Zaman pandemik COVID telah meningkatkan permintaan untuk penapis udara di dalam rumah dan pejabat. Ia digunakan untuk membasmi bakteria dan kuman di dalam udara supaya penularan jangkitan dapat dikurangkan.
Tetapi sebagai orang yang tak pernah membeli dan memiliki penapis udara selama ini, saya sendiri ragu-ragu dengan keupayaan penapis udara. Secara pandangan kasar dan rasa fizikal, penapis udara seperti tidak membawa apa-apa kebaikan. Apa yang ada, hanyalah kenyataan saintifik serta penerangan pengeluar bahawa ia boleh menjadikan kualiti udara lebih baik.
Kerana itu, saya mengambil peluang untuk mencuba sendiri penapis udara berkuasa tinggi yang dihasilkan oleh Acer. Nama modelnya agak susah disebut dan diingati, AcerPure Cool C2. Tetapi kenapa pula penapis udara Acer? Bukankah Acer ni pengeluar komputer dan laptop?
Untuk ringkasan, AcerPure ni sebenarnya anak syarikat Acer yang fokus mereka menghasilkan produk untuk meningkatkan kualiti hidup. Selain penapis udara, AcerPure pun dah lancar beberapa produk lain seperti kipas udara.
Cuma penapis udara yang saya uji ni berbeza daripada biasa. Antara penapis udara yang murah dan popular di Malaysia adalah barisan Xiaomi Smart Air Purifier, kini sudah generasi ke-4. Rata-rata harganya di bawah RM1,000.
Di mana berbezanya AcerPure Cool C2 dan Xiaomi Smart Air Purifier? Bezanya adalah kipas penyejuk atau pengalir udara. Penapis udara Xiaomi tiada langsung kipas di luar, tetapi AcerPure Cool C2 ini ada. Cuma, apakah fungsinya dan adakah ia berguna?
Keyakinan saya terhadap AcerPure Cool C2 seterusnya diuji apabila melihatkan tanda harganya. Ia dijual secara rasmi di Malaysia pada harga RM1,599. Melihatkan kuasa menapis udaranya dalam unit CADR, AcerPure Cool C2 hanya setaraf Xiaomi Smart Air Purifier 4 Lite berharga RM599. Hampir 1/3 daripada harga Acer.
Pasti Acer ada perkara lain yang membuatkan harganya jauh lebih mahal, selain kapasiti menapis udaranya. Salah satunya adalah kipas luar. Paling penting, adakah ia memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik daripada Xiaomi?
Di sini saya akan kongsikan pengalaman menggunakannya selama hampir sebulan.
Pemasangan dan sambungan pintar yang mudah.
Penapis udara AcerPure Cool C2 ini sangat berat, 6.34kg dan ia juga sangat tinggi iaitu 850mm atau 0.85 meter. Agak sukar untuk mengeluarkannya dari kotak kerana ia terbahagi kepada kepada dua bahagian yang tidak boleh diasingkan, kipas dan penapis udara.
Pemasangan awal agak mudah, kerana tiada apa yang perlu dipasang selain kabel kuasa. Tetapi apa yang perlu dibuat adalah menanggalkan semua tali pelekat atau sellotapi, terutama plastik yang menutup penapis di dalam. Setelah itu, ia boleh dihidupkan.
Tetapi sebelum mula menggunakannya, lebih baik muat turun dan pasang aplikasi AcerPure Life dahulu. Ia terdapat di Apple Appstore dan Google Playstore. Dengan aplikasi ini, pengguna boleh memantau dari jarak jauh, serta melihat statistik dan sejarah penapis udara.
Untuk menghubungkan aplikasi AcerPure Life kepada penapis AcerPure Cool C2, pastikan anda menggunakan sambungan WiFi 2.4Ghz, bukan 5GHz. Aktifkan mod sambungan di AcerPure Cool C2 dengan menekan lama butang kuasa sehingga ia memaparkan logo WiFi. Buka aplikasi AcerPure Life dan pilih AcerPure Cool C2.
Kawalan pintar AcerPure Life
Antaramuka AcerPure Life sebenarnya nampak bosan dan kurang menarik. Hanya latar hijau serta perkataan dan simbol yang agak kecil. Tapi selepas menggunakannya beberapa lama, ia sebenarnya menyediakan penggunaan yang mudah dan mencukupi.
Data sensor PM 2.5 dan Gas boleh dilihat di muka utama. Seperti biasa, hijau menandakan kualiti udara yang bagus, kuning sederhana dan merah merbahaya. Anda boleh melihat sejarah kualiti udara dengan menekan pada sensor PM 2.5. Data ini boleh dilihat mengikut hari dan bulan.
Dari sejarah data ini, saya boleh tahu apa yang berlaku di rumah sepanjang ketiadaan saya. Kebanyakan masa, kualiti udara melonjak ke buruk sewaktu memasak. Bau perencah dan sambal yang kuat, dikesan sebagai kualiti udara yang buruk. Untuk itu, AcerPure Cool C2 akan bekerja keras memulihkan kualiti udara.
Di sini juga saya dapat melihat kelebihan AcerPure Life berbanding penapis udara Xiaomi. Rakan saya Alex ada menggunakan penapis udara Xiaomi dan dia menyatakan, Xiaomi Home tidak menyediakan data sejarah kualiti udara untuk penapis udara Xiaomi. Hanya ada kawalan dan mengesan kualiti udara pada masa nyata sahaja. Ini telah menjadi satu markah besar buat AcerPure.
Tab di bawah, gambar hati adalah kawalan pantas. Di sini tetapan untuk gabungan kawalan seperti kelajuan kipas, arah putaran, kelajuan penapis dan banyak lagi boleh disimpan sebagai kegemaran. Jadi boleh diaktifkan dengan satu butang.
Di tepinya adalah tab kawalan jauh. Tanpa menggunakan alat kawalan jauh fizikal, penapis udara ini boleh dikawal dari aplikasi. Semua kawalan terdapat di sini, termasuk penetapan masa untukmematikannya. Satu ciri penting bagi saya adalah kunci kanak-kanak atau child lock. Ia boleh mematikan butang di penapis agar tidak silap ditekan anak kecil dan kawalan sepenuhnya di aplikasi sahaja.
Di tengah tab adalah butang kuasa berwarna hijau, untuk mematikan dan menghidupkan penapis. Di sebelah kanannya pemasa. Di sini jadual hidup dan mati boleh ditetapkan, mengikut masa dan hari. Bagi saya, saya menetapkan ia mati setiap hari pukul 12 tengah malam dan hidup semula pukul 6 pagi, dengan tetapan penapis udara pintar dan kipas dimatikan.
Di kanan sekali adalah tetapan untuk melihat profil, tahap penapis dan kemaskini perisian jika ada. Pautan pantas ke soalan lazim (FAQ) dan panduan pengguna juga terdapat di sini.
Jadi, betulkah ia menapis udara menjadi lebih berkualiti?
Sepanjang menggunakan AcerPure Cool C2 hampir sebulan, saya masih lagi tidak dapat menjelaskan kualiti udara yang lebih baik. Sehinggalah saya berdepan dengan satu situasi harian. Memasak.
Isteri saya yang cantik dan rajin, suka memasak sendiri di rumah dan dia rajin mencuba pelbagai resepi. Tetapi paling disukainya adalah masakan yang pedas. Pelbagai bahan akan ditumis dan bila ia melibatkan sambal, baunya yang pedih menusuk mata dan hidung. Jadi pintu biasanya dibuka dan kipas dihidupkan dengan kuat untuk mengalirkan udara keluar.
Tetapi selepas menggunakan AcerPure Cool C2, perkara ini dapat dirasakan dengan jelas. Semasa isteri saya memasak sambal kegemarannya, AcerPure Cool C2 mengesan kualiti udara yang buruk dan menggunakan tenaga terkuatnya untuk menapis udara.
Rasa pedih menusuk mata dan hidung tidak lagi dirasakan dengan nyata, hanya bau yang jelas. Tetapi pintu dapur masih dibuka bersama kipas, cuma kali ini tidak lagi rasa pedih di mata.
Dari sini, saya menghargai AcerPure Cool C2 kerana ia benar-benar dapat menapis bau yang tidak menyenangkan, walaupun ia adalah masakan yang sedap dimakan. Sekali-sekala, Acer PureCool C2 juga bekerja keras apabila mengesan bau minyak wangi yang disembur, atau penyembur serangga digunakan.
Dengan ini, dapat saya simpulkan bahawa penapis udara sememangnya dapat menjadikan kualiti udara lebih baik dan AcerPure Cool C2 membuktikannya.
Ini contoh beberapa hasil masakan yang membuat AcerPure Cool C2 bekerja keras membersihkan udara di dalam rumah. Sedap tau.
Perlu ke kipas bersama penapis udara?
Ini satu lagi persoalan saya ketika pertama kali mengetahui tentang AcerPure Cool C2 kerana semua penapis Xiaomi tiada kipas di luar. Gabungan kipas dan penapis yang pernah saya jumpa adalah daripada Dyson, dan harganya sangat mahal. Melebihi RM2,000.
Adakah kipas ini berguna? Sebagai gandingan dengan penapis udara, saya tidak dapat mengesahkan secara fizikal. Secara teori, ia boleh mengalirkan udara bersih yang disedut daripada penapis dengan pantas. Jadi lebih banyak udara bersih boleh dialirkan di dalam rumah.
Tetapi sebagai kipas sendiri, ia sebenarnya boleh digunakan. Udara yang dialirkan agak kuat walaupun kelihatan kecil. Cuma ia agak susah untuk dialihkan seperti kipas berdiri biasa, disebabkan agak berat. Apatah lagi jika mahu meletakkan di tepi meja kerja, agak tidak kena dengan rupanya yang besar. Ia boleh menimbulkan amarah pereka dalaman rumah kerana tidak serasi diletakkan bersama meja.
Apa yang saya suka?
Sebagai rumusan, Acer PureCool C2 telah membuka mata saya bahawa penapis udara sebenarnya dapat berfungsi dengan bagus. Bayangkan, bau memasak pun boleh dibersihkan, apatah lagi bakteria dan kuman. Saya sangat gembira menggunakannya selepas mengetahui kegunaannya yang berkesan.
Selain itu, Acer juga menyediakan aplikasi AcerPure Life yang berguna dan lebih baik daripada Xiaomi Home. Sejarah kualiti udara membolehkan saya tahu jika pernah berlaku apa-apa di rumah. Biasanya ia melompat naik semasa memasak, jadi saya boleh tanya isteri apakah yang sedang dimasak untuk dimakan malam nanti.
Aplikasi AcerPure Life juga lengkap dengan semua maklumat yang diperlukan, serta antaramuka yang mudah difahami dan digunakan. Sebagai pengguna kali pertama, perkara mudah ini sangat membantu.
Sepanjang penggunaan saya, bunyi kipas penapis di AcerPure Cool C2 sangat senyap jika kualiti udara normal. Tetapi ia akan kuat berbunyi apabila bekerja keras jika kualiti udara semakin buruk. Ini tidak menganggu saya kerana biasanya kualiti udara memburuk ketika memasak.
Apa yang saya tidak gemar?
Perkara terbesar menghalang saya membeli AcerPure Cool C2 adalah harganya. RM1,599 sangat tinggi, apatah lagi jika dibandingkan dengan barisan Xiaomi Smart Air Purifier 4 yang jauh lebih murah. Harga penapisnya pun agak mahal, RM249.
Ditambah lagi dengan fungsi kipas yang kurang digunakan, saya lebih berminat untuk membeli penapis udara tanpa kipas selepas ini. Acer juga ada penapis udara tanpa kipas, AcerPure Pro P2 tetapi harganya RM1,299. Dengan kapasiti menapis udara yang sama, Xiaomi Smart Air Purifier berharga separuh dari itu.
Siapa patut beli AcerPure Cool C2?
Jika ada bajet lebih, sememangnya AcerPure Cool C2 adalah lebih baik daripada penapis udara Xiaomi disebabkan aplikasi AcerPure Life yang menyimpan sejarah data. Rekaannya tidak berbeza dengan penapis udara lain, dengan warna putih dan berbentuk bulat.
Apatah lagi jika anda percaya kipas di luar boleh meningkatkan aliran udara, atau mahu penapis dan kipas dalam satu unit, maka Acer PureCool C2 adalah pilihan yang sangat baik. Ia lebih murah daripada Dyson dan ada kipas yang tidak terdapat pada barisan penapis udara Xiaomi.
Kepada yang berminat untuk membelinya, AcerPure Cool C2 dan AcerPure Pro P2 kini ada jualan promosi di Stor Online Acer Malaysia. Diskaun RM200 diberikan untuk Cool C2 dan diskaun RM100 bagi Pro P2. Di samping itu, kredit Touch n Go sebanyak RM140 turut diberikan.
Penapis udara AcerPure Life juga ada dijual di Shopee dan Lazada. Tetapi promosi mungkin tidak serupa di sana.
Adakah anda tertarik dengan penapis udara sekarang? Bagi saya ya dan semua orang patut ada 1 di rumah sekarang. Selain membersihkan udara daripada bakteria dan kuman, ia juga membantu memulihkan bau-bau masakan di rumah.
[Gambar oleh Hanif Azrai]