Internet merupakan keperluan penting untuk orang ramai berhubung. Syarikat telco di Malaysia masing-masing menyediakan pelbagai jenis pelan Internet kepada orang ramai. Ada yang tawarkan pelan Internet harga rendah tapi dengan kelajuan yang terhad, ada yang beri FUP besar dan ada juga yang sertakan pakej panggilan tanpa had bersama data roaming percuma. Tapi telco apa yang sudah sediakan pelan terbaik tahun ini?
Kami telah kumpulkan pendapat mengenai pelan dan penyedia Internet terbaik dari barisan kakitangan SoyaCincau. Pencalonan telah disenarai pendek dan ia dibincangkan secara terperinci oleh panel yang terdiri daripada Amin Ashaari, Alexander Wong, Najib Hamid, Raymond Saw, Jonathan Lee, Hanif Azrai dan Sudarshan Duke. Oleh itu, berikut merupakan senarai 3 yang terbaik bagi kategori pelan prabayar, pelan pascabayar, pelan jalur lebar, telco mudah alih dan syarikat telekomunikasi jalur lebar tetap tahun ini.
Pelan prabayar terbaik tahun ini
1. Pemenang Emas- Yes FT5G Unlimited
Yes 5G oleh YTL Communications ialah syarikat telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan 5G di Malaysia. Prabayar FT5G ialah pelan 5G paling berpatutan yang disertakan dengan data berkelajuan tinggi dan panggilan tanpa had.
Kelajuan data adalah melebihi 1Gbps dalam kawasan optimum liputan DNB. Anda perlu guna pelan FT5G untuk mencuba 5G sebab ia juga menyokong kebanyakan peranti 5G.
Lebih lanjut mengenai Yes 5G di sini.
2. Pemenang Perak – U Mobile U35
Walaupun telco lain perlahan-lahan mengetatkan sekatan FUP, tapi prabayar U35 kekal sebagai pilihan utama dengan adanya data tanpa had sehingga kelajuan 6Mbps. Ia turut mempunyai FUP yang besar sebanyak 100GB sebulan.
Baca lagi tentang tawaran U Mobile di sini.
3. Pemenang Gangsa – Yoodo 20GB
Yoodo, syarikat telekomunikasi digital di bawah Celcom bukan sahaja ada pelan yang berpatutan, malah mereka juga mempunyai salah satu aplikasi telco terbaik di negara ini. Data berkelajuan tinggi 20GB untuk promo RM20 adalah pilihan prabayar komitmen rendah terbaik di pasaran. Anda juga boleh menggunakannya di luar negara dengan ciri Yoodo’s Roam Like Home.
Tawaran Yoodo lain di sini.
Pelan pascabayar terbaik tahun ini
1. Pemenang Emas – U Postpaid 98
U Mobile membuat langkah berani tahun ini dengan menggantikan pelan Pascabayar Hero Tanpa Had dengan pelan “Unbeatable” yang disertakan dengan kuota data sangat besar berkelajuan tinggi. Dengan harga berpatutan, pelan U Postpaid 98 dibawahnya menawarkan 1000GB data 4G/5G beserta panggilan tanpa had. Disediakan juga 15GB data roaming percuma di 63 negara serta panggilan masuk percuma apabila anda melancong ke luar negara.
Tawaran lain U Mobile di sini.
2. Pemenang Perak – Digi Postpaid Infinite 75
Postpaid Infinite 75 dari Digi menawarkan data tanpa had sehingga 12Mbps, 10GB data hotspot dan panggilan tanpa had di Malaysia. Selain itu, pelan ini juga menawarkan had FUP yang besar sebanyak 600GB sebulan, sesuai jika anda nak pelan pascabayar dengan had kelajuan yang lebih tinggi. Jika anda rela terikat dengan kontrak 12 bulan, anda boleh tambah data berkelajuan tinggi, data tanpa had untuk sosial, video atau permainan, tanpa kos tambahan.
Ketahui lebih lanjut tentang tawaran pascabayar Digi di sini.
3. Pemenang Gangsa – Xpax Postpaid 60
Xpax Postpaid 60 adalah pelan sesuai jika anda mahukan pelan pascabayar tanpa komitmen bulanan yang tinggi. Ia mempunyai 40GB data berkelajuan tinggi serta panggilan, YouTube, Facebook dan Instagram tanpa had.
Ketahui lebih lanjut tentang tawaran pascabayar Xpax di sini.
Pelan jalur lebar terbaik tahun ini
1. Pemenang Emas – Astro Broadband 500Mbps
Astro kini menawarkan pelan jalur lebar 500Mbps berharga RM189/bulan. Harganya lebih kompetitif berbanding syarikat telekomunikasi lain seperti TM dan Maxis. Selain itu, anda boleh gabungkan pelan Astro Fibre 500Mbps bersama Astro TV dengan harga bermula dari RM251.99/bulan.
Periksa tawaran lain disediakan Astro di sini.
2. Pemenang Perak – Time 2Gbps
Empat tahun selepas memperkenalkan pelan jalur lebar gentian 1Gbps untuk pengguna di rumah, Time kini bawakan jalur lebar gentian 2Gbps pada harga RM379/bulan. Time menawarkan 2Gbps sebenar yang dihantar dalam satu penghala wayarles, tidak seperti beberapa pelan 2Gbps di negara lain yang pada asasnya 2 sambungan 1Gbps. Ini adalah hasil daripada penggunaan komersil teknologi 10G PON pertama di negara ini.
Berita lain di bawah Time di sini
3. Pemenang Gangsa – Unifi 300Mbps
Pelan Unifi Broadband + Entertainment 300Mbps boleh dilihat sebagai pelan terbaik di bawah Unifi. Selain mempunyai sambungan berkelajuan tinggi 300Mbps, Unifi turut menawarkan Unifi TV dan Unifi Plus Box yang didatangkan dengan lebih 70 saluran premium serta akses kepada Disney+ Hotstar, BBC Player, Viu, iQiyi. Untuk meyakinkan pengguna, TM juga menawarkan percubaan percuma selama 30 hari dan jaminan perkhidmatan pemulihan 24 jam pertama.
Ketahui tawaran lain Unifi di sini.
Telco mudah alih terbaik tahun ini
1. Pemenang Emas – Digi
Digi telah mencapai kemajuan besar tahun ini dengan merombak pakej pascabayar dan jalur lebarnya. Paling menarik adalah tawaran 3 talian pascabayar dengan data tanpa had (FUP: 999GB) dan panggilan tanpa had pada harga RM200. Selain itu, anda boleh tambah fibre broadband 300Mbps dengan hanya RM100/bulan. Tawaran ini bukan sahaja berpatutan tapi ia juga telus dan mudah difahami.
Bagi segmen prepaid kendiri dan pascabayar mudah alih, Digi terus menawarkan pelbagai pelan untuk dipilih. Mereka menawarkan lebih banyak data dengan harga yang lebih murah. Digi juga antara salah satu syarikat yang menawarkan data dan panggilan terbaik untuk pas roaming meliputi sejumlah besar negara.
Ikuti perkembangan terkini Digi di sini.
2. Pemenang Perak – Yes
Yes telah mendapat sambutan hangat tahun ini sebagai syarikat telekomunikasi 5G pertama dan satu-satunya di Malaysia selama hampir setahun. Walaupun rangkaian 4G nya tidak luas, Yes telah mendapat tumpuan ramai kerana ia jadi yang pertama menggunakan rangkaian 5G DNB.
Perkhidmatan mereka telah meningkat dari semasa ke semasa dan kini mempunyai pengalaman 5G paling baik. Mereka juga miliki bilangan peranti yang paling banyak disokong 5G, antara semua syarikat telekomunikasi.
Berita lain mengenai Yes 5G di sini.
3. Pemenang Gangsa – Maxis
Maxis terus menonjol kerana mempunyai prestasi dan pengalaman rangkaian mudah alih terbaik seperti yang disahkan oleh Opensignal dan Ookla speedtest. Walaupun ia mempunyai beberapa kelemahan dalam hal ketelusan terma dan syarat, tapi ia kekal sebagai salah satu syarikat telekomunikasi yang lebih konsisten untuk pengalaman mudah alih.
Ikuti perkembangan Maxis di sini.
Syarikat telekomunikasi jalur lebar tetap terbaik tahun ini
1. Pemenang Emas – Astro
Astro kekal sebagai satu-satunya penyedia yang boleh menawarkan kandungan sukan secara langsung, langganan penstriman dan jalur lebar fibre semuanya dalam satu bil. Dalam cita-citanya untuk beralih daripada pengendali TV berbayar kepada pengumpul kandungan (content aggregator), Astro telah bekerjasama dengan rakan kongsi penstriman popular termasuklah Netflix, Disney+ Hotstar, iQiyi dan TVB Anywhere+.
Ikuti berita mengenai Astro di sini.
2. Pemenang Perak – Telekom Malaysia (Unifi)
Telekom Malaysia kekal sebagai penggerak utama mempercepatkan capaian jalur lebar fibre di seluruh negara. Di bawah program JENDELA, mereka lebih konsisten melepasi sasaran suku tahunannya, untuk capai sasaran nasional 7.5 juta premis lulus gentian menjelang akhir 2022. Melalui rangkaian HSBB, TM juga bantu membolehkan perkhidmatan runcit fibre lain mengembangkan jejak mereka ke seluruh negara.
Ikuti berita TM di sini.
3. Pemenang Gangsa – Time
Time terus menjadi juara jalur lebar fibre kerana menawarkan Mbps dengan harga terbaik. Pelan asasnya iaitu RM99/bulan kekal sebagai pilihan permulaan yang tiada tandingan. Ia didatangkan dengan kelajuan 100Mbps untuk muat turun dan muat naik. Time juga telah mencapai kejayaan baharu tahun ini dengan menawarkan jalur lebar fibre rumah 2Gbps yang merupakan Internet terpantas di negara ini.
Ikuti berita Time di sini