Apple telah membuat perubahan besar tahun ini apabila tidak lagi mengeluarkan telefon kecil dan mini. Sebaliknya, Apple membawakan model baru dalam barisan iPhone 14 iaitu iPhone 14 Plus. Ia adalah peranti yang serupa dengan iPhone 14 tetapi memiliki skrin lebih besar yang sama saiz dengan iPhone 14 Pro Max.
Bagaimanapun, Apple melancarkan keluarga iPhone 14 dengan harga yang lebih mahal daripada sebelumnya. Setelah disemak, didapati harga iPhone 14 Plus tidak jauh berbeza dengan iPhone 13 Pro Max. Kerana itu, saya pun tergerak untuk membuat perbandingan antara dua telefon ini, yang mana lebih berbaloi untuk dimiliki.
Anda boleh menonton ulasan saya dalam video di bawah, atau terus menatal lagi bawah untuk membaca.
Harga
Untuk iPhone 14 Plus, harganya dari RM4,699 untuk 128GB sampai RM6,199 dengan 512GB. iPhone 13 Pro Max pula, sekarang ni berharga RM4,999 bagi 128G dan RM6,399 dengan 512GB. Kalau ada promosi, ada kupon baucar diskaun, boleh beli lagi murah kan.
Sikit sahaja beza harga ini, dalam dua ratus ke tiga ratus sahaja. Berbaloi tak tambah tiga ratus untuk Pro Max? Kita tengok dari sudut spesifikasi.
Spesifikasi
Kedua-dua telefon ni guna cip yang sama, Apple A15 Bionic dengan 6-teras CPU dan 5-teras GPU. Saiz skrin pun sama, OLED 6.7-inci. Ia juga kalis air IP68, ada speaker stereo, menyokong pengecas Lightning 20W serta pengecasan wayarles.
Apa pula perbezaannya? iPhone 14 Plus yang baru ada teknologi kamera Photonic Engine, katanya boleh ambil gambar lebih cerah. Kamera hadapan 12MP juga ditambah autofokus dan ada Action Mode untuk ambil gambar bergerak yang kurang bergegar. Paling utama, ada Crash Detection, yang boleh panggil bantuan kalau berlaku kemalangan.
iPhone 13 Pro Max tiada fungsi baru yang disebut di iPhone 14 Plus tadi, tapi kelebihannya adalah seperti skrin ProMotion 120Hz dan tahap kecerahan lebih tinggi, badan keluli tahan karat, ada kamera telefoto dan kamera makro, pengimbas LiDAR, sokongan rakaman video ProRes dan tangkapan gambar ProRaw. Apple juga nyatakan, hayat bateri 13 Pro Max lebih panjang daripada 14 Plus.
Adakah ini benar-benar kelebihan setiap satu? Untuk mendapatkan pengesahan, saya uji sendiri dan bandingkan kedua-dua telefon ini.
Ujian 1: Prestasi
Saya jalankan ujian Geekbench dan Antutu untuk membandingkan prestasi. Walaupun ia guna cip yang sama, iPhone 13 Pro Max memberikan markah sedikit tinggi berbanding iPhone 14 Plus.
Ini markah untuk Geekbench dalam ujian penanda aras CPU dan Compute. Ia sangat sesuai untuk perbandingan pemprosesan semata.
Bagi Antutu pula, ia turut mengambil kira prestasi paparan. Walaupun dengan keupayaan skrin 120Hz, iPhone 13 Pro Max masih mengatasi iPhone 14 Plus. Mengapa penggunaan cip yang sama tidak memberikan hasil yang serupa? Pasti ada rahsia lain yang Apple tidak beritahu.
Ujian 2: Skrin
Untuk skrin ni, agak susah saya nak dapatkan perbezaan. Bila dalam bangunan, saya tengok video 4k, nampak sama tahap kecerahan putih dan kegelapan hitam. Pendek kata, sama kualiti.
Saya juga tak jumpa tetapan untuk paksa 120hz di iPhone 13 Pro Max. Pelbagai laman ujian skrin saya lawati, semua tunjuk skrin iPhone 13 Pro Max menyokong sehingga 60hz. Ini yang saya tak gemar dengan iPhone, tak beri pilihan nak pilih tetapan dan kena ikut sahaja cadangan iOS nak pelbagaikan kadar penyegaran secara pintar. Dalam hal ni, 60hz kedua-dua skrin memang ok dan sama kualiti.
Kemudian saya bawa telefon ini ke luar, untuk lihat kualiti di bawah terik cahaya matahari. Kedua-dua skrin ini boleh dilihat dengan jelas dan nampak sama cerah, walaupun iPhone 13 Pro Max ada tahap kecerahan setinggi 1,000nits dan iPhone 14 Plus hanya 800 nits.
Akhir sekali saya cuba main game yang dikatakan menyokong 120Hz. Saya semak senarai, Genshin Impact ada 120FPS. Jadi saya semak dalam tetapan permainan, betul boleh pergi 120FPS sedangkan selama ini saya main di Black Shark 5 Pro dan ROG Pphone 6 Pro, sampai 60FPS sahaja.
Saya pun cuba main di iPhone 13 Pro Max. Kemudian tukar main di iPhone 14 Plus. Saya keliru lagi sekali, tak nampak ada perbezaan pun.
Untuk menguji lagi, saya semak balik senarai game 120Hz dan salah satu game di Apple Arcade yang ada ialah Pacman Party Royale. Dalam tetapan grafiknya, tiada pilihan mengubah kadar penyegaran. Saya pun cuba bermain di iPhone 13 Pro Max. Habis satu pusingan, cuba pula di iPhone 14 Plus. Lagi sekali, saya tak nampak ada perbezaan.
Adakah mata saya bermasalah atau memang susah nak nampak beza 120Hz ni? Kalau beza antara 30Hz dan 60Hz memang ketara sangat lain.
Lepas dah uji kecerahan dan kadar penyegaran ni, saya rumuskan kedua-dua skrin iPhone ini adalah sama dan serupa kualitinya. Mungkin kena ada mata lebih tajam nak nampak beza 120Hz.
Ujian 3: Kamera
Kamera adalah perkra paling penting di telefon pintar sekarang. Jadi saya buat perbandingan dalam beberapa situasi.
Dalam gambar nasi kandar ini, saya lihat kedua-dua telefon ni bagi hasil yang sama. Warna putih nasi, kuning kari, hijau sayur dan merah ayam sama sekata. Ketajaman dan ketelitian pun tak ada beza.
Kemudian ke luar, ambil gambar PNB 118 dari jauh. iPhone 14 Plus cenderung ke arah lebih cerah. Di bahagian daun, jika diteliti hasil gambar iPhone 14 Plus dapat dilihat lebih banyak daun dalam gelap.
Sama juga apabila mengambil gambar skuter elektrik Beam ini. Warna ungunya lebih cerah di iPhone 14 Plus berbanding iPhone 13 Pro Max.
Seterusnya ujian malam. Saya pergi ke Bamboo Hills untuk mengambil gambar air terjun berlampu dari jauh. Tengok bangunan di sudut kiri, daun-daun di hadapan, dan air terjun, semua nampak sama cerah dan ketajaman. Adakah Apple mewajibkan pemproses imej dalam gelap yang serupa untuk dua telefon ini?
Dalam gambar malam seterusnya, nampak iPhone 14 Plus pergi ke arah lebih cerah untuk langit gelap berbanding iPhone 13 Pro Max yang lebih gelap. Warna lumut di dinding lebih tajam di iPhone 13 Pro Max tetapi anda boleh lihat sedikit bahagian bukit yang gelap di iPhone 14 Plus, berbanding iPhone 13 Pro Max.
Apple sering dikatakan menghasilkan gambar swafoto dengan warna asli kulit. Dalam swafoto saya ini di bawah cahaya lampu malam, kedut kulit saya lebih jelas kelihatan di iPhone 14 Plus berbanding iPhone 13 Pro Max yang kurang berkedut. Ini mungkin disumbang oleh autofokus di kamera hadapannya.
Kesimpulannya, saya boleh beri medal pemenang kepada iPhone 14 Plus kerana lebih cerah sikit di waktu malam dan swafoto lebih tajam. Tetapi perbezaan ini sebenarnya sangat kecil.
Kesimpulan
Jadi adakah berbaloi bayar lebih sedikit untuk iPhone 13 Pro Max berbanding iPhone 14 Plus? Bagi saya ya, sangat berbaloi. Kualiti kamera mungkin kalah sikit tapi perbezaannya tidak ketara. Malah iPhone 13 Pro Max ada kelebihan fungsi makro dan telefoto.
Dari segi skrin, ujian saya ni nampak tak ada beza. Kecerahan dan kualitinya sama tapi pasti akan ada kelebihan untuk 120hz dalam penggunaan lain.
Prestasi pun, ujian tanda aras menunjukkan iPhone 13 Pro Max menang sikit. Cuma yang kurang menarik, badan iPhone 14 Plus berat sangat, tapi iPhone 13 Pro Max lebih berat lagi. Ini sebab badannya guna keluli tahan karat yang lebih tahan lasak.
Ditambah lagi, kalau ada promosi diskaun mesti sangat jimat beli iPhone 13 Pro Max. Saya juga yakin, kemaskini iOS untuk kedua-dua telefon ni sama panjang sebab guna cip yang sama iaitu A15 Bionic. Kalau iPhone 14 plus dapat sampai iOS 20, mesti iPhone 13 Pro Max dapat iOS 20 juga. Jadi tak risau hal kemaskini perisian.
Kesimpulannya, kalau saya ada bajet yang serupa untuk beli iPhone, saya akan pergi beli iPhone 13 Pro Max berbanding iPhone 14 Plus. Cuma, kena carilah kedai mana yang ada masih ada stok, sebab dah tak dihasilkan lagi. Kalau anda sependapat dengan saya, baik pergi cari dan beli cepat.
Bagaimana, anda ada pendapat dan komen lain pasal perbandingan ni. kongsikan dalam komen ya. Kita bincang lagi apa yang terbaik untuk semua.