Baru sahaja memperkenal telefon edisi Batman, Asus ROG kini melancarkan satu lagi edisi khas mereka dengan kerjasama studio permainan video terkemuka, Blizzard Entertainment. Telefon tersebut dinamakan sebagai ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition.
Peminat boleh menjangkakan pelbagai aksesori eksklusif, di samping aset digital menarik bertemakan Diablo terdapat di dalam telefon edisi khas ini. Bagaimanapun, kedatangannya ke Malaysia masih belum dapat disahkan.
Harga ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition
Peminat yang mahu mendapatkan telefon edisi khas ini, perlu membayar lebih daripada biasa. Sudah pasti ia lebih mahal daripada model biasa, tetapi ia juga lebih mahal daripada edisi Batman. Ini kerana Asus meletakkan RAM 16GB dan storan 512GB untuk edisi Diablo, manakala edisi Batman hanya ada RAM 12GB dan storan 256GB.
Berikut adalah perbandingan harga di Amerika Syarikat untuk ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition serta edisi batman dan model Pro:
- ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition (RAM 16GB + Storan 512GB) – USD1,299
- ROG Phone 6 Batman Edition (RAM 12GB + Storan 256GB) – USD1,199
- ROG Phone 6 Pro (RAM 18GB + Storan 512GB) – USD1,299
Senang cerita, kalau edisi Diablo ini dijual di Malaysia kelak, harganya akan serupa dengan ROG Phone 6 Pro iaitu RM4,999. Di Malaysia, edisi Batman dijual pada harga RM4,799.
Spesifikasi ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition
Jika edisi Batman tampil dalam dua perisa iaitu Snapdragon 8+ Gen 1 dan Mediatek Dimensity 9000+, bagi edisi Diablo ini hanya satu versi disediakan iaitu diperkasa cip Snapdragon 8+ Gen 1. Padanan yang serupa untuk perkakas lain iaitu RAM LPDDR5 dan juga storan UFS 3.1.
Spesifikasi asas lain juga serupa. Seperti skrin AMOLED seluas 6.78-inci, resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran sehingga 165Hz. Skrin ini tiada takuk dan lubang dengan bingkai yang besar di atas dan bawah telefon, serta dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus yang sangat tahan lasak. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Kameranya 12MP di hadapan dan terletak dalam bingkai di atas skrin. Di belakang pula gabungan kamera 50MP F1.9 dengan sensor Sony IMX766, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP.
Bateri mega 6,000mAh dalam bentuk dwi-sel 3,000mAh digunakan di dalam dan ia menyokong pengecasan pantas 65W. Malah ada dua port USB-C untuk mengecas, di bawah telefon dan di sisi. Port di sisi memudahkan penggunaan telefon semasa mengecas. Butang bahu AirTrigger 6 terdapat di sisi telefon.
Untuk telefon, perbezaan terbesar daripada model biasa adalah di belakang. Tiada lagi skrin notifikasi ataupun LED Dot Matriks. Ia digantikan dengan hiasan watak Dibalo serta logo ROG dan Diablo Immortal.
Di dalam telefon pula, ia dibekalkan dengan pelbagai aset digital bertemakan Diablo seperti kertas dinding beranimasi, animasi panggilan masuk dan animasi mengecas.
Kejutan terbesar adalah pada aksesori dan kotak. Edisi Diablo datang dalam kotak ekslusif Diablo yang sangat besar. Apabila dibuka, terpampang dua bahagian. Di sebelah kanan adalah peta Diablo dalam rupa seperti kulit yang menyimpan kabel USB-C serta pengecas 65W. Peta ini mengandungi maklumat rahsia yang timbul jika dipancar cahaya UV.
Kotak menyimpan telefon pula direka seperti ‘Soulstone’ yang mengurung Diablo. Selain telefon, ia turut datang bersama jarum pembuka dulang emas bertemakan Diablo Immortality. Aksesori lain yang diberikan adalah sarung telefon bertemakan Diablo, lampu suluh UV “Fahir’s Light”. Tetapi kipas AeroActive Cooler 6 tidak diberikan, perlu dibeli berasingan. Ini sama seperti model Pro.
Berminat tak nak dapatkan ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition? Sebagai peminat tegar, ini harus menjadi koleksi simpanan anda. Bukan sahaja boleh main Diablo Immortal dengan cemerlang, boleh buat hiasan menarik juga. Semoga ia akan dijual di Malaysia nanti.
Sementara itu, anda boleh dapatkan maklumat lanjut di laman produk ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition.