Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nampaknya semakin maju dan canggih. Laman web MySPR Semak sudah sekian lama menyediakan tempat untuk pengundi menyemak di mana DUN dan Parlimen untuk mengundi.
Hari ini, SPR telah mengemaskini portal MySPR Semak dan menyediakan maklumat terkini untuk pengundi mengetahui di mana tempat mereka mengundi.
Dalam kemaskini MySPR Semak terbaru ini, pengundi akan disajikan dengan maklumat untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Maklumat yang baru ditambah ke dalam portal ini adalah:
- Pusat mengundi
- Saluran Mengundi
- Nombor bilangan pengundi
- Masa mengundi
- Masa cadangan untuk keluar mengundi
- Hari mengundi
Dengan maklumat ini, anda tak perlu lagi menunggu pada hari mengundi untuk mengetahui saluran dan nombor pengundi anda. Terutamanya untuk golonga warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), mereka ditempatkan di saluran 1 yang kurang ramai, berbanding saluran 3, 4 atau 5 yang ditempatkan dengan pengundi muda dan pertengahan usia.
Menariknya, jika anda menggunakan aplikasi MySPR Semak (Apple Appstore, Google Playstore, Huawei AppGallery) di telefon pintar, ia juga akan menunjukkan lokasi tempat mengundi anda di Google Maps atau Apple Maps. Ia akan membantu untuk mengetahui lebih tepat, di mana anda harus pergi pada hari mengundi nanti.
Di samping itu, SPR juga telah berkongsi masa untuk pengundi tersebut keluar mengundi. Ini boleh membantu kelancaran proses pengundian kerana biasanya, pengundi akan keluar bersesak pada waktu yang sama, membuatkan masa beratur untuk mengundi mengambil masa lebih satu jam.
Untuk PRU15, hanya tiga negeri yang akan mengadakan pilihanraya negeri (PRN) serentak dengan PRU15 iaitu Perlis, Pahang dan Perak. Negeri lain iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan DUN serentak. Manakala Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak baru sahaja mengadakan PRN tidak sampai 3 tahun lepas. Jadi, hanya Perlis, Pahang dan Perak akan mengundi 2 kertas iaitu DUN dan Parlimen. Negeri lain, hanya mengundi 1 kertas untuk Parlimen.
Ingat ya, hari mengundi untuk PRU15 telah ditetapkan pada hari Sabtu, 19 November 2022. Laksanakan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia untuk memilih calon ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen yang dapat membantu membangunkan negara agar lebih maju untuk semua.