya sahaja.
Pada bahagian belakang, Zenbook 17 Fold OLED disertakan dengan beberapa amaran, seperti jangan pegangnya berhampiran bahagian engsel dan berhati-hati apabila membuka dan menutupnya.
Untuk engselnya, ia ditutup dengan kulit tiruan. Jadi saya tidak yakin dengan kualitinya. Malah, kickstand yang ada juga ringkas dan nampak murah, bukannya kickstand padat yang boleh dilihat pada peranti seperti Surface Pro atau ROG Flow Z13. Ia juga tidaklah boleh dilaras.
Bersama laptop ini, Asus ada sertakan satu beg sarung kulit tiruan. Jadi sebaik sahaja anda tutup peranti bersama papan kekunci diapit di dalamnya, anda boleh terus simpan laptop ini ke dalam bag dengan mudah.
Pad sentuh pada papan kekunci bermasalah
Papan kekunci Bluetooth yang disertakan berfungsi dengan baik tapi adakalanya pad sentuhnya pula bermasalah. Ia kerap berhenti berfungsi dan ada juga tidak berfungsi dengan lancar. Jadi, Asus perlu menguji semula bahagian ini.
Untuk papan kekunci, saya tak suka cara ia melekat pada Zenbook 17 Fold OLED. Papan kekunci ini mempunyai beberapa magnet di bahagian bawah, ia perlu dilekatkan pada bezel laptop.
Saya sangat berharap Asus sebaliknya menggunakan pin pogo untuk sambungkan papan kekunci pada skrin dan bukannya magnet. Dalam hal ini, saya lebih suka ROG Flow Z13 yang membolehkan anda ambil papan kekunci melalui pin pogo.
Di samping itu, ini merupakan papan kekunci Bluetooth. Ia bermakna anda perlu casnya secara berasingan daripada laptop. Kebiasaannya, apabila anda tutup skrin pada laptop, semuanya akan dimatikan, betul? Tapi ia tidak berlaku pada Zenbook 17 Fold OLED. Sebab terdapat suis pada sisi papan kekunci Bluetooth yang perlu anda hidup dan matikan.
Disebabkan saya selalu fikir ini adalah laptop biasa, maka saya selalu lupa untuk matikan papan kekunci. Apabila saya datang pejabat keesokan harinya untuk gunakan laptop, saya dapati papan kekunci mati kerana saya biarkannya menyala sepanjang malam.
Oleh itu, untuk peranti versi seterusnya, Asus mungkin boleh kekalkan sambungan Bluetooth pada papan kekunci, tapi tampilkan pin pogo padanya. Jadi, apabila bateri papan kekunci habis, saya boleh hidupkannya dalam mod laptop dan papan kekunci dapat menarik kuasa melalui pin pogo secara terus.
Selain itu, isu kecil lain yang saya jumpa pada Zenbook 17 Fold OLED ialah ia hanya mempunyai dua port USB-C untuk I/O. Walaupun miliki pembesar suara yang cukup kuat tapi sayang sekali sebab ia hasilkan bunyi pecah (hollow). Namun, semua masalah ini masih tidak seteruk papan kekunci yang tersedia.
Berbaloikah dapatkan Zenbook 17 Fold OLED?
Dengan ketepikan masalah papan kekunci, saya boleh katakan ini adalah salah satu peranti paling hebat yang ada di pejabat SoyaCincau. Tapi laptop ini merupakan generasi pertama. Ini bermakna, jika anda benar-benar mahukannya, anda perlu berhadapan masalah yang sering terjadi untuk peranti generasi pertama, seperti masalah pada papan kekunci tadi. Contohnya papan kekunci itu perlu di caj berasingan, perlu dimatikan apabila tidak diguna untuk elak kehabisan bateri dan pad sentuh tidak berfungsi dengan baik.
Ia juga besar dan berat, maka anda perlu berhati-hati semasa mengendalikannya. Jika anda hadapi masalah, agak susah untuk anda cari jawapan di dalam talian sebab mungkin hanya segelintir orang sahaja yang gunakan peranti ini.
Walaupun anda tetap boleh ketepikan semua isu itu disebabkan minat kepada laptop lipat, isu terbesar di sini ialah harganya. Jika anda bercadang untuk dapatkan Zenbook 17 Fold OLED, maka anda perlu sediakan RM14,999! Bagi saya, ini adalah jumlah yang besar untuk jadi penguji beta bagi prototaip ini.
Secara peribadi, dengan harga RM14,999 lebih baik saya pilih untuk dapatkan tablet permainan ROG Flow Z13. Sebab ia merupakan peranti yang unik tapi lebih murah dan boleh digunakan untuk bermain game. ROG Flow Z13 boleh didapatkan pada harga serendah RM7,999. Bukan itu sahaja, tablet tersebut juga nipis dan beratnya cuma 1.1kg, sudah tentu ia mudah di bawa.
Ini merupakan reviu asal dari kawan saya, Raymond. Anda boleh baca artikel asalnya di sini.