Google hari ini telah melepaskan kemaskini penting dalam sistem operasi Android. Pengguna telefon pintar Google Pixel kini boleh memuat turun Android 9 Pie, OS terbaru untuk peranti mudahalih.
Pemilihan nama Pie kali ini tidaklah semeriah yang dilakukan ketika pengenalan Android 8.0 Oreo. Google mengumumkannya bersama kemaskini OS untuk keluarga Pixel, selaku peranti terawal yang menerima Pie.
? Introducing Android 9 Pie ?
Packed with smarts and tailored to you. Learn more: https://t.co/LGeZUrz2BV #Android9 pic.twitter.com/gwUEjqHH1l— Android (@Android) August 6, 2018
Android 9 Pie membawakan banyak ciri-ciri baharu. Antaranya sistem navigasi berasaskan sapuan yang lebih maju. Antaramuka juga diberi sedikit sentuhan yang lebih serasi terutamanya untuk peranti dengan skrin bertakuk.
Lebih banyak teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) juga dimuatkan di dalam Android 9 Pie seperti Adaptive Battery yang mematikan aplikasi yang jarang digunakan untuk menjimatkan tenaga, dan Adaptive Brightness yang mengingati tahap kecerahan yang anda gemari. Selain itu, fungsi Predictive App boleh mengagak aplikasi apa yang paling pengguna perlukan pada waktu tertentu, seperti membuka Google Maps setiap pagi.
Tetapi masih banyak fungsi di dalam Pie masih di peringkat Beta, dan akan dilepaskan kemudian. Salah satunya adalah Digital Wellbeing, fungsi yang membantu pengguna mengenali penggunaan aplikasi dengan lebih mendalam, serta tetapan yang boleh memutuskan pengguna dari dunia internet seperti di waktu tidur.
Satu lagi ialah fungsi Slices di mana ia membenarkan integrasi aplikasi di dalam fungsi carian. Contohnya jika menaip Lyft di ruang carian, pengguna akan dapat melihat butang memanggil Lyft tanpa membuka aplikasi Lyft terlebih dahulu.
Fungsi di atas yang masih di peringkat Beta, kini boleh diuji tetapi dibuka untuk pengguna Pixel sahaja. Ia dijangka akan dimuatkan secara rasmi ke dalam Android 9 Pie sebelum hujung tahun ini.
Pengguna Pixel akan menerima kemaskini Android 9 Pie bermula hari ini. Tetapi pengguna jenama lain akan menerima Pie dijangka lebih awal dari sebelum ini. Pengeluar seperti Sony, Xiaomi, Nokia, Oppo, Vivo, OnePlus, dan Essential telah menyertai program Beta Android P dan dilihat berpotensi untuk mengeluarkan kemaskini Pie lebih awal untuk peranti mereka.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem operasi Android terbaru ini, layari laman web www.android.com/9.