Saya tahu yang Microsoft banyak keluarkan produk komputer. Siapa yang tak ikuti jenama ini dengan rapat, mungkin akan terkeliru dengan penawaran mereka.
Microsoft Surface adalah keluarga besar produk komputer mereka. Kemudian mereka ada siri seperti Surface Go, Surface Pro, Surface Laptop, dan Surface Book. Memang sukar untuk mengecam yang mana satu dalam kelas premium dan yang mana satu tidak.
Misalnya, Surface Go dengan Surface Laptop Go. Saya fikir mereka berada dalam kategori yang sama tapi rupa-rupanya Surface Go adalah siri bajet mereka manakala Surface Laptop Go berada lebih tinggi dalam harierki.
Surface Laptop Go 2 adalah penawaran terbaharu mereka dalam siri itu. Siapakah yang cocok dengan laptop ini? Teruskan baca reviu daripada saya.
Casis campuran aluminium dan polikarbonat
Untuk produk komputer Microsoft, anda perlu ingat yang ia juga memberi fokus tambahan kepada fizikaliti berbanding spesifikasi semata-mata. Makanya, tanda harga yang dimilikinya turut memasukkan rupa paras sebagai pemberat.
Tidak banyak perubahan daripada segi rekaan antara Laptop Go 2 dengan generasi sebelumnya. Pendek kata ia sama sahaja dengan Laptop Go dan ia adalah Surface Laptop 5 tapi ketiadaan kemasan Alcantara.
Badan Surface Laptop Go 2 menggunakan campuran alumunium dan plastik. Bahagian yang menghadap anda diberikan kemasan alumunium manakala disebalik badannya adalah plastik polikarbonat.
Saiz keseluruhan laptop ini jadikannya sangat mudah alih. Ia berada dalam kategori 13” pada berat 1.12kg. Ketebalan maksimum laptop ini sewaktu tertutup adalah 14mm maknanya ia tidak memakan banyak ruang di dalam beg anda.
Panel paparan beresolusi kurang daripada HD Penuh
Apabila laptop dibuka, ia menyerlahkan paparan PixelSense sebesar 12.4”. Di atasnya ada resolusi 1536 x 1024 dalam nisbah 3:2. Anda beroleh lebih banyak ruang skrin menegak dan manfaatnya adalah membaca kandungan laman web daripada atas ke bawah memerlukan anda skrol ke bawah tidak sekerap biasa.
Resolusinya tidaklah memenuhi piawiaan Full HD 1080. Ia tidak seketara paparan 720p tapi anda tetap nampak butiran piksel jika diamati betul-betul. Secara teorinya, skrin beresolusi rendah menjimatkan penggunaan bateri dan ia mungkin diterjemah kepada hayat bateri lebih panjang.
Selain resolusi, anda juga perlu ketahui yang panel ini peka sentuhan dan ia berfungsi seperti sepatutnya. Tiada aduan tentangnya.
Papan kekunci sedap diguna, tapi ada satu kekurangan
Bercakap tentang papan kekunci Surface Laptop Go 2, premium adalah adjektif yang sesuai dipadankan kepadanya sewaktu menaip. Jarak antara kekunci cukup luas untuk meminimumkan insiden tersalah tekan.
Walaupun rupa papan kekunci nampak seperti sama saja dengan yang berada di laptop lain, setiap unit kekunci terasa premium bila disentuh. Binaannya tegap dan tidak longgar bila digunakan.
Saya sukakan bunyi sewaktu menaip yang terasa premium iaitu tidak bising. Kalau nak samakan pengalaman menaip, pada saya hampir dengan di barisan MacBook Pro.
Pad sesentuhnya cukup besar. Walaupun tidak sebesar MacBook, menggunakannya tetap efisien bila ketiadaan unit tetikus.
Perkara yang saya “kureng” adalah ia tidak hadir dengan lampu latar. Laptop sepremium ini patutnya dilengkapi lampu latar bagi memudahkan urusan menaip dilakukan dalam keadaan malap.
Satu-satunya kunci yang menyala adalah butang kuasa yang juga turut berfungsi sebagai tempat mengimbas cap jari untuk Windows Hello.
Ketandusan Port I/O, terpaksa bergantung kepada hab USB-C
Surface Laptop Go 2 agak terhad port I/O. Anda beroleh port USB-C, USB-A, dan jek audio 3.5mm sahaja.
Di sebelah kanan, anda ada port Surface Connect yang digunakan untuk mengecas. Walaupun USB-C pada laptop ini menyokong pengecasan, ia jugalah satu-satunya penyambung untuk aksesori anda yang lain.
Biarpun ada portability yang tinggi, berkemungkinan besar anda perlukan penyesuai untuk aksesori-aksesori anda. Diharapkan Microsoft boleh masukkan satu lagi port USB-C yang digunakan hanya untuk mengecas dan lupakan saja Surface Connector dek undang-undang EU yang akan berkuatkuasa kelak.
Pengecas yang dibekalkan adalah 30W tapi ia menyokong sehingga 60W menerusi Surface Connector ataupun USB-C menggunakan piawaian PD.
CPU Intel generasi ke-11 agak berusia
Bahagian dalam adalah perkara yang ingin difokuskan Microsoft bila anda nak cerita tentang naik taraf. CPU laptop ini telah ditukar kepada cip Intel Core i5 generasi ke-11. Cip ini agak baru tapi bukanlah yang terbaharu dalam penawaran Intel. Ia dilancarkan dalam Suku 3 tahun 2020 dan berada dalam kategori Tiger Lake.
Dalam pasaran masa ini pengeluar lain sudah mula menawarkan ultrabook yang dilengkapi CPU Intel Core i5-1250P yang lebih berkuasa, kerana mengguna pakai seni bina heterologus. Heterologus merujuk pada pengagihan teras pengkomputeran kepada kluster berkuasa tinggi dan kluster cekap tenaga, satu konsep yang sama diguna pakai pada pengeluar SoC telefon pintar masa ini.
Cukupkah RAM 8GB & Storan 256 GB?
Varian laptop yang kami pandu uji adalah yang memiliki RAM 8GB dan storan 256GB. Tiada sebarang naik taraf RAM boleh dilakukan kerana ia sudah dipateri di atas papan induk laptop. Sebaliknya, SSD boleh dinaik taraf dengan syarat anda mampu menempuh prosesnya yang sangat renyah.
Satu info menarik yang perlu anda tahu adalah untuk generasi ini, Microsoft mengguna pakai storan jenis SSD merentasi semua varian Surface Laptop Go 2. Sebagai perbandingan, generasi sebelumnya ada yang masih menggunakan eMMC yang sangat tidak sesuai untuk dijadikan storan komputer moden.
Pada saya kombinasi RAM dan storan ini memadai untuk yang melakukan kerja-kerja ringan ataupun pekerjaan anda banyak tertumpu kepada teks seperti prefesion seorang pengaturcara.
Dengan kombinasi cip intel Core i5 generasi ke-11, RAM 8GB LPDDR5, dan storan SSD 256GB, waktu yang diambil untuk boot laptop ini sekitar 8 saat. Saya kiranya daripada menekan butang kuasa sehinggalah audio log-in dimainkan.
Pengalaman mengguna
Beban bidang yang saya berada sekarang saya dapati mampu dipikul oleh laptop ini. Sebahagian besar masa saya menggunakan laptop ini adalah untuk menaip artikel. Kemudian, saya juga menyunting gambar untuk dikepilkan sekali bersama artikel. Yang paling penting adalah ia boleh memaparkan multitingkap tanpa sebarang masalah.
Untuk gaming yang separa berat dan keatas, ia bukanlah sesuatu yang mampu ditanggung laptop ini. Dengan ketiadaan kad grafik discrete tapi hanya bergantung kepada Intel Iris Xe, saya tak rasakan pemilik laptop ini ingin bergaming menggunakannya, lebih baik salurkan wang untuk laptop ini untuk dapatkan laptop gaming yang jauh lebih berkaliber dengan mengorbankan portabiliti.
Berbekalkan bateri berkapasiti 41Wh, saya berjaya memperoleh antara 4 hingga 5 jam waktu penggunaan sebelum perlu disambungkan kepada bekalan kuasa. Hayat bateri tidaklah teruk, biasa-biasa sahaja untuk laptop berspesifikasi sebegini.
Buat yang ingin tahu berapakah skor penanda aras sintetik, berikut adalah tangkap layar untuk CineBench R23.
Berapa “pengerasnya”?
Surface Laptop Go 2 adalah sebuah laptop premium. Ia adalah visi Microsoft untuk sebuah komputer dengan tahap portabiliti tinggi kelas pertengahan di antara Surface Go dan Surface Laptop. Harganya agak keras jika difikirkan kerana dalam pasaran masa ini sudah ada pilihan dengan CPU lebih baharu pada perbezaan harga yang sedikit. Kalau anda dapatkannya dalam tahun ini ataupun 2023, saya jangkakan ia mampu bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun lagi sebelum anda terasa lag dan mula mempertimbangkan untuk dapatkan sesuatu yang lebih segar.
Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan seunit Microsoft Surface Laptop Go 2, unit yang saya kongsikan dalam artikel ini dijual pada harga RM3,888. Alternatif lain yang anda ada adalah varian dengan storan 128GB yang dijual pada harga RM3,588.
Ada juga beberapa promo di bawah kategori pelajar disediakan. Anda boleh dapatkan laptop dengan harga diskaun di pautan ini.
Alternatif yang mungkin boleh anda pertimbangkan adalah seperti Acer Swift 3 (2022) yang menggunakan CPU lebih segar dan boleh didapatkan pada harga RM3,459. ZenBook 14X OLED juga pilihan yang tidak kurang berbaloi kerana ia gunakan CPU sama seperti Surface Laptop Go 2 ini tapi panel paparannya adalah jenis OLED yang jauh lebih baik dan anda boleh dapatkannya pada harga RM3,499.